Sahabat Maya :

Sunday, May 27, 2012

Panduan pilih program motivasi



Panduan pilih program motivasi


Oleh Dr Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad

drasmadi@maptraining.com.my




LEBIH 20 tahun lalu, program motivasi terutamanya bagi pelajar sesuatu yang baru. Hanya beberapa nama besar yang menjalankan program motivasi ketika itu.




Hari ini, program motivasi semakin bercambah dengan lebih ramai individu yang menceburkan diri ke dalam lapangan ini. Selaku Presiden TAMRIN (Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia), saya amat menggalakkan perkembangan positif ini.




Bagaimana memilih program motivasi yang bagus bagi anak-anak kita?




Nama besar bukan jaminan - Ramai yang terpancing apabila individu yang ada nama besar menjalankan program motivasi. Kita perlu faham, program motivasi tidak sama dengan ceramah satu dua jam. Seseorang yang tiada pengalaman dalam bidang latihan tidak mampu mengendalikan program motivasi dengan berkesan.





Peranan seorang motivator amat berbeza berbanding peranan seorang guru, pensyarah dan penceramah. Guru dan pensyarah tugasnya mengajar. Penceramah memberikan ilmu dan meningkatkan kesedaran (awareness). Sama ada wujud tindakan atau perubahan itu bukan objektifnya, yang penting menyampaikan. Biasanya, apa yang disampaikan itu bersifat umum.




Sebaliknya motivator tugasnya menyampaikan ilmu dan menunjukkan cara (contohnya ialah cara mengambil nota yang betul) dengan membuka minda, mendorong perubahan dan peserta bertindak selepas program ke arah memperbaiki dirinya. Tidak semua penceramah boleh menjadi motivator.


  • Yuran penyertaan sesuatu yang subjektif - Berapakah yuran yang perlu dibayar? Ini adalah soalan yang bermain dalam fikiran kita. Tiada satu garis panduan khusus kerana yuran adalah subjektif bergantung kepada:

    - Pengalaman dan kelulusan akademik motivator.

    - Kos yang ditanggung seperti sewa dewan, promosi, modul dan bahan, makan minum, bangunan pejabat, pengurusan, kakitangan dan fasilitator.


  • Kena faham objektif program - Ramai ibu bapa yang mengharapkan anak mereka berubah selepas program. Sebelum ibu bapa meletak harapan terlalu tinggi kita mestilah faham objektif program itu.

    Seminar motivasi Bahasa Inggeris misalnya, mendorong pelajar minat dan mahu belajar Bahasa Inggeris. Oleh itu tidak adil jika kita mahu dia berubah sikap dan positif dalam semua perkara selepas program.

    Program Kem Ibadah pula bertujuan untuk mendorong anak-anak minat beribadah, faham dan tahu cara solat yang betul dan terdorong melakukan pelbagai amalan sunat. Oleh itu adalah tidak adil kalau kita mahu anak cemerlang akademiknya selepas tamat menghadiri program itu.


  • Pengisian dan aktiviti mestilah tidak bertentangan dengan syariah - Ada sesetengah program yang meniru pengisian dan aktiviti daripada luar negara atau barat yang tidak faham sensitiviti dan pantang larang kita terutamanya orang Melayu dan Islam.

    Aktiviti yang membabitkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan, memalukan atau mengaib peserta, mendesak atau memaksa dan seumpamanya tidak sesuai dengan masyarakat kita.


  • Penceramah dan fasilitator mesti ada kredibiliti dan berintegriti - Sikap ikut apa yang saya cakap tapi jangan tiru apa saya buat tidak sesuai dalam mendidik pelajar. Biasanya, selepas tamat program, motivator akan dijadikan model ikutan, mentor serta contoh diteladani.

    Oleh itu, mereka yang terlibat dengan program hendaklah terdiri daripada individu mempunyai kredibiliti tinggi serta berintegriti.


  • Lokasi selesa dan selamat - Apabila memilih program maka pilihlah program yang dijalankan di lokasi selesa dan selamat. Kita tidak mahu merisikokan anak-anak dengan sesuatu yang membahayakan diri mereka. Pastikan aktiviti lasak dipantau dan diajar jurulatih dan fasilitator yang bertauliah. Tempat selesa juga membolehkan peserta memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap apa disampaikan.


  • Khidmat susulan selepas program - Ibu bapa perlu memilih program dijalankan oleh mereka yang senang dihubungi apabila ada sebarang isu atau masalah.

    Di MAP Training & Consultancy Sdn Bhd, kami memberikan peluang kepada pelajar mendapatkan khidmat susulan melalu Facebook, emel atau datang ke pejabat selepas temu janji.


  • Pengalaman dan testimoni satu kelebihan - Apabila memilih program maka pilihlah program yang mempunyai rekod baik kerana pengalaman tidak boleh dijualbeli. Pengalaman perlu diraih melalui berjam-jam perlaksanaan kursus dan program. Sebab itulah program yang sudah lama bertapak sering mendapat sambutan berbanding program baru diperkenalkan.

    Tambahan pula testimoni daripada peserta banyak dan keyakinan orang akan bertambah apabila peserta yang pernah menghadiri program sendiri mempromosikan.

    Sempena cuti sekolah ini, MAP Training & Consultancy Sdn Bhd menjalankan program motivasi bagi para pelajar berusia 10 hingga 19 tahun.

    Motivasi alihan pelajar adalah satu program motivasi yang wujud sejak 1995. Sehingga kini, lebih 100,000 pelajar menyertai program motivasi itu.

    Untuk mengetahui lokasi serta tarikh seminar terkini, hubungi pejabat motivasi alihan pelajar iaitu 03-22734622, 016-5580719, 05-3134622, 016-5580619 atau layari laman web kami di www.laman-map.com.




  • Sumber






    No comments:

    Post a Comment

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...