Photobucket

Sahabat Maya :

Saturday, September 1, 2012

8 penerima anugerah ikon generasi muda


Pandelela Rinong



Pandelela antara 8 penerima

anugerah ikon generasi muda

KUALA LUMPUR - Ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg adalah antara lapan penerima anugerah Ikon Generasi Muda pada Perhimpunan 55 Merdeka: Janji Ditepati di sini, malam tadi.



Selain Pandelela, 19, penerima anugerah lain bagi bidang sukan ialah pemain badminton Datuk Lee Chong Wei dan pemain skuasy nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David manakala penerima anugerah generasi muda kategori belia, Muhammad Zhariff Afandi, 29, turut menerima anugerah itu yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.



Pada Olimpik London baru-baru ini, Chong Wei meraih pingat perak setelah tumpas kepada musuh ketatnya Lin Dan dari China, manakala Pandelela mencipta sejarah apabila muncul atlet pertama selain daripada acara badminton memenangi pingat gangsa menerusi acara terjun platform 10 meter.



Ratu terjun negara itu yang berasal dari Kampung Jugan, Bau, Sarawak dilahirkan pada 2 Mac 1993.



Pandelela berkata pengiktirafan beliau sebagai ikon sukan negara diharap dapat memberi inspirasi kepada golongan belia di negara ini.



"Bagi saya sambutan kemerdekaan tahun ini lebih meriah dengan kehadiran lebih ramai rakyat Malaysia di sini," katanya ketika ditemui pemberita.



Selain itu, tiga penerima anugerah pencapaian cemerlang sepanjang zaman yang disampaikan Perdana Menteri ialah bekas pemain bola sepak Wong Chye Fook@James Alan Wong (Sabah), Tan Sri Dr Wong Soon Kai (Sarawak) dan Datuk Profesor Dr Asmah Omar (Semenanjung).



Pandelela turut berharap supaya lebih ramai generasi muda menceburkan diri dalam bidang sukan kerana ia mempunyai kebaikan dan menyihatkan badan.



Bagi Orang Kelainan Upaya (OKU), Muhammad Zhariff Afandi, 29, yang lahir tanpa kedua-dua tangan, berkata pencapaiannya sebagai Ikon Generasi Muda ialah satu kebanggaan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.



"Saya harap golongan belia dapat lebih maju, kita semua boleh maju ke hadapan walaupun kita berbeza etnik malah kita rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat memupuk semangat 1Malaysia dalam generasi kemerdekaan," katanya.



Bagi penyanyi, Yuna penganugerahan itu satu kegembiraan baginya yang memperjuangkan muzik sehingga ke luar negara.



"Saya ingin berpesan kepada remaja di luar sana kalau anda ada bakat, kemahiran dan cita-cita, teruskan dan fokus serta bekerja keras dan sentiasa berhubung dengan kedua ibu bapa, agama dan ALLAH. Insya-Allah semuanya akan berjalan lancar," katanya.



Yuna berkata, erti kemerdekaan baginya ialah bersyukur dengan nikmat keamanan negara yang dikecapi sejak 55 tahun lepas. - Bernama



Sumber








No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...