Sahabat Maya :

Wednesday, May 16, 2012

Budaya inovasi mendorong perubahan


Hayati, fahami tema Hari Guru


ABDUL Ghani Othman bersama Halidah Baba dan A. Aziz Mastam
(dua dari kanan) pada sambutan Hari Guru peringkat negeri Johor
di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim,
Kota Tinggi, Johor, semalam. - UTUSAN/NASIRRUDDIN YAZID





KOTA TINGGI 25 Mei - Golongan pendidik diminta menghayati dan memahami tema Hari Guru tahun ini iaitu 'Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara' untuk meningkatkan lagi sektor pendidikan negara.



Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, budaya inovasi mendorong perubahan iaitu dengan mencuba cara atau perkara baru menerusi pendekatan atau penyelesaian kreatif dalam sesuatu perkara yang diusahakan.




"Guru berinovasi akan menyahut cabaran ini dengan mencari kaedah pembelajaran yang lebih berkesan seperti meneliti kurikulum dan merencanakan cara mahu mencapai sasaran pengajarannya serta tidak akan terikat dengan satu cara sahaja.




"Pada masa sama, golongan ini juga perlu meletakkan matlamat melengkapkan pelajar dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara kritis, kebijaksanaan menyelesaikan masalah dan mengasah daya kreativiti yang tinggi," katanya semasa merasmikan sambutan Hari Guru peringkat negeri di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini semalam.




Turut hadir, Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Nor A. Ghani.




Menteri Besar berkata, walaupun ada sukatan pelajaran yang perlu diselesaikan setiap tahun, namun golongan pendidik tidak harus melupakan falsafah pendidikan negara untuk mengembangkan potensi individu secara menyeluruh.




Menurutnya, usaha membangunkan pemikiran pelajar adalah penting kerana kemajuan negara bukan sahaja bergantung kepada kekayaan sumber asli, bidang pembuatan serta kemajuan sains dan teknologi, malah juga tertumpu kepada keupayaan membentuk dan menggerakkan modal insan yang berpendidikan tinggi dan kreatif.




Pada majlis itu, bekas Pengetua Sekolah Menengah Teknik Tanjung Puteri, A. Aziz Mastam dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan manakala bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut, Halidah Baba menerima Anugerah Tokoh Guru.




Pemenang Guru Inovatif bagi kategori prasekolah dimenangi Zuriana Abas dari Sekolah Kebangsaan Parit Bunga manakala Anugerah Kepimpinan Teknologi Maklumat dan Komunikasi diberikan kepada A. Perumal dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Ladang Voules.




Peraduan menulis cerita bahasa Melayu bagi kategori guru pula dimenangi Rohaidah Yon dari SMK Tun Ismail, kategori pelajar sekolah menengah dimenangi Fakrul Hidayat Abd. Malik (SMK Sri Kukup), manakala kategori sekolah rendah oleh Law Ee Hui (SJK) Tah Tong.




Kategori bahasa Inggeris pula dimenangi K.S.N Girija Kumari dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra, kategori sekolah menengah, S.K. Thaarishya (SMK Convent Segamat) dan kategori sekolah rendah, T. Jarinia Pillai dari (SK) Bandar Putra.















No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...