Sahabat Maya :

Sunday, October 14, 2012

65 kakitangan PPD Johor Bahru ke Korea Selatan 26 Okt



Kebudayaan: 

 

65 kakitangan PPD Johor Bahru 

ke Korea Selatan 26 Okt

 


JOHOR BAHRU 10 Okt. - Seramai 65 orang warga Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Johor Bahru akan menganjurkan Program Pengantarabangsaan Kebudayaan dan Kesenian ke Korea Selatan selama lapan hari mulai 26 Oktober ini.

Penolong PPD Johor Bahru (Pembangunan Kemanusiaan), Ahmad Taufik Hamzah berkata, pada program itu seramai 26 murid tahun dua hingga lima dari Sekolah Kebangsaan (SK) Infant Jesus Convent, SK Perempuan Sultan Ibrahim dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 2 serta SK Gelang Patah akan menyertai delegasi tersebut.
Katanya, yang turut serta ialah Pegawai Pelajaran Daerah Johor Bahru, Bahrom Ali dan beberapa pegawai PPD Johor Bahru dan Jabatan Pelajaran Johor, guru besar dan pengetua serta guru terpilih.

"Tujuan program ini untuk memperkasakan kecemerlangan murid dalam bidang kebudayaan dan kesenian khasnya tarian. Secara tidak langsung program ini memberi peluang kepada keempat-empat sekolah tersebut untuk menyahut seruan Kementerian Pelajaran dalam mewujudkan kebitaraan sekolah menerusi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

"Program ini juga merupakan salah satu daripada lapan elemen yang membentuk SBT. Program pengantarabangsaan sistematik dan terancang dapat memastikan aktiviti bersama institusi pendidikan di Korea Selatan sempurna dan bermanfaat melalui 'Program Pertukaran Sekolah' antara kedua-dua negara," katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Ahmad Taufik, di samping memperkasakan kebudayaan dan kesenian Johor dalam kalangan murid-murid untuk bersaing di peringkat antarabangsa, ia juga dapat mempromosikan negeri ini melalui aktiviti kesenian selain mampu meningkatkan kecemerlangan kepimpinan di kalangan pegawai, pengetua, guru besar di daerah ini.

"Di Korea Selatan kelak, delegasi akan dibawa ke Korea National University of Arts dan ke sekolah kluster, Kyung Hee Elementary.

"Selain itu, kami juga akan menyaksikan sendiri cara-cara menyediakan makanan tradisional kimchi, mencuba pakaian tradisonal hanbook, melawat Korean Folk Village, Everland Theme Park, Ginseng and Ameythest Center dan singgah di Masjid Besar Itaewon," katanya lagi.




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...