Sahabat Maya :

Sunday, December 16, 2012

Perkara 161 mesti digubal kekal kekebalan bahasa Melayu

 

Perkara 161 mesti digubal kekal kekebalan bahasa Melayu


Oleh : Teo Keok Seong 

Hasrat untuk mengadakan kajian semula perundangan terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 oleh sesetengah pihak adalah tindakan yang membelakangkan semangat musyawarah yang dipupuk dalam sistem demokrasi ketimuran yang kita amalkan.

Tindakan seteru ini yang menamakan Menteri Pelajaran dan Kementerian Pelajaran sebagai responden pertama dan kedua dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu, memperlihatkan betapa kurangnya sifat kesusilaan pada sesetengah daripada kita untuk berunding walaupun diberi kesempatan berbuat demikian sehingga akhir tahun.

Antara perkara yang dituntut adalah perintah untuk membatalkan PPPM yang didakwa melanggar Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 2 Perjanjian 20 Perkara Penubuhan Persekutuan Malaysia oleh Sabah. Perkara 161 merujuk kepada kebebasan penggunaan bahasa Inggeris di Sabah dan Sarawak, sehingga tempoh sepuluh tahun selepas penubuhan Persekutuan Malaysia. Begitu juga halnya dengan Perkara 2 yang antaranya menuntut agar bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi untuk semua bidang, dengan tiada had tempoh langsung.


Justeru, kajian semula perundangan itu bertujuan memohon perintah agar kedua-dua responden mematuhi keperluan seperti yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan dalam menggubal PPPM. Jika tidak, ia akan cuba mendapat perisytiharan bahawa PPPM digubal dengan kuasa perundangan yang tidak adapun pada Menteri Pelajaran dan Kementerian Pelajaran.


Ketepi nasionalisme

Tindakan itu walaupun sah di sisi undang-undang negara, sebahagian daripadanya boleh ditafsirkan sebagai perbuatan yang membelakangkan nasionalisme linguistik bahasa Melayu. Ia memperlihat betapa tidak bangga dan tidak yakinnya sesetengah daripada kita kepada kemampuan bahasa Melayu, khususnya untuk memajukan rakyat.

Tindakan ini juga boleh ditafsirkan sebagai perbuatan memperkecilkan kedudukan bahasa Melayu, yakni bahasa pribumi yang juga bahasa negara ini, di sisi bahasa Inggeris, iaitu bahasa asing, di tanah watannya sendiri.
Dalam konteks ini, bahasa Melayu boleh dikatakan sebagai satu-satunya bahasa negara di dunia ini yang tidak disanjungi sepenuhnya oleh setiap lapisan dan sektor masyarakat, sama ada kelas sosial rendah atau tinggi dan penduduk asal atau bukan asal. Sikap begini boleh ditafsirkan sebagai tidak menghormati kedudukan agung bahasa Melayu di sisi undang-undang.

Sudah tiba masanya Perkara 161 disemak untuk dipinda. Keperluan perundangan tempoh sepuluh tahun itu sepatutnya sudah lama diperbetul. Kini selepas hampir 50 tahun penubuhan Persekutuan Malaysia, pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bukan saja masih belum tercapai sepenuhnya tetapi sering dijadikan isu yang boleh menjadi sensitif dan mencetuskan pergaduhan kaum seperti Rusuhan Etnik 1969.


Pinda Akta Bahasa Kebangsaan

Sehubungan ini, Akta Bahasa Kebangsaan perlu dipinda lagi selepas beberapa kali diperbaiki sejak 1957 kerana kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara terus dipertikai. Ia perlu segera dilakukan untuk memberi penegasan sekali lagi mengenai taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, lebih-lebih lagi sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal.

Akta Hasutan yang pernah digunakan untuk menghalang perbincangan awam mengenai isu yang boleh menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat, perlu digunakan semula. Ia amat perlu kerana terdapat pihak yang cuba membangkitkan isu bahasa rasmi ini, khususnya secara penuh acuman, melalui pelbagai cara.

Sesungguhnya setelah sekian lama penubuhan Persekutuan Malaysia, bahasa Melayu yang juga bahasa negara, sudah pun difahami oleh warga negara Malaysia bukan saja dalam pengertian perundangannya. Tetapi lebih penting lagi dalam takwil emosi dan moralnya. Dalam hal ini, mereka perlu mempunyai perasaan bangga, sayang dan setia kepada bahasa Melayu, selain memperlihat kelakuan positif terhadapnya.

Sebagai bahasa negara, bahasa Melayu perlu digunakan oleh setiap warga negara dalam semua bidang dan kegiatan hidup. Ia sebetulnya bahasa setiap warga negara yang mempunyai kesetiaan kepada Malaysia.


Penulis ialah 
Profesor Linguistik di 
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...