Asyraf, Hizbur jadi mentor
HASSAN (tengah) bersama Hizbur dan Asyraf.
ATAS permintaan ramai, program realiti keagamaan Iman Muda akan kembali, dengan menampilkan Imam Muda Asyraf dan Imam Muda Hizbur sebagai mentor kepada sepuluh bakal pesertanya.
Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, berkata ilmu yang diperoleh barisan Imam Muda musim lalu akan digunakan bagi membantu seramai sepuluh peserta rancangan itu musim ini, yang akan dipilih pada sesi uji bakat nanti.
Katanya, kehadiran Imam Muda ternyata berjaya mencetuskan fenomena, bukan saja buat saluran itu, malah ke seluruh negara sehingga mendapat perhatian masyarakat dunia.
“Selama dua musim, 20 Imam Muda sudah dilahirkan dan mereka kini bergerak secara aktif menyampaikan dakwah dengan cara masing-masing.
“Kini sudah tiba masanya barisan Imam Muda ini menyampaikan dakwah dan berkongsi ilmu serta pengalaman dengan peserta musim terbaru,” katanya pada sidang media Imam Muda Musim Ke-3, di Bangsar, semalam.
Menurutnya, mereka yang berumur 18 hingga 30 tahun, sama ada warga negara atau sebaliknya, digalakkan untuk menyertai program ini. Calon perlu fasih berbahasa Melayu serta mempunyai latar belakang agama Islam yang baik.
“Tiada had untuk kami memilih peserta dari luar negara kerana berbalik kepada misi berdakwah, skopnya sangat meluas. Jadi, jika ditakdirkan ramai peserta terpilih nanti adalah terdiri daripada bukan warga negara, tiada halangan untuk kita meneruskannya,” kata Izelan sambil memberitahu, uji bakat program itu akan diadakan pada 7 dan 8 April ini, mulai jam 9 pagi hingga 5 petang, bertempat di Institut Profesional Baitulmal, Kuala Lumpur.
Selain itu, kelainan dicipta pada musim ketiga apabila Astro Oasis turut memperkenalkan sistem pemilihan peserta melalui laman web rasmi Imam Muda. Uji bakat secara atas talian diadakan bagi membuka peluang kepada pelajar di luar negara untuk sama-sama mencuba nasib menyertai program itu.
“Sebelum ini, ramai peserta atau pelajar kita yang hampir tamat pengajian tidak dapat menyertai uji bakat kerana faktor lokasi. Jadi, kita mengambil pendekatan membuka uji bakat secara online bagi mengatasi kekangan ini.
“Setakat ini, uji bakat secara online yang akan berakhir pada 31 Mac mendapat sambutan baik daripada pelajar di luar negara. Kita juga menyediakan senarai surah lazim yang perlu dihafal peserta, di samping mewujudkan satu jawatankuasa pemilihan khas.
“Peserta boleh merekod bacaan mereka melalui video dan memuat naik rakaman itu secara online,” katanya yang melahirkan rasa syukur apabila terus mendapat tajaan utama daripada Bank Islam.
Juara Imam Muda ketiga bakal memenangi hadiah wang tunai RM100,000, manakala naib juara RM35,000 dan pemenang ketiga RM15,000.
No comments:
Post a Comment