Sahabat Maya :

Sunday, December 4, 2011

Masalah berpeluh berlebihan


RIMAS... tapak tangan basah kerana hiperhidrosis.
RIMAS... tapak tangan basah
kerana hiperhidrosis.




pix_topright



APAKAH yang bermain di fikiran tatkala melihat seseorang mengelap telapak tangannya sebelum bersalaman dengan anda? Bagaimana pula reaksi anda jika melihat peluh menitis daripada telapak tangan seseorang, sedangkan orang lain dalam keadaan selesa dan santai menikmati cuaca nyaman dan berangin?




Berpeluh adalah satu cara untuk tubuh kita menyejukkan diri. Jika berpeluh disebabkan cuaca panas, ia dianggap biasa. Bagaimanapun, jika baju anda lencun dek peluh yang berlebihan sedangkan orang lain tidak mengalami masalah, ia mungkin menimbulkan ketidakselesaan, kurang keyakinan diri selain dianggap memalukan.




Masalah berpeluh berlebihan dinamakan hiperhidrosis iaitu hiper (berlebihan) dan hidrosis (air) berpunca daripada rangsangan saraf simpatetik yang berlebihan pada kelenjar peluh.





Pengeluaran peluh yang melampau juga boleh berpunca daripada masalah tiroid, menopaus, obesiti, tekanan perasaan atau limfoma (tumor).


Kira-kira dua peratus golongan muda mengalami kes berpeluh berlebihan dan kawasan setempat yang biasa mengalami masalah itu ialah tangan, wajah, kaki dan bawah lengan.





Di dalam tubuh manusia ada dua jenis saraf iaitu saraf berkaitan pergerakan dan sensasi, serta saraf yang tidak dapat mengawal aktiviti badan seperti peluh, nadi serta keinginan buang air kecil atau besar.




Perunding Pakar Bedah Kardiovaskular dan Torasik Pusat Perubatan Prince Court, Dr David Khoo Sin Keat, berkata tangan berpeluh berlebihan menyebabkan gangguan dalam kehidupan seharian, psikologi dan sosial serta masalah dalam bidang profesional.





“Masalah tangan berpeluh menyebabkan kesukaran melakukan rutin harian. Sebagai contoh, pelajar perakaunan berdepan masalah kertas sentiasa basah dan kotor, manakala ejen insurans malu bersalaman dengan pelanggan.





“Bagi pakar kecantikan, dilema dihadapi apabila pelanggan mengadu kepada majikan selepas dia menjalani rawatan kecantikan atau lebih malang lagi, tidak jadi menjalani rawatan selepas ternampak pakar itu berpeluh keterlaluan.





“Juruelektrik pula sukar bekerja dalam keadaan tangan basah kerana mudah terkena kejutan elektrik manakala pembuat roti risau tepung yang diuli terlebih masin akibat peluh pada tangan,” katanya.





Menurutnya, ciri hiperhidrosis ialah berpeluh berterusan, berpeluh tanpa sebab, sekalipun tidak melakukan aktiviti atau bersenam.





Hiperhidrosis berpunca daripada tekanan emosi serta cuaca panas dan peluh hanya berhenti keluar ketika tidur.





Peluh berlebihan tidak berbahaya dan rawatan hanya perlu jika ia begitu teruk hingga menimbulkan rasa malu atau kesukaran di tempat kerja.





“Sejak dulu, pelbagai rawatan dijalankan bagi melegakan simptom seperti menggunakan ubatan tetapi ia tidak menyelesaikan masalah.





“Pesakit disaran menggunakan antipeluh tetapi hasilnya tidak konsisten. Ia lebih sesuai disapu pada bawah lengan tetapi kurang berkesan pada telapak tangan.





“Satu kaedah lain ialah merendam air dalam baldi, kemudian elektrik daripada bateri digunakan bagi memberi kejutan kecil pada tangan.





“Rawatan itu mampu mengatasi tangan berpeluh selama dua atau tiga hari tetapi masalah itu kemudian berulang lagi,” katanya.





Rawatan botoks berkesan bagi mengatasi masalah ini. Namun, mereka yang menderita masalah ini perlu menjalani 50 suntikan pada setiap tapak tangan dengan kesannya hilang selepas enam bulan.





Simpatektomi ialah kaedah rawatan diperkenalkan sejak 1920-an yang kurang popular kerana pembedahan itu menyebabkan luka besar ketika melakukan pemotongan urat saraf yang terletak jauh di tengah tubuh. Pembedahan itu juga mempunyai kesan parut besar.





Torakotomi pula menyebabkan kesakitan selain luka pembedahan lambat sembuh dan berparut. Simpatektomi torakoskopi ialah kaedah rawatan paling bagus iaitu memutuskan saraf tangan dengan membuat tusukan kecil pada bawah lengan.





Selepas bius disuntik, dua tusukan selebar lima mililiter dibuat di bawah lengan. Kamera dimasukkan untuk melihat kedudukan saraf terbabit yang kemudian dipotong (dengan cara dibakar) atau diklip.





Memotong urat saraf dengan membakarnya ialah kaedah lama. Menyekat urat saraf berkenaan dengan klip serta bius adalah kaedah pilihan kerana ia lebih baik. Kaedah ini dijalankan di pusat perubatan itu sejak setahun lalu. Saiz luka akibat pembedahan adalah kecil serta tidak menyakitkan.





“Prosedur menyekat saraf dengan klip terhadap kedua-dua bahagian bawah lengan cuma mengambil masa 15 minit. Pesakit mungkin merasa sedikit tegang pada bahagian pembedahan. Hasil rawatan itu dapat dilihat tiga atau empat jam selepas pembedahan dan pesakit boleh meninggalkan hospital pada hari sama,” katanya.





Dr Khoo berkata kesan sampingan pembedahan itu jarang berlaku. Perpeluhan mungkin beralih ke bahagian lain seperti belakang badan, paha dan abdomen.



Kira-kira 90 peratus pesakit gembira dengan perubahan yang mereka alami kerana tangan tidak lagi berpeluh melampau. Satu laman web khusus bagi mereka yang mengalami masalah peluh berlebihan diwujudkan iaitu www.sweatconnection. com.





Fakta penting mengenai hiperhidrosis:




  • Hiperhidrosis dialami dua peratus golongan muda



  • Kawasan setempat yang kerap mengalami peluh berlebihan ialah tangan, wajah, kaki dan bawah lengan



  • Masalah ini terdedah kepada semua individu tidak mengira bangsa atau jantina



  • Berpunca daripada sistem saraf simpatetik yang terlalu aktif



  • Memberi kesan negatif dalam kehidupan seharian dan sosial penghidap


    Rawatan perubatan:




  • Ubat topikal — termasuk antipeluh




  • Iontophoresis — peranti bateri menyampaikan arus elektrik rendah kepada tangan, kaki atau bawah lengan




  • Ubatan oral — termasuk ubat yang menghalang impuls saraf kelenjar peluh atau mengurangkan pengeluaran peluh. Ubat antikeresahan kadangkala ditetapkan




  • Botoks — menyekat sementara blok saraf yang mencetuskan kelenjar peluh




  • Pembedahan — biasanya dikhususkan untuk kes hiperhidrosis teruk selepas rawatan lain gagal





  • Pendekatan utama pembedahan:




  • Simpatektomi — dilakukan sejak 70 tahun lalu, ia membabitkan gangguan isyarat saraf pada kulit. Pakar bedah menggunakan sama ada klip pada saraf simpatetik untuk menghalang impuls saraf, memotong atau membakar kawasan saraf terjejas. Prosedur ini lebih berkesan menghentikan peluh berlebihan pada tapak tangan berbanding pada bawah lengan dan kaki.




  • Simpatotomi — pakar bedah memutuskan dua kelompok sel saraf (ganglions) pada saraf simpatetik, menyekat laluan saraf yang menyebabkan peluh berlebihan.








  • Sumber : myMetro










    No comments:

    Post a Comment

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...