Sahabat Maya :

Friday, December 14, 2012

Ubati marah dengan ilmu dan amal

Ubati marah dengan ilmu dan amal



BILAKAH kali terakhir anda marah dan kepada siapakah anda tujukan kemarahan itu? Sudah berapa banyak hati yang terluka dengan kemarahan anda itu?


Bukan tidak boleh marah namun kadang-kadang marah itu menjadi wajib. Nabi pun pernah marah apabila agamanya dipermainkan. Bila ada pelanggaran hukum Allah nabi menampakkan kemarahannya.


Buruk sangat marah dilakukan kerana nafsu. Ja’far bin Muhammad mengatakan, “Marah adalah pintu segala kejelekan.” Dikatakan kepada Ibnu Mubarak, “Kumpulkanlah untuk kami akhlak yang baik dalam satu kata! Beliau menjawab, “Meninggalkan amarah.”

Demikian juga Imam Ahmad dan Ishaq menafsirkan bahawa akhlak yang baik adalah dengan meninggalkan amarah. Orang yang marah tidak tentu pasal tidak perasan ke buruknya muka orang marah.

Raut wajahnya berubah, darahnya meluap, anggota menggeletar, urat-urat lehernya menegang, pergerakannya kelam kabut, percakapannya tidak jelas, lidahnya mudah mengeluarkan kata keji, mengumpat, mengutuk dan kemungkinan mengeluarkan kata haram yang boleh mengeluarkannya daripada Islam seperti lafaz kufur, mencela agama dan seumpamanya.

Selain daripada itu, seorang yang cepat marah akan melakukan tindakan di luar dugaan yang berkemungkinan akan membabitkan kerugian harta dan kesakitan pada tubuh badan.

Yang parah lagi, marah terhadap masyarakat, ia melahirkan perasaan dengki 

di dalam diri dan menyembunyikan niat jahatnya terhadap seseorang.

Ia boleh membawa kepada perbuatan menyakiti orang lain dan membenci serta merasa gembira apabila mereka ditimpa musibah. Seterusnya akan mencetuskan permusuhan dan kebencian di antara sesama manusia.


Maka, rosaklah kehidupan dan runtuhlah masyarakat. Ada seperkara lagi yang selalu kita lakukan ketika marah, padahal perkara itu amat membahayakan diri sendiri sebelum ia membahayakan diri orang lain.


Mungkin kita menyedari perbuatan itu salah, tetapi kerana terlalu terpengaruh dengan marah kita tidak dapat menimbang lagi segala kata-kata yang diucapkan oleh lidah.


Kata-kata itu seperti melaknati orang, mencelakakan orang dan sebagainya. Sebab jika kita menyebutkan kata-kata yang tidak senonoh itu kepada orang lain, seolah-olah kita menuduhnya dengan ucapan kita itu.


Andai kata apa yang diucapkan itu memang benar, nescaya kita melanggar perintah menyuruh kita menutup segala keaiban orang lain. Orang yang mendedahkan keaiban saudaranya adalah berdosa besar di sisi Allah sekalipun perkara yang dituduhnya itu memang benar. Apatah lagi jika tidak benar, maka dosanya akan bertimpa-timpa lagi. Ada setengah ulama menganggap ucapan seperti ‘sial’, ‘laknat’, ‘celaka’ dan seumpamanya sebagai doa, kerana ada sebuah hadis daripada Rasulullah yang melarang perbuatan seperti itu, nescaya bencana ucapan itu akan menimpa orang yang ditujukan ucapan itu, kiranya dia memang patut menerima bencana itu pada ukuran Allah.


Tetapi kiranya dia tidak patut menerimanya, maka bencana itu akan kembali menimpa ke atas orang yang memberi ucapan itu.


Diriwayatkan dari Jabir, beliau berkata: “Suatu masa kami bersama-sama Rasulullah sedang menuju ke medan perang, tiba-tiba ada seorang Ansar merasa tidak selesa terhadap binatang kenderaannya, lalu dia menyumpah-nyumpah binatang itu: Jalanlah, laknat! Maka baginda marah kepada orang Ansar itu lalu bersabda: Turunlah dari binatang itu! Jangan engkau biarkan ia ikut bersama-sama kita, kerana ia mendapat laknat. Kemudian Baginda bersabda lagi: Janganlah engkau mendoakan (kecelakaan) ke atas dirimu atau ke atas anak-anakmu atau ke atas harta bendamu, kerana dikhuatiri bertepatan pada saat doa mustajab, di mana setiap hamba yang memohon (berdoa) sesuatu dari Tuhan akan dikabulkan”.


Di sini mari kita berkongsi sedikit tip untuk merawat sifat marah yang berasaskan nafsu atau baran. Sebenarnya penyakit marah yang dicela itu boleh diubati dengan dua perkara iaitu ilmu dan amal.



Mengubati marah dengan ilmu itu ada enam perkara:




  • Bertafakur memikirkan kisah teladan yang menyentuh buruk baiknya bersifat marah, berfikir keutamaan menahan kemarahan, memberi maaf dan berlemah lembut.

    Dengan cara itu, akan menjadikannya gemar dan suka kepada pahala yang bakal diperoleh dari menghiasi diri dengan sifat tadi. Seterusnya dapat mencegahnya dari bersifat marah.

  • Seseorang itu menakutkan dirinya kepada seksaan Allah dengan mempercayai bahawa kekuasaan Allah ke atas dirinya lebih besar dari kekuasaannya ke atas manusia lain.
  • Mengingatkan diri akibat permusuhan dan pembalasan dendam.
  • Berfikir mengenai bentuk buruk dirinya ketika dia marah dan berfikir betapa kejinya sifat marah itu.
  • Berfikir sebab yang membawanya kepada kemarahan.
  • Menyedari kemarahannya berpunca dari sikap membanggakan diri sendiri yang tidak sesuai dengan kehendak Allah.


    Sementara itu, mengubati marah dengan amal perbuatan pula ialah dengan membaca doa: “Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang kena rejam.


    Begitu juga sunat dibaca doa itu ketika marah, ertinya: “Wahai Tuhanku, Tuhan Nabi Muhammad, ampunilah dosaku, hilangkanlah kemarahan hatiku dan lepaskanlah aku dari fitnah-fitnah yang menyesatkan”.


    Jika kemarahan itu tidak hilang dengan membaca ayat itu , maka hendaklah seseorang itu duduk jika dia marah dalam keadaan dia berdiri, (berdiri sebenarnya keadaan bersedia untuk bertindak sebab itu Rasul suruh duduk sebab duduk kurang sedikit kemahuan bertindak ganas. Begitu juga disuruh baring sebabnya ketika baring sudah tidak ada keupayaan untuk bertindak.


    Dekatkan diri dengan bumi, yang mana dari bumi itulah dia dijadikan dan supaya dia tahu kehinaan dirinya. Kemudian carilah dengan duduk dan berbaring itu ketenangan.


    Rasulullah bersabda yang maksudnya, “Ingatlah sesungguhnya marah itu adalah bara api di dalam hati anak Adam. Tidakkah engkau melihat kepada kedua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang membengkak? Apabila salah seorang kamu mengalami yang demikian, maka hendaklah dia melekatkan dirinya ke bumi”

    Selain itu, cara menghilangkan marah juga ialah dengan mendiamkan diri.
    Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Apabila seseorang di antara kamu marah, maka hendaklah dia diam.

    Oleh kerana kesan tercela yang ditimbulkan sifat marah itu, Rasulullah menganjurkan umat manusia supaya jangan suka marah. Ia tidak akan mendatangkan perkara yang baik kepada diri.


    Malah, menyebabkan pelbagai bencana terutama sekali perasaan marah itu diletakkan bukan pada tempatnya. Selain itu, orang yang suka marah sering ditunggangi syaitan yang memaksakan kehendaknya ke atas orang yang marah itu.


    Manakala orang yang menurut kehendak syaitan tidak akan selamat di dunia dan di akhirat. 

  • http://encikbaca.files.wordpress.com/2009/06/dahsyatnya-sabar.jpg?w=300&h=209





    p/s :

    Memang sabar itu mudah diucapkan oleh sesiapa jua.
    Tetapi, apakah kemampuan kita untuk melaksanakan erti sebenar kesabaran itu?
    Justeru itu, ucapkanlah berkali-kali perkataan sabar itu kerana keimanan kita juga
     akan diuji berkali-kali untuk melihat sejauh mana tahap kesabaran dalam diri.
       Semoga sentiasa sabar kerana sabar itu sebahagian daripada iman .... :) 
    Sabar itu bukanlah bermakna tidak merasai kesedihan dan kepedihan. 
    Sebagai makhluk yang ternyata lemah, itu adalah sifat yang tidak dapat dihindari.

     

      " Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang beriman. 
    Bertaqwalah kepada Tuhanmu". Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini 
    memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. 
    Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah
     yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas."

     (39:10)

    http://2.bp.blogspot.com/-_RPJXQ0wydA/UGbL4TZWFrI/AAAAAAAAALM/mTYna1veMP0/s1600/hiduo+tenang+dgn+sabar.jpg


    No comments:

    Post a Comment

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...