Sahabat Maya :

Saturday, February 9, 2013

Hormati kepelbagaian budaya, agama

Hormati kepelbagaian budaya, agama

MUHYIDDIN Yassin 
bersalaman dengan pelajar-pelajar sekolah 
yang turut memeriahkan 
Sambutan Minggu Keharmonian 
Antara Penganut Agama Sedunia
 Peringkat Sekolah-sekolah
 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 3,
 Bandar Kinrara, Kuala Lumpur, semalam.


  
Sikap menghormati kepelbagaian budaya serta agama di negara ini adalah kelebihan yang patut dibanggakan dan terus dipertahankan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, aset yang dimiliki rakyat Malaysia itu perlu terus disemai dalam kalangan generasi muda supaya masyarakat sentiasa memahami perbezaan kebudayaan di samping memupuk semangat muhibah.


"Nikmat keharmonian dan semangat perpaduan yang kita nikmati hari ini merupakan hasil perjuangan generasi terdahulu yang telah berkorban segenap jiwa raga meletakkan cita-cita perpaduan serta semangat muhibah masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.


"Bertuahlah kita berada di bumi tercinta ini dalam keadaan aman dan harmoni, sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat, dihormati dan disegani bangsa lain di dunia," katanya.


Beliau berucap merasmikan Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia Peringkat Sekolah-sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 3, Bandar Kinrara, di sini hari ini.


Jelas Muhyiddin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memperkenalkan konsep 1Malaysia kerana perpaduan adalah prasyarat merealisasi aspirasi negara mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.


Jelas beliau, generasi muda yang merupakan pemimpin masa hadapan perlu sentiasa dipupuk dengan semangat menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara supaya kestabilan dan perpaduan negara sentiasa diperkukuhkan.


Menurut Muhyiddin, dalam konteks pendidikan pihak sekolah serta institusi berkaitan perlu terus berusaha membangunkan persekitaran sosial kondusif serta menggalakkan komunikasi dan interaksi antara murid daripada pelbagai kaum, agama dan budaya.


Selain itu, katanya, para pemimpin institusi pendidikan terutamanya guru-guru perlu mewujudkan perancangan strategik memupuk semangat perpaduan dan patriotisme melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan kesukanan di sekolah.


"Ini secara tidak langsung dapat membangunkan sahsiah modal insan yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi memahami, menghayati serta mengamalkan nilai dan etika yang baik," katanya.




 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...