Sahabat Maya :

Sunday, January 27, 2013

Kejayaan lawatan Najib ke Gaza

 



Kejayaan lawatan Najib ke Gaza


 

Thanks google :)




INI sudah lama menjadi impian saya dan lawatan ini saya lakukan mengikut gerak hati.’ Itulah kata Datuk Seri Najib Tun Razak kepada wartawan Malaysia pada sidang akhbar di Kaherah sehari selepas beliau melakukan lawatan kemanusiaan ke Gaza.


Lawatan tersebut mencatatkan sejarah kerana Najib merupakan Perdana Menteri yang pertama dari Malaysia berbuat demikian, malahan keberanian beliau memasuki zon perang itu turut dipuji oleh media-media Arab memandangkan setakat ini tidak ada pemimpin Islam dalam kalangan negara Arab berbuat demikian.


Bagaimanapun untuk membuat keputusan bagi membenarkan Perdana Menteri menjejak kaki di bumi Palestin bukanlah satu kerja yang mudah, pelbagai usaha terpaksa dilakukan memandangkan Gaza adalah kawasan berisiko tinggi.


Namun keazaman dan niat ikhlas untuk melihat nasib rakyat Palestin serta menunjukkan sokongan kepada perjuangan mereka telah memungkinkan Najib melupakan semua risiko itu.


Wajah Perdana Menteri ketika bercakap dengan wartawan Malaysia selepas lawatan bersejarah itu jelas ceria. Terbayang kepuasan di wajah beliau kerana akhirnya impian untuk melihat kesengsaraan rakyat Palestin menjadi kenyataan.


Selain impian menjadi faktor kepada wujudnya keberanian Najib untuk memasuki Gaza, apa yang lebih penting bagi Perdana Menteri ialah menyampaikan mesej kepada rakyat Palestin bahawa Malaysia sentiasa berdiri teguh bersama mereka bagi mewujudkan sebuah negara merdeka dan berdaulat.


Sebab itulah, biar pun terpaksa meredah jarak perjalanan sejauh 1,700 kilometer dari Kuala Lumpur untuk sampai ke bumi Gaza, Najib sentiasa ceria walaupun lawatan itu telah disalah tafsir oleh pergerakan Fatah yang membuat bantahan melalui Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.


Namun bantahan itu seperti mana kata Najib sememangnya diduga tetapi apa yang pasti beliau ‘tidak tunduk’ dengan desakan Fatah supaya membatalkan lawatan berkenaan kerana Fatah melihat dari perspektif berbeza.


‘‘Itu hak mereka untuk membantah tetapi Malaysia dan saya ada perspektif sendiri kenapa lawatan ini dilakukan. Ini adalah lawatan kemanusiaan dan ia sama sekali tiada kaitan dengan isu dalaman Palestin melibatkan Fatah dan Hamas,’’ kata Najib


Perdana Menteri menyatakan perkara itu dengan nada yang tegas kepada wartawan Malaysia dan sekali gus menunjukkan beliau sama sekali tidak akan tunduk dengan sebarang desakan yang disebabkan salah tafsir.
Ketegasan Najib inilah yang memungkinkan, ketibaan beliau di bumi Palestin pada Selasa lalu disambut dengan penuh meriah, biar pun kawalan keselamatan yang diberikan amat ketat.


Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh berada dalam sebuah kereta bersama Najib membawa Perdana Menteri Malaysia itu melawat sekitar bandar Rafah dan Gaza bagi melihat kesan serangan rejim Zionis selama lapan hari bermula 14 November lalu.


Sebelum itu, sebaik sahaja melepasi sempadan Rafah-Gaza, Najib sudah merasai betapa tingginya semangat jihad rakyat Palestin apabila beliau dibawa oleh Ismail Haniyeh melihat kereta Komander Al Qassam Hamas, Ahmed Al-Jafari.


Kereta tersebut dipamerkan di depan pusat pemeriksaan dan kuarantin Rafah sebagai simbol bagi meningkatkan semangat jihad rakyat Palestin kerana kenderaan itu terkena serangan roket Israel 14 November lalu menyebabkan Ahmed Al-Jafari terbunuh.


Sebab itulah dalam lawatan ke Gaza itu, Najib dibawa menziarahi keluarga Ahmed Al-Jafari termasuk beramah mesra dengan anak Allahyarham berusia enam tahun iaitu Hussein Al-Jafari.


Bukan sahaja pembunuhan Ahmed Al-Jafari sahaja menjadi simbol kekejaman puak Zionis, malahan Perdana Menteri juga dibawa melihat bagaimana beberapa buah bangunan yang dimusnahkan oleh rejim itu atas alasan ada kaitan dengan tentera.


‘‘Tetapi saya dapati sepanjang lawatan berkenaan kesemua bangunan itu sama sekali tidak mempunyai signifikan daripada nilai ketenteraan. Sebaliknya yang musnah adalah sekolah, stadium, pejabat Perdana Menteri dan bangunan awam yang tiada kaitan dengan tentera,’’ kata Najib.


Mesej


Ternyata Najib tidak sekadar melihat kemusnahan yang berlaku, malahan dengan semangat untuk membantu rakyat Palestin, Malaysia membina sebuah sekolah yang dikenali Al-Madrasah Al-Malaysie, sebuah hospital dan membina semula pejabat Perdana Menteri Palestin.


Walaupun melakukan lawatan yang cukup singkat namun Najib berjaya menyampaikan mesej kepada rakyat Palestin bahawa Malaysia bersedia melakukan apa sahaja untuk memastikan mereka mencapai impian mempunyai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.


Berikutan keadaan itulah, Najib yang berucap di hadapan Kabinet dan Ahli Parlimen Palestin dalam sebuah khemah khas yang difahamkan baru dua hari dibeli di Kaherah meminta Fatah dan Hamas bekerjasama bagi menjayakan Pelan Perdamaian yang sedang diusahakan oleh Mesir.


‘‘Inilah prasyarat paling penting, jika mereka mahu melihat Palestin berjaya dalam perjuangannya untuk menubuhkan sebuah negara, Hamas dan Fatah perlu duduk semeja bagi menyelesaikan perbezaan antara mereka kerana pelan itu amat penting demi masa depan rakyat Palestin.


‘‘Bagi Malaysia, walaupun kita tidak mempunyai peranan secara langsung dalam pelan berkenaan namun melalui pertemuan demi pertemuan yang kita adakan dengan kedua-dua pihak itu, kita menekankan betapa pentingnya pelan itu dijayakan,’’ kata Najib.


Sememangnya Najib benar-benar mahu melihat Hamas dan Fatah berbuat demikian sebab itulah dalam ucapan beliau di Gaza dalam dua majlis, Perdana Menteri memberi penekanan kepada perkara itu kerana kata Najib, perpaduan adalah penentu bagi mencapai keamanan dan kemakmuran.


Sementara rakyat Palestin menyanjung tinggi keprihatinan Najib dan media Arab menghamburkan pujian, namun di tanah air sendiri, ada pihak yang tidak senang duduk dengan lawatan mulia Perdana Menteri itu.


Mereka memperlekehkannya termasuk Ketua Dewan Pemuda Pas pusat, Nasruddin Hassan yang menganggap ia hipokrit. Inilah masalah Pas, mereka melihat segala-galanya dari sudut politik. Bagi Pas, seolah-olah pujian yang diberikan kepada Najib adalah petaka kepada politik sempit mereka.


Sebab itulah, penyokong-penyokong mereka melakukan serangan bukan sahaja melalui kenyataan dangkal Nasruddin tetapi juga melalui Facebook, blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Malahan puak Pas semakin kepanasan dan tidur tidak lena, apabila bekas Timbalan Presiden parti itu sendiri, Nasharudin Mat Isa turut menyertai rombongan Perdana Menteri itu.


Justeru mereka berusaha memburuk-burukkan lawatan tersebut termasuklah melemparkan pelbagai tuduhan ke atas Nasharudin tanpa mempertimbangkan fakta bahawa Ahli Parlimen Bachok itu ialah Pengarah Yayasan Al-Quds Malaysia yang mempunyai hubungan rapat dengan Palestin.


Tetapi apa hendak buat, kalau minda sudah tertutup dengan politik kebencian, apabila telinga dipekakkan untuk mendengar fakta dan mata sudah dikaburi dengan matlamat memburu kuasa politik, inilah jadinya!. Sehinggakan lawatan yang boleh dianggap jihad dan digalakkan oleh Islam turut diperlekehkan.


Bagi puak-puak Pas ini, hanya mereka sahaja yang layak memperjuangkan nasib umat Islam lain, kalau Perdana Menteri atau UMNO lakukan itu dianggap hipokrit, tetapi hakikatnya kalau dikaji mereka bukan sahaja hipokrit malahan lebih banyak beretorik dalam memperjuangkan Islam.


Oleh itu tidak perlulah kita menghabiskan masa melayan puak-puak atau mana-mana pemimpin Pas yang semakin muflis modal politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.


Apa yang pasti lawatan Najib bukan sahaja berjaya menyampaikan mesej kepada rakyat Palestin terhadap sokongan Malaysia tetapi juga meningkatkan imej Malaysia di mata dunia khususnya negara Islam yang melihat Malaysia sebagai model dalam mempraktikkan Islam dalam zaman moden.










No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...