Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, April 8, 2012

Ikan popular di Asia

photo

Arowana (KELISA)





Ikan popular di Asia


TAHUKAH anda bahawa ikan arowana Asia atau kelisa (Scleropages formosus) merupakan antara ikan termahal di dunia.

Setakat ini terdapat lebih daripada 10 variasi ikan arowana berdasarkan warna badannya.

Ikan arowana ialah sejenis ikan primitif di dalam famili Osteoglossidae yang merupakan keturunan daripada kumpulan ikan yang wujud 54 juta tahun yang lalu.

Sebenarnya ikan arowana bukan hanya terdapat di Malaysia sahaja.

Setakat ini terdapat enam spesies ikan arowana di bawah famili Osteoglossidae di dunia.

Di benua Amerika Selatan, terdapat dua spesies arowana iaitu Osteoglossum bicirrhosum dan Arapaima gigas.

Spesies Clupisudis niloticus merupakan ikan arowana yang terdapat di benua Afrika.

Ikan arowana spesies Scleropages leichardtii terdapat di Australia dan New Guinea.

Ikan arowana Australia mempunyai pertalian yang rapat dengan ikan Arowana Asia (Scleropages formosus) yang terdapat di Borneo, Sumatera dan Semenanjung Malaysia.

Menurut pensyarah Jabatan Sains Perikanan dan Akuakultur, Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Shahreza Md Sheriff selain mempunyai warna badan yang cantik, ikan arowana mempunyai dua ciri unik.

''Ia mempunyai lidah bertulang yang dipenuhi gigi.

Selain itu, walaupun ia bernafas menggunakan insang, ia juga berkeupayaan bernafas dengan mengambil oksigen dari udara,'' ujarnya.

Ikan arowana mempunyai pundi renang yang selain berfungsi sebagai organ pengapungan ia juga membantu dalam pernafasan.

Udara yang diambil dari udara akan disimpan di dalam pundi renang dan digunakan untuk bernafas.

Satu lagi ciri unik ialah, di dalam pembiakan, ikan arowana jantan akan mengeram telur dan benihnya selama 60 hari.

''Sewaktu tempoh pengeraman, ikan jantan tidak akan memakan sebarang makanan dan ia dijaga oleh induk betina. Inilah antara beberapa ciri unik ikan arowana,'' katanya.

Ikan arapaima

Dalam pada itu Dr. Shahreza memberitahu, umum mengetahui bahawa ikan arapaima ialah sejenis ikan hiasan yang sering dilihat di kolam hiasan, tangki akuarium dan bilik pameran.

Tetapi tahukah anda bahawa ikan ini mempunyai banyak kepentingan lain.

Ikan arapaima (Arapaima gigas) ialah sejenis ikan yang terdapat di hutan Amazon di Benua Amerika Selatan.

Ia merupakan antara ikan air tawar terbesar di dunia dan boleh mencapai saiz sehingga tiga meter panjang.

Ikan ini merupakan ikan primitif yang tergolong bersama dengan ikan arowana Asia di dalam famili Osteoglossidae.

Setakat ini ia didagangkan sebagai ikan hiasan dan boleh didapati di negara ini.

Di negara Thailand, ikan ini telah dilepaskan di beberapa buah tasik untuk dijadikan sebagai salah satu ikan bagi perikanan rekreasi.

Di Amerika Selatan, ikan ini terkenal dengan isinya yang enak. Bukan itu sahaja, sisiknya yang besar (mencapai enam sentimeter panjang) telah digunakan sebagai kertas pasir dan pengasah kuku oleh kaum peribumi Amerika Selatan manakala lidahnya digunakan sebagai pemarut.

Di samping itu, sisiknya yang berwarna juga dijadikan sebagai barang perhiasan.

Satu ciri unik ikan ini ialah walaupun ia mempunyai insang, sebenarnya ia bernafas sepenuhnya melalui udara.

Ikan ini mempunyai pundi renang yang bersambungan dengan esofagus yang mana udara yang diambil akan disimpan di dalam pundi renangnya.

Disebabkan oleh sifat ini, ia perlu naik ke permukaan setiap 10 hingga 15 minit untuk mendapatkan udara untuk bernafas.

Disebabkan sifat ini jugalah, ia mudah ditangkap oleh kaum peribumi Amerika Selatan.

Sekarang ini ikan arapaima sedang diancam kepupusan disebabkan oleh penangkapan berlebihan.

Walaupun begitu ikan arapaima telah berjaya dibiak di dalam kurungan dan usaha telah dilakukan untuk menambah jumlah populasinya di hutan Amazon.

Ikan Clownfish

Umum telah mengetahui bahawa kebanyakan haiwan mamalia mempunyai struktur sosial mereka yang tersendiri.

Tetapi tahukah anda bahawa ikan juga mempunyai struktur sosial yang unik.

Ikan clownfish (Amphiprion ocellaris) ialah sejenis ikan terumbu karang yang sangat dikenali ramai. Ia menjadi semakin popular dengan adanya filem animasi Walt Disney Finding Nemo dan pernah dijadikan sebagai maskot dalam sukan Malaysia (SUKMA) di Terengganu.

Sebenarnya terdapat dua spesies ikan clownfish yang mempunyai struktur fizikal yang hampir sama iaitu Amphiprion ocellaris dan Amphiprion percula kecuali garisan hitam pada jalur putih di badan adalah lebih tebal pada A. Percula berbanding A. ocellaris.

A. ocellaris boleh didapati di perairan terumbu karang Malaysia manakala A. percula terdapat di perairan Australia.

Ikan clownfish adalah ikan hermofrodit yang boleh bertukar jantina dan pada awalnya dilahirkan sebagai jantan.

Ikan clownfish hidup dalam satu kumpulan kecil dan mempunyai struktur sosial yang sangat unik.

Dalam kumpulan tersebut, hanya seekor induk betina dan seekor induk jantan sahaja yang berfungsi dalam pembiakan bagi kumpulan tersebut.

Individu lain dalam kumpulan tersebut pula dikategorikan sebagai individu yang tidak dapat dibezakan jantina (undifferentiated, non-reproductive atau non-breeders).

Sekiranya induk betina dalam kumpulan tersebut mati, induk jantan yang dominan akan bertukar menjadi induk betina dan salah seekor daripada individu lain dalam kumpulan tersebut akan menjadi induk jantan untuk meneruskan proses pembiakan.

Struktur sosial yang amat unik ini akan berterusan di dalam kumpulan ikan clownfish tersebut.

Ikan siakap

Sekiranya anda mendengar tentang ikan siakap, sudah semestinya terbayang difikiran akan masakan-masakan enak yang pernah dihidangkan di restoran seperti siakap stim, 'sweet sour' dan tiga rasa.

Ikan siakap (Lates calcarifer) ialah salah satu ikan komersial yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi bukan sahaja di Malaysia malahan di dunia.

Ia merupakan ikan yang popular di Asia Tenggara.

Di kalangan masyarakat tempatan ia menjadi hidangan yang popular di restoran makanan laut.

Ikan siakap bersifat eurihalin iaitu ia melakukan migrasi di antara air tawar dan air masin pada peringkat hidup yang berlainan.

Habitatnya merangkumi sungai, muara, lagun, kawasan antara pasang surut, kawasan air payau, laut dan tasik.

Disebabkan itu, pada masa sekarang ikan siakap bukan sahaja diternak di dalam air laut dan air payau, malahan ia juga diternak di dalam air tawar.

Tetapi selain daripada mempunyai nilai komersial yang tinggi, tahukah anda bahawa ikan siakap mempunyai satu ciri yang unik dari segi biologi pembiakannya.

Ikan siakap adalah ikan hermafrodit yang boleh bertukar jantina secara semulajadi.

Ia mempunyai sifat protandrous hermafrodit yang mana dalam satu populasi ikan siakap, kitar hidupnya bermula sebagai jantan.

Apabila ia mencapai umur kematangan di antara tiga hingga empat tahun, sebahagian daripada individu di dalam populasi ikan ini akan bertukar seks menjadi betina untuk meneruskan proses pembiakan.

Proses biologi ini akan berterusan di sepanjang kitar hidupnya.





Sumber












No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...