Sahabat Maya :

Wednesday, February 8, 2012

Tebrau Disangka tebu









Mewah Bahasa:



Tebrau Disangka tebu



Oleh


Prof Madya Dr Nor Hisham Osman




pix_gal0






Ros:
Eh! Lia, kau dah tau cerita?






Lia: Cerita apa? Telenovela ke?






Ros: Bukan telenovela la!! Ni cerita betullah ….






Lia: Cerita apa?





Ros: Kau tak tau lagi ke?





Lia: Kau tak bagi tau, macam mana aku nak tau?!





Ros: Hikhikhik …. Betul jugek ek?!





Lia: Cerita apa ni, ceritalah cepat!!
Tak payahlah nak suspen-suspen pulak ….






Ros: Ni ha, pasal Syidah ….



Lia: Syidah?! Eh! Mengandung ke dia?





Ros: Ke situ pulak dia.





Lia: Kan ke dia baru kahwin,
kita sama-sama pergi majlis sanding dia dulu kan?
Orang lepas kahwin ni cerita apa pulak lagi,
cerita mengandung le kan? Hehehehe ….




Ros: Usahkan mengandung, ni cerita lain dah jadinya!




Lia: Lain apa pulak?




Ros: Dah nak bercerai!!
Dalam proses mahkamah ….






Lia: Eh! Biar betul ni Ros?! Kan ke baru aje kahwinnya?!
Dulu sebelum kahwin, tak sempat-sempat nak kahwinnya,
tergesa-gesa sangat. Kalau tak silap aku,
dua bulan aje dia kenal lelaki tu, dah kahwin ….





Ros: Tu le pasai ... orang tua-tua kata tebrau disangka tebu!!




Lia: Kenapa? Dia mengidam air tebu ke?
Isy! Isy! tak kan mengidam air tebu sampai nak bercerai-berai.





Ros: Tak sempat nak mengidam pun ….




Lia: Kenapa?




Lia: Lepas kahwin baru dia tau siapa suami dia tu yang sebenarnya.
Dulu masa panas bercinta, nasihat orang tak mau dengar.







Ros: Siapa sebenarnya lelaki tu?





Lia: Tak ada kerja, menganggur je, dahlah gitu,
dah ada isteri, ada tiga anak lagi!!
Dia kahwin dengan Syidah ni nak gunakan Syidah
untuk menanggung diri dia ngan anak-anak dia tu laa!!






Ros: Eh!! Betul ke ni?? Sebab aku tengok dulu
tiap kali dia jemput Syidah gi dating, dia pakai kereta sport lagi
dan pergi dating pulak ke tempat ada kelas.
Memanglah Nampak macam berusia sikit,
tapi biasalah orang sekarang ni,
bina kerjaya dulu baru fikir rumah tangga.







Lia: Memanglah, tapi macam aku kata tadi,
tebrau disangka tebu!!







Ros: Kenapa kau kata macam tu?





Lia: Sebenarnya, kereta tu dia pinjam kawan dia punya, dia pakai moto cup aje.
Itupun isteri dia yang punya. Dia pinjam kereta tu masa nak memikat si Syidah.
Yang Syidah ni pun dah termakan gula-gula dia,
kononnya dia ada syarikat sendiri!!






Ros: Oooo ... gitu ke kisahnya, patutlah tergesa-gesa sangat
nak kahwinnya dan masa nikah tu pun aku perasan dah,
ada yang tak kena sebab rombongan pengantin lelaki datang satu kereta aje.
Tapi aku tak faham laa ….






Lia: Apa sangkut pautnya dengan Selat Tebrau dan tebu?
Lelaki tu orang Johor ke??






Ros: Hikhikhik ... Selat Tebrau pulak perginya!!
Ni bahasa orang dulu-dululah!!
Orang dulu-dulu bila nak memberi tahu sesuatu, nak perli,
nak tegur sesuatu perbuatan, nak gambarkan sesuatu
dan juga nak marah pun mereka buat cara halus, cara lembut, cara kiasan.
Tak pakai sebut, pakai cakap terus macam orang sekarang ni.






Lia: Yang tebrau disangka tebu ni apa maksudnya?
Aku tak pernah dengar pun!





Ros: Maksudnya, tersalah anggapan,
atau tersalah sangka terhadap sesuatu.
Sangkaan kita sesuatu itu perkara yang baik, yang bagus tapi
sebenarnya tidak baik, tidak bagus.
Macam kes Syidah ni, dia sangka lelaki tu
seorang usahawan yang Berjaya dan masih belum berkahwin,
tapi bila dah jadi suami isteri baru tahu yang lelaki itu
penganggur dan suami orang.






Lia: Ooo ... barulah aku faham. Tapi tebrau tu apa?





Ros: Tebrau ni pokok macam pokok tebu.
Rupanya macam pokok tebu, daunnya macam daun tebu,
tumbuh berumpun dan batangnya macam tebu tapi keras, tak boleh makan.
Kalau orang yang tak biasa, memang tak boleh bezakan antara tebu dengan tebrau. Pokok ni suka tumbuh di tepi sungai, atau tempat yang dekat dengan air!





Lia: Ooo, gitu ke?!
Agaknya kat Johor tu dulu banyak pokok tebrau,
itu sebabnya dinamakan Selat Tebrau.



Ros: Mungkin …. Hehehehee.






Glosari





Tebrau/teberau - sejenis tumbuhan menyerupai tebu,
tebu salah
(saccharum arundinaceum)



Nota Kaki




Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan adanya beberapa cara untuk menyampaikan sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi. Dialog menggunakan dialek dan juga bahasa pertuturan yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku.












~ Prof Madya Dr Nor Hisham Osman

adalah Pensyarah Jabatan Linguistik,

Akademi Pengajian Melayu (APM),

Universiti Malaya. ~











No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...