Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, June 27, 2012

Hindari guna bahasa pelat




Hindari guna bahasa pelat





SETIAP ibu bapa pasti teruja memiliki anak yang petah berbicara, pandai membawa diri serta bijak berkomunikasi. Apatah lagi apabila usia anak baru menjangkau dua atau tiga tahun. Kepetahan bercakap serta kebijaksanaan meluahkan pandangan bukanlah satu anugerah, tetapi dipengaruhi persekitaran serta pendedahan daripada ibu bapa. Tidak mungkin seorang kanak-kanak petah berkata-kata dengan sendiri kecuali diajar sejak kecil.




Ada sesetengah ibu mula bercakap dengan anak ketika dari dalam kandungan. Namun sama ada kaedah ini berkesan atau tidak sukar dibuktikan, namun ada kajian menunjukkan bayi di dalam kandungan sudah boleh me–ngenali dan mendengar suara ibunya. Oleh itu ibu digalakkan bercakap dengan anak sejak dari dalam rahim kemudian diteruskan selepas kelahiran anak. Ini kerana setiap patah perkataan yang terpacul daripada mulut orang dewasa, tidak kira sama ada ibu bapa, guru, pengasuh akan menjadi ikutan mereka.




Menurut Jurulatih Profesional Keibubapaan Bertauliah dan penulis buku Ibu Kool Bapa Hebat, Jamilah Samian oleh kerana anak-anak amat mudah menyerap setiap perkataan yang keluar daripada mulut ibu bapa, adalah sangat penting ibu bapa berhati-hati dalam pengucapannya dan bercakap menggunakan perkataan yang baik dan penuh.




“Jangan sangka anak kecil tidak memahami apa yang diperkatakan. Apabila anak berada di sisi tidak kira di rumah, ketika menonton televisyen, di meja makan, di dalam kereta bercakaplah sebanyak mungkin dengan mereka supaya minda mereka terbuka luas dan mampu menyerap sebanyak mungkin perkataan yang anda keluarkan,” katanya.




Kebanyakan ibu bapa sering menggunakan bahasa pelat ketika bertutur dengan anak yang baru berusia setahun atau dua tahun. Sebenarnya bahasa sangat penting dalam proses pembesaran anak-anak. Sebaiknya gunakan bahasa penuh, lancar, mudah difahami dan tidak pelat ketika berinteraksi dengan mereka. Ini kerana pada awal usia bayi mempunyai deria rasa yang sangat jelas dan peka pada sebutan.




“Dalam hal ini ibu bapa boleh bercakap dengan mengembangkan perbendaharaan kata menerusi teknik bercerita. Ini boleh dilakukan ketika menyusukan anak, ibu mengambil buku dan membacanya. Selain memantapkan perhubungan ia juga dapat memberikan pendedahan awal mengenai penggunaan bahasa yang betul,” katanya.




Tambah Jamilah lagi sebelum tidur ibu boleh membacakan buku cerita tidak kira sama ada buku berbahasa Melayu atau Inggeris dengan membuat nada suara pelbagai dan mimik muka bagi memberikan keseronokan kepada anak-anak.




Terdapat perbezaan tahap keupayaan dalam menyusun perbendaharaan kata bagi anak lelaki dan perempuan. Anak perempuan lebih cepat matang berbanding lelaki.




Justeru ada ibu bapa mengatakan anak lelaki lambat bercakap berbanding perempuan. Dalam hal ini sekiranya ibu bapa bijak menggunakan kemahiran komunikasi dengan anak tidak wujud perbezaan jantina.





Satu kesilapan yang sering berlaku apabila anak-anak sudah memasuki alam persekolahan atau prasekolah ibu bapa terlalu banyak memberi perhatian kepada kerja rumah dan hal persekolahan. Setiap hari ibu bapa akan bertanya sama ada anak-anak sudah menyiapkan kerja sekolah, tulisan makin cantik atau tidak, anak sudah boleh menulis, membaca atau mengira serta apa yang diajar guru hari ini.





Tanpa sedar hal ini akan mencetekkan perkembangan minda mereka. Adalah lebih baik sekiranya interaksi dengan anak diisi dengan perbualan yang lebih bermakna.





Misalnya ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah ibu boleh berbual-bual dengan anak mengenai peristiwa semasa atau apa yang ada di persekitaran mereka seperti “Wah, besarnya bas itu. Ada berapa tayar bas dan bagaimana orang yang menciptanya?





“Nampak tak pokok tinggi itu, berapa usia agaknya pokok itu. Mengapa daun–nya kecil?” atau anda boleh menyebut mengenai sesuatu benda di dalam ruang tamu, mungkin ketika anak sudah mula bertatih atau berjalan seperti, “Tengok ni, Man.
Ini namanya pembersih vakum. Man nak tahu macam mana pembersih vakum ini berfungsi? Mari ayah tunjukkan.”







Anda boleh mengeluarkan bahagian pembersih vakum itu dan beri anak menyentuhnya dalam pada masa sama terangkan fungsinya.





Cuba wujudkan konsep penceritaan yang memerlukan jawapan subjektif manakala anak-anak bebas memberikan pendapat berbeza. Jangan sekat keupayaan si kecil untuk bertanya. Ini kerana ia akan mengehadkan kreativiti serta perbendaharaan kata mereka. Dalam hal ini ibu bapa boleh melatih anak-anak menerusi pelbagai situasi misalnya ketika bertemu doktor biarkan mereka berbual dengan doktor dan menerangkan penyakit yang mereka hadapi.






“Sebelum bertemu doktor ibu boleh melatih menjadi doktor di rumah dan memulakan perbualan dengan anak-anak bagi menambah keyakinan diri mereka,” katanya.






Paling penting menurut Jamilah ketika makan adalah masa paling sesuai untuk semua orang bercerita dan melaporkan apa yang berlaku pada hari itu. Ini kerana setiap hari ibu bapa sibuk bekerja dan tidak mempunyai masa berkomunikasi dengan penjaga. Elakkan makan secara bersendirian dan pastikan semua ahli keluarga berkumpul di meja dan makan bersama.






Di rumah pula ibu bapa mempunyai ruang yang sangat besar untuk berinteraksi dengan anak-anak. Pada zaman sains dan teknologi ibu bapa boleh mencari video pendek yang disiarkan di laman youtube dan meminta anak-anak berbincang mengenainya. Tidak perlu terlalu lama cukup 10 atau 15 minit saja. begitu juga ketika menonton televisyen perlu ada komunikasi secara dua hala di antara ahli keluarga. Ini boleh dilakukan dengan ibu bapa bertanya atau mengemukakan pendapat sekiranya apa yang dipaparkan tidak sesuai ditonton mereka.






“Misalnya memberitahu pada anak kecil bercakap dengan perkataan kurang sopan atau meninggikan suara adalah tidak baik kepada ibu bapa. Oleh itu anak akan lebih memahami bukan saja menerusi bahasa, tetapi perlakuan negatif yang ditonjolkan di kaca televisyen,” ujarnya yang menjelaskan apa saja persoalan membantu merangsang minda mereka untuk berfikir dan berkomunikasi.







Tambah Jamilah kebanyakan ibu bapa moden kini tidak tahu bagaimana menyalurkan emosi anak-anak menjadi lebih positif. Misalnya apabila marah, sedih, takut runsing dan risau akan membuatkan anak-anak menunjukkan ekspresi negatif dengan membaling barang, menjerit, menangis dan berada dalam ketakutan.







Hal ini perlu diberi penekanan kerana perasaan ini jika tidak ditangani dengan baik akan menyebabkan anak-anak membesar dalam ruang yang kurang sihat.






“Misalnya perasaan marah akan membuatkan mereka menjadi pembuli ketika remaja, sedih menyebabkan anak kurang keyakinan diri manakala rasa sedih menjadikan anak-anak tidak mampu menyuarakan perasaan mereka dan hidup dalam kemurungan.






Ibu bapa harus mendidik anak-anak meluahkan setiap emosi ini secara positif dan bagaimana mengendalikannya. Ini boleh dilakukan dengan membiarkan mereka meluahkan perasaan marah atau sedih dengan ibu bapa berusaha menjadi kaunselor dan cuba menjadikan keadaan lebih baik. Paling penting jangan biarkan wujudnya perasaan dendam atau benci pada seseorang,” katanya.






Malah situasi akan menjadi lebih buruk apabila sifat ini terbawa-bawa sehingga dewasa apabila mereka menjadi suami dan tidak tahu bagaimana berkomunikasi dengan isteri dan meluahkan rasa sedih, marah, runsing dan tertekan kepada pasangan masing-masing.






Untuk mendapatkan anak yang petah dan bijak berkata-kata ibu bapa harus menjadi idola terbaik kepada mereka. Mengeluarkan perkataan kurang sopan, memaki hamun atau perkataan lucah adalah contoh peniruan yang akan kekal dalam minda anak-anak. Pada zaman sains dan teknologi anak-anak perlu didedahkan dengan persekitaran positif bagi membolehkan mereka memberi dan menerima pendapat daripada orang lain.






Untuk melahirkan anak-anak yang hebat atau anak-anak kelas pertama ibu bapa harus mendapatkan ilmu pengetahuan cara mendidik anak dengan berkesan. kemahiran serta kefahaman ibu bapa harus diperbaiki.






“Ini kerana ibu bapa hari ini dibesarkan dalam zaman dan suasana berbeza.
Justeru teknik pengurusan tidak sama. Dulu ibu bapa dibesarkan dalam serba kekurangan tetapi hari ini anak-anak boleh mendapatkan apa saja yang mereka inginkan. Tetapi membiarkan masa dan keadaan menentukan pembentukan anak-anak akan menjadikan mereka susah dibentuk terutama apabila meningkat remaja. Oleh itu jika mahukan anak yang petah, bijak berkomunikasi bermula ketika mereka kecil dan perlu disemai sepanjang masa,” katanya.




Tip untuk ibu bapa:




1. Bagi masa pada anak-anak.

Untuk mendapatkan anak yang petah dan bijak berkata-kata memerlukan masa. Didik mereka setiap hari dan jangan terlalu mendesak untuk melihat hasilnya.
Sebaliknya gunakan pelbagai pendekatan sama ada di rumah, di dalam kereta ketika membeli-belah dengan mengajak mereka bercakap kepada isu yang lebih besar dan pelbagai.






2. Cari masa berinteraksi dengan anak di dalam kereta.

Cari isu-isu yang boleh merangsang perbendaharaan kata anak-anak. Bercakap perkara yang baik-baik dengan anak. Jangan hanya fokus pada persekolahan saja.





3. Berbual sebelum tidur.

Bercerita dengan anak sebelum tidur dengan membacakan buku cerita ketika mereka masih kecil sehingga usia 11 tahun. Ini akan mengeratkan hubungan dan mewujudkan rasa seronok kepada anak-anak.






4. Bawa anak keluar makan secara berdua.

Ini boleh dilakukan dengan membawa anak makan bersama dan beri mereka ruang untuk meluahkan apa saja mengenai ibu bapa atau adik-beradik yang lain. Gunakan peluang berbual menerusi media sosial seperti Facebook supaya mereka merasakan ibu bapa adalah orang yang boleh dipercayai dan dekat dengan mereka.










No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...