Sahabat Maya :

Saturday, March 2, 2013

Aktiviti sukan tidak bebankan guru, murid

http://smktsea.com/wp-content/uploads/buku-panduan-pelaksanaan-1M1S-210x300.jpg

Aktiviti sukan

 tidak bebankan guru, murid



Pelbagai program sukan yang dianjurkan di sekolah adalah sejajar dengan keperluan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mahu melahirkan generasi murid di negara ini yang holistik, cemerlang serta seimbang dalam pencapaian akademik dan sukan.


Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Kementerian Pelajaran, Datuk Sufa'at Tumin berkata, aktiviti atau pencapaian sukan di sekolah tidak boleh diabaikan kerana ia sama penting dengan akademik malah merupakan bentuk pembelajaran yang wajib diamalkan setiap pelajar.


Menurutnya, aktiviti sukan sekolah seperti pertandingan rumah sukan, merentas desa atau sukan daerah-daerah sudah lama dipraktikkan malah sudah sinonim di peringkat pendidikan rendah dan menengah bagi memastikan perkembangan murid seiring dengan akademik.


"Oleh itu, tidak timbul isu bahawa aktiviti sukan ini membebankan guru ataupun murid kerana ia bergantung kepada pihak sekolah menyusun atur program sukan tanpa menganggu pembelajaran murid,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.


Katanya, kepentingan murid melibatkan diri dalam kegiatan sukan dan kokurikulum sekolah telah mula dipraktikkan sejak tahun 1985 dan kementerian seterusnya memperkasakan program itu menerusi pelaksanaan dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S).


"Jadi, 1M1S bukan lagi benda baharu kerana penyertaan murid dalam sukan sudah lama dipraktikkan cuma 1M1S ini lebih mempromosikan program sukan sekolah yang sedia ada.


"Sebelum ini, kita tidak mewajibkan murid terlibat dalam aktiviti sukan tetapi di bawah 1M1S setiap murid wajib terlibat dalam sukan selaras dengan keperluan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,'' kata beliau.


Usaha yang digerakkan itu, katanya, adalah satu tindakan berterusan ke arah memperkembang potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu.


Ujar beliau, ia bertujuan untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan.


''Hal ini sekali gus melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara,'' ujarnya


Menurut Sufa'at, kegiatan sukan di sekolah boleh dijalankan dengan lebih terancang dan menepati matlamat sekiranya dilaksanakan berlandaskan tanggungjawab sebagai pendidik dan tidak menganggapnya satu kerja yang membebankan.


Pada masa yang sama, kata beliau, berdasarkan impak awal daripada pelaksanaan 1M1S, murid mempunyai peluang lebih terbuka untuk terlibat dalam aktiviti sukan yang sebelum ini didominasi murid cemerlang atau mereka yang aktif bersukan.


Misalnya, kata beliau, baru-baru ini kementerian menganjurkan Kejohanan Piala Menteri 1Murid 1Sukan khusus untuk murid yang tidak berpeluang mewakili sekolah dalam mana-mana pertandingan dan seramai 68,256 murid berpeluang menyertai pertandingan tersebut.


''Lebih ramai murid hadir mengikuti pemilihan mewakili sekolah ke pertandingan itu dan pihak sekolah tidak mempunyai masalah menyediakan wakil dan bagi kes ini, dua sekolah boleh dijadikan rujukan iaitu SMK Tasik Permai Ampang dan SRK Seri Indera di Kangar, Perlis,'' katanya.


Beliau memberitahu, dasar 1M1S juga tidak mengganggu masa pembelajaran murid kerana dilaksanakan mengikut penjadualan dan kemampuan pihak sekolah.


Selain itu, beliau memberitahu, murid yang berlatih atau menyertai kejohanan akan disediakan modul pembelajaran oleh pihak sekolah manakala atlet yang berlatih atau bertanding di luar negara pula pada tempoh masa agak lama, seorang guru akan mengiringi dan mengajar modul pembelajaran pada waktu malam.
"Keadaan ini kita sudah lama laksanakan misalnya, semasa Pandelela Rinong berlatih di China bagi persiapan Sukan Olimpik lalu, 
seorang guru mengiringinya bagi membantu dia
 dalam pembelajaran,'' katanya.




 http://1.bp.blogspot.com/-DNoPnS74e9w/Tg49NQJSL9I/AAAAAAAAIwE/yjJy0_0nBXE/s1600/1-murid-1-sukan-1-malaysia.jpg

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...