Sahabat Maya :

Thursday, March 22, 2012

Johor catat pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun





Johor catat pencapaian terbaik

dalam tempoh lima tahun

JOHOR BAHRU 21 Mac - Seramai 1,323 daripada 44,241 calon sekolah kerajaan di negeri ini lulus cemerlang dengan memperoleh gred A+, A dan A- dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang diumumkan hari ini.



Pengarah Pelajaran negeri, Md. Nor A. Ghani berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 77 orang berjaya memperoleh gred Cemerlang Tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diambil berbanding 39 pada 2010.



Menurutnya, bilangan calon yang mendapat sijil juga meningkat iaitu 44,241 calon berbanding 43,489 pada 2010, sekali gus Gred Purata Negeri (GPN) meningkat kepada 5.00 berbanding 5.19 pada 2010.



"Justeru itu, jumlah 1,323 calon yang mendapat keputusan cemerlang 2011 juga meningkat seramai 222 orang berbanding 1,101 yang dicatatkan pada 2010," katanya pada sidang akhbar mengumumkan keputusan SPM 2011 peringkat negeri di sini hari ini.



Beliau berkata, pencapaian SPM 2011 merupakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun seperti juga rekod Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011.



Katanya, GPN bagi SPM 2011 juga mengatasi Gred Purata Nasional iaitu 5.04.



"Kenaikan itu diyakini ekoran tumpuan yang diberikan calon setelah dasar mengehadkan jumlah maksimum 10 mata pelajaran dan dua mata pelajaran tambahan dalam SPM mula dilaksanakan 2010.



"Dua pelajar iaitu Hoo Wei Liang dan Ahmad Haziq Azmi masing-masing dari Sekolah Tinggi Muar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Segamat mendapat keputusan paling cemerlang di negeri ini iaitu memperoleh 12A+," katanya.



Menurutnya, Sekolah Tun Fatimah di sini dianugerahkan sebagai Sekolah Cemerlang kategori Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru, Pasir Gudang bagi kategori Sekolah Menengah Kebangsaan Agama.



Sekolah Menengah Kebangsaan Canossian Convent, Kluang pula dianugerahkan sebagai sekolah cemerlang bagi kategori Sekolah Harian Bandar dan Madrasah Alatas Alarabiah, Pasir Gudang bagi kategori Sekolah Luar Bandar.





Sumber














No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...