Sahabat Maya :

Friday, February 8, 2013

KSN mahu penjawat awam amal budaya turun padang


KSN mahu penjawat awam

 amal budaya turun padang


LABUAN: Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa mahu penjawat awam mengamalkan budaya turun padang melalui pendekatan "pasang telinga dan buka mata" bagi mengetahui masalah dan keperluan rakyat.

Beliau berkata, penjawat awam perlu peka dan memahami perkara yang berlaku di samping perlu ada "sikap segera" dalam tindakan mengatasi sebarang permasalahan ataupun isu awam sebelum ianya menjadi lebih serius.

Katanya, penjawat awam perlu lebih sensitif kepada persekitaran dan cabaran baru khususnya daripada kalangan pelanggan yang mempunyai harapan lebih tinggi terhadap kualiti, kecekapan dan keberkesanan khidmat diberikan.



"Mereka (pelanggan) kini sedar akan hak mereka untuk mendapat layanan yang lebih adil dan munasabah daripada agensi kerajaan," katanya di majlis bertemu penjawat awam Labuan di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, Kompleks Ujana Kewangan di sini, hari ini.

Ketua Setiausaha Negara yang berada di Labuan untuk lawatan kerja sehari, antara lain melawat projek pembinaan stesen teksi dan bas bersepadu berharga RM37 juta, Kedai Rakyat 1Malaysia Tanjung Aru, tapak cadangan Rumah Mampu Milik, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan menerima maklum balas daripada pengguna feri.

Oleh itu, Aki berkata adalah penting janji yang ditetapkan oleh agensi dan jabatan ditunaikan untuk memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada orang ramai dan perlu sentiasa berusaha ke arah pemberian perkhidmatan melebihi jangkaan pelanggan.

Katanya, adalah menjadi harapan kerajaan melihat lebih ramai golongan bijak pandai di kalangan penjawat awam dengan memiliki daya inovasi dan kreativiti yang tinggi seterusnya mentransformasikan perkhidmatan awam ke arah yang dinamik dan bertunjangkan profesionalisme.
"Penjawat awam harus melaksanakan pemikiran berbentuk kreatif dan inovatif secara lebih proaktif dengan disertai dengan sikap positif, peribadi yang mulia dan nilai yang unggul," katanya.

Ali juga mengingatkan penjawat awam agar terus memberi fokus kepada cabaran dan usaha merealisasikan hala tuju yang digariskan iaitu memastikan perpaduan nasional dan jati diri terus diperkukuhkan dengan berpaksikan Gagasan 1Malaysia.

Katanya, penjawat awam juga antara lain perlu memastikan pengurusan ekonomi dengan baik agar pertumbuhan negara terus berkembang, pengagihan kekayaan kepada rakyat berdasarkan prinsip keadilan sosial, Belanjawan 2013 dilaksanakan mengikut jadual, melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Strategi Lautan Biru Kebangsaan dan memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setiap menteri dan kementerian dicapai.

Ali juga mahu penjawat awam memberi perhatian pada elemen “Ketinggian Peribadi”, satu daripada elemen dalam Tonggak 12 yang menjadi dasar dan panduan perkhidmatan awam. - BERNAMA



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...