Sahabat Maya :

Saturday, May 25, 2013

Subjek bahasa Mandarin, Tamil di sekolah kebangsaan diteliti


Subjek bahasa Mandarin, Tamil 

di sekolah kebangsaan diteliti

PHUKET 24 Mei - Kerajaan akan mengkaji secara mendalam terlebih dahulu mengenai cadangan pihak tertentu agar bahasa Mandarin dan Tamil diajar di sekolah kebangsaan dalam usaha memperkasa sekolah berkenaan dan memupuk penyatuan nasional bermula di bilik darjah.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana pelaksanaan terhadap cadangan tersebut akan menyebabkan perubahan kepada dasar-dasar tertentu dan ia pernah dilaksanakan sebelum ini tetapi tidak mencapai objektif ditetapkan.


"Saya perlu meneliti kerana kita nak melaksanakannya secara bersungguh-sungguh dan mahu orang bukan Melayu melihat sekolah kebangsaan ialah 'sekolah kebangsaan', bukannya sekolah Melayu dan menawarkan pelbagai bahasa selain bahasa Melayu.


"Persoalan besar yang mencabar Kementerian Pendidikan ialah kalau ia hendak dilaksanakan, kita perlu menyediakan sejumlah guru mahir yang ramai kerana kita memiliki lebih 7,000 sekolah rendah dan 3,000 sekolah menengah di seluruh negara.
"Jadi sebelum kita nak buat keputusan yang melibatkan dasar kita perlu kaji dengan sebaiknya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hotel penginapannya sempena lawatan kerja beliau ke Phuket, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, penggabungan antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi tidak akan menyebabkan perubahan terhadap dasar yang diguna pakai sebelum ini.


Sebaliknya beliau menjelaskan, penyatuan  itu memberi penjimatan dari segi guna tenaga dan kakitangan membolehkan kerajaan mengembeling kepakaran tenaga pengajar di universiti khususnya pensyarah bahasa Inggeris untuk membantu di peringkat sekolah.

Menurut beliau, proses penggabungan dua kementerian itu dijangka selesai dalam tempoh sebulan dan tidak menyebabkan pertindihan antara sekolah rendah, menengah dan universiti kerana masing-masing mempunyai pelan pembangunan sendiri.

"Saya telah mengemukakan cadangan bagaimana struktur baru itu hendak dibentuk dan Ketua Setiausaha Negara telah mengambil maklum dan berbincang dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam. Insya-Allah pelantikan jawatan yang sepatutnya dibuat akan dilakukan," katanya.

Mengenai pemilihan nama Kementerian Pendidikan pula, beliau berkata, ia diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu lalu selepas pakar bahasa sependapat istilah pendidikan lebih tepat berbanding pelajaran.

"Pakar bahasa berpendapat istilah pendidikan lebih tepat dan sebab itu Perdana Menteri bersetuju," katanya sambil menambah dalam bahasa Inggeris kementerian itu kekal dengan panggilan Ministry of Education. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...