Photobucket

Sahabat Maya :

Thursday, May 30, 2013

Bahasa Melayu alat penyatuan nasional



Bahasa Melayu

 alat penyatuan nasional




Masalah timbul apabila kaum Cina enggan beri kerjasama



Bahasa adalah entiti yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Ia boleh digunakan untuk mengungkapkan budaya dan menjadi alat untuk membentuk semangat kebangsaan. 



Ia juga adalah sumber penyatuan nasional. Pada zaman purba, China menggunakan sistem tulisan bagi menyatukan rakyatnya daripada pelbagai suku yang menuturkan bahasa yang tidak sama. Pada zaman moden pula, bahasa Jerman dan Itali digunakan untuk tujuan penyatuan di Jerman dan Itali. Indonesia menggunakan bahasa Indonesia untuk tujuan ini.
Dalam semua kes ini, bahasa didapati memang berjaya mendukung peranan murni ini. Untuk ini, ia mesti bahasa yang dikongsi bersama oleh masyarakat yang ingin disatukan itu. Lazimnya dalam hal ini, hanya satu bahasa digunakan dan saluran pentingnya adalah pendidikan.





Sehubungan ini, melalui Laporan Pendidikan Razak yang diperkenal pada 1956 dan kemudian termaktub dalam Akta Pendidikan 1961, tujuan utama sistem pendidikan kita ialah untuk menyatukan semua kaum dengan menggunakan satu bahasa, iaitu bahasa Melayu, melalui penggunaan kurikulum yang sama. Ia masih menjadi tujuan dasar pendidikan kita sehingga ke hari ini.



Sistem pendidikan banyak aliran


Walaupun begitu, untuk memenuhi kehendak sesuatu kaum yang berhak memperoleh pendidikan dalam bahasa ibundanya, sistem pendidikan kita dari awal lagi hingga kini, tidak bersifat satu aliran, yakni menggunakan bahasa Melayu, seperti dicadangkan itu. Sebaliknya, ia terdiri beberapa aliran yang setiap satunya menggunakan bahasa berlainan sebagai bahasa pengantar, terutama pada pendidikan sekolah rendah. Dengan ini, bahasa Melayu hanya boleh mula digunakan sebagai alat penyatu pada pendidikan sekolah menengah saja.


Dengan sistem pelbagai aliran ini, proses penyatuan melalui penggunaan bahasa Melayu, hanya bermula di sekolah menengah untuk sebahagian besar golongan muda, khususnya yang menghadiri sekolah vernakular sebelum ini. Sudah tentu ini bukan cara terbaik untuk tujuan penyatuan seperti dihasratkan oleh sistem pendidikan kita. Adakah ia ikut menyebabkan polarisasi kaum yang banyak diperkata kini?



Polarisasi kaum yang menjadi begitu nyata melalui corak pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, sebenarnya sudah lama wujud. Sebelum ini, ia diperkata sekali-sekala dan tidak pun dianggap sebagai ancaman besar kepada keharmonian kaum di negara ini. Hakikatnya, masyarakat Malaysia tidak pernah bersatu dalam erti kata sebenar-benarnya. Sebaliknya, yang wujud ialah pautan sosial yang memperlihat hubungan etnik yang langsung tidak utuh.


Cina enggan kongsi bahasa


Pelbagai sebab boleh dihubungkaitkan dengan perkara ini. Antaranya sistem pendidikan kita yang gagal menyatukan semua kaum melalui penggunaan bahasa yang dikongsi. Kegagalan ini terletak pada keengganan sektor masyarakat tertentu, antaranya kaum Cina, untuk ikut merealisasikannya agar menjadi kenyataan.


Sehubungan ini, banyak usaha untuk memanfaatkan kepelbagaian aliran pendidikan ini untuk tujuan penyatuan, khususnya melalui bahasa Melayu, tidak diterima baik. Antaranya, pengenalan subjek baru Malaysia Negaraku, bakal diajar sekali minggu selama 30 minit, kepada murid Tahun Satu di semua aliran pendidikan, melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah yang diperkenal pada 2011. 



Ia yang dicadangkan disampaikan dalam bahasa Melayu, tidak diterima. Sebaliknya ia akan diterima jika disampaikan dalam bahasa Mandarin. Walaupun pelbagai alasan diberikan untuk penolakan ini, semuanya memperlihat kaum Cina tidak bersedia untuk bersatu melalui penggunaan bahasa Melayu.


Penggunaan bahasa Melayu untuk mengajar subjek ini sudah tentu bertujuan integratif. Selain boleh memupuk perasaan kebersamaan melalui kandungannya, bahasa Melayu yang digunakan itu boleh ikut memupuk semangat kebangsaan dalam kalangan golongan muda kita. Kedua-dua ini sebetulnya adalah sebahagian daripada semangat perpaduan yang amat penting dalam sebuah negara majmuk.


Penyatuan nasional yang kini akan menjadi agenda utama negara, untuk mempertingkat perpaduan kaum, perlu banyak membabitkan bahasa Melayu selaku bahasa negara, khususnya dalam peranannya sebagai bahasa kebangsaan. Melalui peranan ini, bahasa Melayu hendaklah diangkat semula untuk bukan saja mewakili setiap rakyat Malaysia. 



Tetapi yang lebih penting lagi ia adalah hak milik kita semua dan aspek penting mengenai kerakyatan kita. Dengan ini, ia wajar sekali dijadikan antara alat penyatuan nasional.


Penulis ialah 
Profesor Linguistik di
 Universiti Kebangsaan Malaysia 

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BahasaMelayualatpenyatuannasional/Article/

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...