Sahabat Maya :

Friday, May 10, 2013

Minda sihat rangsang budaya kerja kelas pertama

Minda sihat rangsang
 budaya kerja kelas pertama




Lahir pegawai awam miliki sikap, 
pemikiran progresif, sejajar tuntutan agama


Tidak dinafikan untuk merangsang 
budaya kerja kelas pertama dan perkhidmatan 
bertaraf dunia dalam era persaingan hari ini,
 aset minda warga organisasi menjadi amat bernilai.
 Ia juga harga yang perlu dibayar untuk 
merealisasikan modal insan berfikiran terbuka,
 positif, strategik, inovatif dan kreatif.




Kekuatan modal insan ini terhasil
 daripada aset minda yang sihat dengan pengetahuan,
 maklumat, ingatan, persepsi serta daya berfikir 
yang benar dan betul. Ia juga adalah minda 
yang kuat dengan nilai ketelitian, keprihatinan 
dan kesanggupan menghadapi kesukaran.




Firman Allah SWT:


 “Allah memberikan hikmah kebijaksanaan
 (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya
 (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa 
yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia 
telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan
 tiadalah yang dapat mengambil pengajaran
 (dan peringatan) melainkan orang yang 
menggunakan akal fikirannya.” 

(Surah al-Baqarah, ayat 269)



Justeru, minda kelas pertama bukan saja kuat
 dan sihat dari segi intelek, juga nilai keperibadian.
 Bukan saja sarat dengan pengetahuan dan idea
 tetapi juga kekuatan menyalurkannya kepada inovasi,
 kreativiti tindakan, amalan serta produk berkualiti.


Bukan saja kuat dalam menyalurkannya kepada
 hasil dan output berkualiti tetapi juga kuat 
dalam memastikannya bermanfaat, 
tidak memudaratkan, selaras dengan piawaian syarak,
 pengharapan pelanggan, standard piawaian 
                                                          dan matlamat yang disasarkan.

 


Minda kelas pertama 
juga adalah minda berjenama
 iaitu yang mampu memikirkan strategi 
mengekalkan imej perkhidmatan serta mengekalkan
                                  kepuasan dan kepercayaan pelanggan secara berterusan.

 


Minda berdaya tahan 



Selain itu, ia juga merujuk kepada 
minda berdaya tahan iaitu yang mampu
 bertindak balas dalam pelbagai suasana dan 
halangan berbeza. Justeru, minda kelas pertama
 menggambarkan ketinggian sikap, personaliti 
dan keperibadian seseorang pegawai.


Ciri minda ini berlawanan dengan minda kelas ketiga 
yang cetek, jumud, tertutup, bersikap negatif,
 tidak berkemampuan menyalurkan daya intelektual 
kepada output dan hasil berkualiti, mengekalkan kepuasan 
pelanggan atau berdaya tahan.


Tanpa minda kelas pertama, kemudahan serta
 infrastruktur canggih di pejabat juga tidak dapat
 dimanfaatkan sepenuhnya dan budaya kerja kelas pertama
 tidak berjaya direalisasi. Bagi penjawat awam, 
usaha terkini melalui Program Transformasi Minda (PTM) 
dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 2012
                                                                        sudah diperkenalkan.

 


Ia sebagai satu pendekatan memberi pendedahan
 dan penyesuaian minda pegawai supaya dapat
 melahirkan pegawai awam yang mempunyai sikap
 dan pemikiran progresif, yang inginkan kecemerlangan 
serta memiliki etika dan nilai yang sejajar dengan agama.

 


Minda ini berkait rapat dengan ciri minda hikmah
 ditekankan dalam al-Quran dan Rasulullah iaitu
 merujuk kepada sesuatu yang membawa kebaikan 
serta manfaat kepada kehidupan manusia termasuklah
                                          apa juga bidang ilmu yang membawa kesejahteraan.

 


Firman Allah SWT: 

“Allah memberikan hikmah kebijaksanaan 
(ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang
 dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya).
 Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka 
sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. 
Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran
 (dan peringatan) melainkan orang yang 
menggunakan akal fikirannya.” 

                                                                 (Surah al-Baqarah, ayat 269)

 

 Fahami rahsia hukum dan agama

 

Hikmah ialah kemampuan memahami rahsia hukum dan agama.
Ada yang mentafsirkannya sebagai pemahaman mendalam
 mengenai al-Quran dan sunnah. Menurut Imam Al-Qurtubi 
dalam tafsirnya, ia merujuk kepada segala kebenaran
 berkaitan pegangan, kefahaman agama,
 amalan dan kebijaksanaan.

 


Dalam tafsir Al-Manar, ia dikatakan bermaksud 
kefahaman yang bukan sekadar pada perkara zahir,
 bahkan mengetahui tujuan yang membawa kepada
 kebaikan dunia dan akhirat. Imam Fakhrur al-Razi 
dalam tafsirnya mengaitkan hikmah dengan kefahaman 
menggabungkan aspek teori dan amalan.

 


Ada yang mentafsirkannya sebagai tepat 
dalam percakapan dan bertindak. Yang lain berpendapat 
ia sebagai ilmu bermanfaat yang membuahkan amal 
serta mengetahui rahsia hukum syarak.

 


Dalam Lisan Al Arab, hikmah ialah mengetahui 
suatu paling utama dengan ilmu yang termulia.
 Rasulullah SAW amat mengalu-alukan setiap 
perkara yang lahir dari sifat minda hikmah ini 
atas sifatnya untuk menghasilkan kebaikan dan 
manfaat jangka panjang.

 

Baginda menerima idea menggali parit 
dalam peperangan Khandak walaupun ia bukan 
datangnya daripada kalangan orang Arab, sebaliknya
 oleh pemuda Parsi iaitu Salman al-Farisi dan perkara itu
 tidak pernah berlaku dalam strategi peperangan ketika itu.

 


Justeru, dalam melahirkan pekerja minda kelas pertama,
cara dan proses berfikir yang betul dan baik melalui 
pembelajaran sepanjang hayat perlu terus digalakkan
di tempat kerja. Semua usaha ini perlu diperkukuhkan
dengan penekanan terhadap kerja secara 
berintegriti serta akhlak terpuji.

 



Penulis ialah 
Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah,
Akademi Pengajian Islam 
Universiti Malaya 




Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Mindasihatrangsangbudayakerjakelaspertama/Article


http://4.bp.blogspot.com/_9dGXtmtMqFc/SAqXTusdKxI/AAAAAAAAAEA/JNd2DKOWWRM/s400/minda3.JPG

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...