Sahabat Maya :

Saturday, November 24, 2012

Andai Pinjaman Pelajaran Ditiadakan


Andai pinjaman pelajaran ditiadakan



Iklan berjimat cermat yang ditayangkan di televisyen, menarik perhatian. Iklan itu menunjukkan langkah yang diambil oleh seorang ayah untuk menyediakan segala keperluan bagi membina keluarga termasuk pembiayaan pelajaran anak. Anaknya pula mengucapkan terima kasih ke atas budi dan jasa ayahnya yang mengambil berat soal pelajaran untuk memastikan anak-anaknya berjaya.



Iklan itu menggambarkan realiti hari ini yang mana walaupun kerajaan memberi pelbagai kemudahan pelajaran di sekolah rendah dan menengah, ibu bapa masih perlu menampung perbelanjaan mereka. Di institusi pengajian tinggi (IPT) hari ini, mereka mendapat bantuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).



Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) semakin hampir. Pembangkang berkempen untuk menghapuskan pinjaman PTPTN tanpa mengkaji kesannya kepada rakyat khasnya mereka yang berpendapatan rendah. Cadangan penghapusan PTPTN adalah salah satu tindakan popular yang diambil parti itu semata-mata untuk memenangi pilihan raya. Mereka menjadikan kesukaran membayar balik pinjaman sebagai alasan. Mereka sebenarnya tahu bahawa tanpa PTPTN, anak-anak tetap memerlukan wang untuk menampung perbelanjaan mereka. 



Selain perbelanjaan harian, anak-anak memerlukan wang untuk keperluan pelajaran, kenderaan atau setidak-tidaknya tambang ke sana ke mari, komputer, kemudahan internet, telefon bimbit yang sudah menjadi keperluan penting dan sebagainya. Mereka juga tahu siapakah atau golongan manakah yang memerlukan pinjaman itu. Tanpa pinjaman, ia adalah satu penganiayaan kepada golongan ini.


Bagi ibu bapa, ketiadaan bantuan pinjaman akan menyebabkan mereka mencari sumber lain untuk mencari wang jika mahu anak mereka melanjutkan pelajaran ke IPT. Jika tidak ada sumber yang sanggup memberikan mereka wang, jalan paling mudah ialah memberhentikan anak-anak daripada meneruskan cita-cita mereka. 



Paling ditakuti ialah apabila ibu bapa terpaksa mendapatkan pinjaman daripada peminjam tidak berlesen atau along. Untuk mendapatkan pinjaman bank bukanlah mudah. Bank memerlukan jaminan bayar balik dan pelbagai syarat sebelum pinjaman boleh dikeluarkan. Apa logiknya PTPTN ditiadakan, sedangkan ibu bapa terpaksa meminjam di bank pula.



Seorang penjawat awam menyatakan kebimbangannya terhadap sikap pembangkang yang gelojoh. Menurutnya, beliau pelik dengan idea pembangkang yang dianggapnya sebagai ugutan kepada rakyat itu. Pembangkang langsung tidak memikirkan kumpulan sasaran yang mengharapkan pinjaman itu. Bagi orang berada, ia bukanlah masalah besar kepada mereka, Tetapi, bagi kebanyakan orang Melayu khasnya anak petani dan mereka yang makan gaji, ketiadaan pinjaman itu boleh menjadi masalah besar kepada kehidupan mereka.

 
Sejak pembangkang melontarkan cadangan memansuhkan pinjaman PTPTN, ada antara ibu bapa yang anak mereka belajar di sekolah menengah, mula mengikat perut. Mereka terpaksa mengurangkan segala perbelanjaan untuk menyimpan wang sebagai persediaan jika anak mereka memasuki IPT. Sebelum ini mereka tidak begitu bimbang kerana ada jaminan mendapat pinjaman untuk menyambung pelajaran. 


Menurutnya, beliau mula menyimpan wang selepas mendengar usul daripada pembangkang untuk menghapuskan PTPTN. Sekarang ini, anak-anak berpeluang memasuki institusi pengajian tinggi dengan jaminan akan mendapat pinjaman PTPTN. Ibu bapa tidak begitu bimbang untuk menyediakan wang bagi menampung segala perbelanjaan pelajaran dan keperluan lain. Sekiranya PTPTN ditiadakan, bermakna ibu bapalah terpaksa menyediakan segala perbelanjaan.



Jika dua atau tiga orang anak yang menuntut di IPT, ia tentunya menyulitkan kehidupan mereka. Beliau berpendapat, jika tidak mahu keadaan ini berlaku, tidak ada sebab rakyat perlu menyokong pembangkang. 



Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...