Sahabat Maya :

Thursday, December 8, 2011

Pelancong maut disondol gajah



Pelancong maut disondol gajah



KOTA KINABALU: Kegembiraan seorang pelancong wanita dari Australia ketika melihat seekor gajah jantan di Mud Lipad Vulcano, berhampiran Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Tabin, di Lahad Datu, kira-kira 400 kilometer (km) dari sini, berakhir tragedi apabila maut selepas dipercayai diserang gajah liar itu, pagi semalam.





Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Jenna OGrady Donley, 26, mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk di perut akibat ditusuk gading gajah selepas dipercayai disondol berkali-kali oleh gajah jantan itu.





Bagaimanapun seorang lagi rakan senegara mangsa yang juga wanita berusia 25 tahun dan pemandu pelancong lelaki, terselamat selepas berjaya melarikan diri ke laluan utama di Tabin.




Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Dr Laurentius Ambu, berkata sebelum kejadian, kedua-dua pelancong itu dibawa pemandu pelancong ke Mud Lipad Vulcano atau kawasan lumpur gunung berapi itu.




Ketika balik dari situ, kedua-dua pelancong itu membuat keputusan untuk berjalan kaki ke denai gajah untuk melihat haiwan liar itu di Tabin.





Selepas berjalan beberapa minit, mereka ternampak seekor gajah. Gembira melihat gajah itu, mangsa cuba menghampiri hidupan liar itu yang berada kira-kira 10 meter dari tempat mereka berada dan cuba mengambil gambar dari dekat.




Dipercayai keadaan itu menyebabkan gajah berkenaan marah sebelum mengejar dan menyerang mangsa. Difahamkan mangsa melarikan diri ke hutan, manakala rakannya bersama pemandu pelancong itu berjaya melarikan diri ke laluan utama di Tabin, katanya ketika dihubungi di sini semalam.




Laurentius berkata, lazimnya apabila gajah itu bersama kumpulannya, haiwan liar itu tidak bahaya, sebaliknya ia berkelakuan yang tidak stabil jika bersendirian.




Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata pihaknya sedih dan kecewa dengan kejadian itu.




Bagaimanapun, polis sedang menyiasat perkara ini sebelum kita mengambil tindakan selanjutnya. Kami juga menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa dan sedia menawarkan bantuan sewajarnya kepada mereka, katanya ketika dihubungi di sini semalam.




Sementara itu Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib mengesahkan kejadian berkenaan.




Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mati mengejut di tempat kejadian, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan, katanya.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...