Sahabat Maya :

Saturday, July 21, 2012

Graduan pendidikan kena bersaing cari kerja




Graduan pendidikan

kena bersaing cari kerja






Tidak lama dulu, ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berlumba-lumba melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan kerana itulah satu-satunya prospek yang menjanjikan pekerjaan sebaik keluar universiti atau maktab.





Malah, beberapa rakan yang menganggur sekitar pertengahan 1990-an, selepas menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang di universiti, turut menyambung pengajian mereka dalam bidang pendidikan, dengan alasan tidak perlu menunggu lama untuk bekerja.






Bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini, berlaku lambakan graduan lepasan pendidikan dan fenomena ini berlaku disebabkan ketiadaan unjuran pengambilan guru oleh Kementerian Pelajaran.





Perkara ini diakui Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mendedahkan penawaran tempat pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) di beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tahun ini menunjukkan pengurangan berbanding tahun lalu.





Bagi sesi akademik 2012/2013, pengambilan untuk program ISMP hanya membabitkan 2,304 calon di sembilan IPTA berbanding 3,002 orang pada sesi sebelumnya di 11 IPTA.






“Disebabkan tiada unjuran pengambilan, kemasukan pelajar ke Program Pendidikan adalah bersifat pasaran terbuka dan ini tiada jaminan pekerjaan.





“Selepas menamatkan pengajian, mereka perlu bersaing seperti graduan dalam program lain untuk mendapatkan pekerjaan.





“Dalam hal ini, kementerian mengarahkan IPT yang menawarkan program ini supaya memastikan pelajar mereka dilengkapi dengan nilai dan kemahiran insaniah yang tinggi dan bersedia memohon pekerjaan lain selepas menamatkan pengajian,” katanya sempena majlis ‘Impianku ke Menara Gading’.





Tahun ini, daripada 63,467 calon lepasan STPM/Matrikulasi/Asasi yang mengemukakan permohonan untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah pertama, seramai 38,549 (73.5 peratus) calon layak ditawarkan di 20 IPTA.





Mohamed Khaled berkata, seperti tahun sebelum ini calon perempuan mendominasi kemasukan pelajar ke IPTA dengan jumlah 25,372 orang iaitu 65.8 peratus berbanding calon lelaki yang hanya seramai 13,177 orang atau 34.2 peratus.





“Ini bermakna, usaha berterusan menimbulkan minat dan menggalakkan pelajar lelaki untuk menyambung pengajian ke universiti khususnya perlulah dilakukan supaya proses pembangunan modal insan dalam negara dapat dilaksanakan secara saksama tanpa menyisihkan penyertaan mana-mana jantina,” katanya.





Selain itu, dari aspek perbandingan aliran calon yang berjaya pula, seramai 21,959 (57 peratus) ditawarkan dalam aliran sains dan 16,590 (43 peratus) daripada aliran sastera.





Angka ini sebenarnya selari dengan hasrat KPT melaksanakan dasar penawaran tempat sebanyak 60 peratus dalam bidang sains dan 40 peratus bagi bidang sastera.





“Langkah ini bertujuan menarik minat pelajar terhadap sains sekali gus memperkukuhkan kekuatan modal insan dalam bidang itu,” katanya.





Kementerian menyediakan Biasiswa MyBrainSc berjumlah kira-kira RM9.5 juta tahun ini bagi meningkatkan bilangan penyelidik, saintis dan kejuruteraan yang bakal menjadi tenaga pengajar di negara ini dalam bidang sains tulen seperti fizik, kimia, biologi dan matematik.





Daripada 1,060 permohonan awal, 258 calon berjaya lulus temu duga dan daripada jumlah itu, 42 calon mendapat tawaran pengajian universiti di pelbagai peringkat dalam dan luar negara.





“Pelaksanaan proses pemilihan kemasukan pelajar ke IPTA adalah sistematik dan telus. Ia memberi peluang kepada segenap lapisan tanpa mengambil kira latar belakang calon. Pemilihan dilaksanakan berdasarkan pencapaian akademik dan pilihan program pengajian calon, hanya yang layak diberikan tawaran,” katanya.




Selain itu, kementerian turut membuka ruang kepada golongan seperti Orang Asli dan Orang Kelainan Upaya (OKU) supaya mereka terus mendapat hak berpendidikan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.







No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...