Sahabat Maya :

Tuesday, May 1, 2012

Anugerah iktiraf pendidik sekolah swasta



Anugerah iktiraf

pendidik sekolah swasta





PUTRAJAYA: Pendidik di sekolah swasta tidak ketinggalan daripada mendapat pengiktirafan apabila buat julung kali Anugerah Tokoh Guru Swasta Kebangsaan turut diperkenalkan pada sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2012 yang dijangka berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, Perak pada 16 Mei depan.




Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud berkata, anugerah yang bertujuan memberi pengiktirafan terhadap usaha, sumbangan dan jasa pendidik di sekolah swasta itu akan disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Kebangsaan pada majlis berkenaan.






“Tiga anugerah sampingan baru turut diperkenalkan pada tahun ini iaitu Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas, Guru Cemerlang Orang Kelainan Upaya dan Anugerah Kepimpinan Teknologi Maklumat dan Komunikasi,” katanya pada sidang media selepas majlis pra-pelancaran Hari Guru 2012 di sini, semalam. Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan), Sufa’at Tumin dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Dr Khair Mohamad Yusof.





Abd Ghafar berkata, sambutan Hari Guru kali ini bertemakan Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara , dengan semua warga pendidik termasuk murid berpeluang mengikuti majlis berkenaan kerana ia juga akan disiarkan secara langsung melalui RTM1 dan EduwebTV.





Menurutnya, beberapa acara lain turut diselitkan, seperti forum wacana intelek yang dijadualkan sehari sebelum kemuncak sambutan itu. “Malah, kita juga akan mengadakan majlis bacaan Yasin di seluruh negara pada 10 Mei ini bagi memohon keberkatan sambutan Hari Guru,” katanya.









Sumber













No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...