Photobucket

Sahabat Maya :

Friday, February 10, 2012

Islam utamakan semangat toleransi, hidup aman damai







Khutbah Jumaat:



Islam utamakan semangat toleransi,



hidup aman damai



ISLAM sudah mengatur prinsip dasar semua bidang kehidupan umat manusia. Termasuk di dalamnya ialah konsep toleransi dan hubungannya dengan penganut agama lain. Allah SWT menciptakan manusia di muka bumi ini dengan pelbagai macam suku bangsa, ras, agama dan etnik.







Dengan itu Allah SWT mengajarkan konsep toleransi yang bertujuan untuk mewujudkan perdamaian antara umat manusia. Firman Allah SWT dalam surah Al-An’aam ayat 108 bermaksud:








“Dan janganlah kamu menghina

apa yang mereka sembah selain daripada Allah,

kerana mereka kelak akan mencaci Allah

secara melampaui batas tanpa ilmu pengetahuan.

Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan

tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka,

kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka,

lalu Dia menerangkan kepada mereka

apa yang mereka telah lakukan.”





http://islamicsunrays.com/wp-content/uploads/2010/06/muslim-man-praying-on-a-low-wall.jpg




Menurut Imam ar-Razi, ayat ini adalah satu pendidikan kepada orang yang ingin berdakwah kepada agama Allah SWT dengan tidak melakukan tindakan yang tidak ada faedah dalam mencapai tujuan dakwah. Begitu juga pandangan Imam al-hakim di dalam kitabnya tafsir Mahasin at-Takwil bahawa cercaan terhadap orang bukan Islam akan membawa kepada kejahatan yang lebih besar iaitu celaan penganutnya terhadap Allah SWT.







Justeru, sebagai umat Islam kita ditegah mencemuh atau mengejek kerana dikhuatiri mereka akan membalas penghinaan itu. Namun sekiranya mereka melanggari hak-hak kita sebagai orang Islam maka hendaklah kita mempertahankan demi kemuliaan dan kehormatan umat Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 54 bermaksud:








“Wahai orang yang beriman!

Sesiapa di antara kamu yang murtad,

maka Allah akan datangkan suatu kaum

yang Dia kasihi dan mereka juga kasihkan-Nya ,

mereka bersifat lemah-lembut terhadap orang yang beriman

dan tegas terhadap orang kafir, mereka berjuang pada jalan Allah,

dan mereka tidak takut celaan orang yang mencela.

Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah

yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya

kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya,

lagi Meliputi Pengetahuan-Nya .”





Inilah konsep toleransi yang diajarkan Islam.






Perbezaan agama sebenarnya bukan penghalang terjalinnya kerukunan dan kedamaian di antara sesama manusia. Meskipun kita bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan, tetapi kedamaian hidup tetap menjadi keutamaan. Allah SWT mengizinkan umat-Nya untuk menjalin kerjasama dan berbuat baik kepada orang yang berbeza akidah sekalipun.





Allah SWT mengajar kita bagaimana untuk menghormati dan melindungi hak penganut agama lain. Pengajaran paling penting, kita dilarang berlaku tidak adil terhadap mereka hanya disebabkan perbezaan akidah. Sebaliknya jika hak Islam digugat, maka barulah Islam mengizinkan umatnya bertindak mengikut lunas-lunas seperti yang digariskan oleh syarak. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 8-9 bermaksud:








“Allah tidak melarang kamu

daripada berbuat baik dan berlaku adil

kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu,

dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu;

sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.

Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu

daripada menjadikan teman rapat orang

yang memerangi kamu kerana agama (kamu),

dan mengeluarkan kamu dari kampung halamanmu,

serta mereka membantu (orang lain) untuk mengusir kamu.

Dan (ingatlah)

sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat,

maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.








Ayat ini juga menjelaskan bahawa Islam memerintahkan agar umatnya bertoleransi dan menghormati penganut agama lain. Oleh yang demikian, sebarang tindakan kekerasan terhadap masyarakat bukan Islam dengan alasan berbeza agama adalah tidak dibenarkan secara syariat.







Penghormatan terhadap masyarakat bukan Islam juga telah dibuktikan oleh Rasulullah SAW. Peristiwa ini dapat kita hayati menerusi sirah Nabawiyah. Perhatikan ketika peristiwa Piagam Madinah yang terkenal di dalam sejarah Islam. Baginda telah menyeru umat Islam agar sentiasa menjaga hak keharmonian manusia sekalipun kepada bukan Islam. Ia adalah lambang keadilan Islam terhadap umat manusia keseluruhannya. Antara butir-butir kesepakatan yang terkandung dalam Piagam Madinah ialah sesiapa yang hidup dan tinggal di wilayah Madinah, baik Islam atau pun bukan Islam, dengan syarat tidak berbuat zalim, maka hendaklah mereka dilindungi dan diberi keamanan di bawah kekuasaan Islam. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bermaksud:






“Barang siapa menyakiti orang bukan Islam


yang berada di bawah perlindungan Islam,


maka ia telah menyakiti aku,


dan barang siapa yang menyakiti aku,

maka ia telah menyakiti Tuhan”.



(Riwayat Abu Daud).





Seharusnya umat Islam memahami tuntutan keadilan dan sikap bertoleransi ini. Namun, toleransi yang dimaksudkan bukanlah bererti kita mengakui doktrin keyakinan mereka kerana di dalam persoalan akidah Islam tidak sama sekali berkompromi dengan kesyirikan. Toleransi yang dimaksudkan oleh Islam ialah dalam muamalah harian di samping akhlak yang baik mampu menjadi satu dakwah mereka kepada Islam.





Bersempena dengan bulan keharmonian antara penganut agama yang disambut pada setiap minggu pertama Februari, yang bertujuan mewujudkan keharmonian antara penganut agama sebagai jalan penyelesaian terhadap konflik dunia, maka mimbar menyeru kepada umat Islam sekalian agar sama-sama kita melaksanakan seruan Baginda SAW agar sentiasa bermuamalah dengan baik kepada siapa saja termasuklah orang bukan Islam. Marilah kita mencontohi akhlak Baginda SAW ketika berurusan dengan bukan Islam selagi mana mereka tidak menceroboh hak-hak kita sebagai orang Islam.




Islam mengajar kita agar bersikap merendah diri, sabar, bertoleransi, namun pada masa yang sama kita mesti bersikap tegas terutama dalam isu yang menyentuh akidah, syariat dan syiar umat Islam.



























No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...