IKIAT diiktiraf pusat penyelidikan sejarah, seni dan budaya OIC







Kuala Terengganu: Negeri ini bakal mencipta sejarah melalui penubuhan Institut Kaligrafi Islam Antarabangsa Terengganu (IKIAT), yang pertama seumpamanya di Malaysia dan Asia.





Penubuhan institut itu mendapat sokongan penuh dan pengiktirafan Pusat Penyelidikan Sejarah, Seni dan Kebudayaan Islam Persidangan Kerjasama Islam (OIC) atau IRCICA, sekali gus menyokong matlamat kerajaan menjadikan Terengganu sebagai Anjung Ilmu dalam pembangunan dan perkembangan seni Islam terma-suk seni khat dan kaligrafi. Satu perjanjian persefahaman (MoU) bagi penubuhan IKIAT diadakan semalam membabitkan IRCICA yang diwakili Ketua Pengarahnya, Dr Halit Eren; Taman Tamadun Islam Management Sdn Bhd (TTISB) oleh Engku Md Azmi Engku Abd Rahman; Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) diwakili Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumninya, Dr Abd Hakim Abdullah dan Institut al-Quran Terengganu (IQT) oleh Pendaftarnya, Lothman Awang.





Majlis memeterai perjanjian penubuhan IKIAT yang bakal beroperasi di TTI dan dikendalikan secara bersama oleh TTISB, UNISZA dan IQT, disaksikan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah mewakili Kerajaan Terengganu.





Menerusi MoU itu, IQT akan fokus kepada penyediaan tenaga pengajar dan latihan, UNISZA dari segi penyelidikan dan kajian, manakala TTISB menjurus kepada pembangunan produk dan pemasaran membabitkan hasil seni khat yang diiktiraf IRCICA.





Bercakap pada sidang media selepas itu, Mazlan berkata, penubuhan IKIAT mendapat pengiktirafan IRCICA sebagai badan tunggal di bawah OIC yang bertanggungjawab berkaitan penyelidikan sejarah, seni dan kebudayaan Islam dunia, berpusat di Istanbul, Turki.




“IRCICA juga bersetuju menghantar beberapa peralatan mesin berkaitan seni khat selain tenaga pengajar. Buat sementara, institut ini akan beroperasi di bangunan TTI dan bilangan pelajar amat terhad antara 10 hingga 15 orang membabitkan pelajar asing," katanya.




art