Kejutan binaan terbalik
MENURUT falsafah perancangan bandar, fungsi bangunan tidak hanya sebagai tempat tinggal mahupun tempat kerja, tetapi ciri uniknya membolehkan sesebuah bangunan menjadi mercu tanda.
Wonderworks di Orlando, Florida, Amerika Syarikat (AS) misalnya dibina secara terbalik. Bangunan muzium tiga tingkat itu mempunyai ketinggian 25 meter.
Sebelah bangunan itu senget manakala tiang yang menopangnya dibiarkan retak dan patah. Sesuai dengan keadaannya, di dalam muzium itu terdapat permainan yang mendebarkan bahkan mengejutkan termasuk ribut selaju 104 kilometer sejam dan gempa bumi berukuran 5.2 pada skala Ritcher selain pameran kapal tenggelam Titanic.
Antara bangunan lain yang menampilkan reka bentuk pelik ialah Rumah UFO di Sanjhih, Taiwan, Perpustakaan Awam Kansas City, Missouri, AS, Bangunan Tarian, Prague, Republik Czech dan Rumah Kiub di Rotterdam, Belanda.
Bangunan ibu pejabat syarikat pembuatan barangan kraf tangan AS, The Longaberger Company pula menterjemahkan identitinya menerusi bangunannya.
Direka menjadi seakan sebuah bakul besar, bangunan tersebut mengingatkan masyarakat sekitar terhadap perusahaan kraf tangan yang diasaskan oleh Dave Longaberger.
Biarpun dianggap sebagai sebuah rekaan pelik, bangunan tersebut turut mempunyai kegunaan apabila bahagian tangkai bakul yang mempunyai berat kira-kira 150,000 kilogram boleh dipanaskan ketika cuaca sejuk.
Bangunan tersebut terletak di Ohio, AS. Ia siap pada tahun 1999 iaitu selepas kematian Longaberger.
"Begitu sukar untuk memikirkan sesuatu yang lebih baik selain papan tanda untuk memberitahu sesuatu ataupun menarik perhatian orang ramai," kata Timbalan Pengarah Muzeum Sejarah dan Industri AS yang menjelaskan mengapa sesebuah struktur direka dengan pelik.
Ilham
Bukan sahaja diilhamkan untuk menonjolkan kreativiti perekanya dalam menghasilkan sesebuah bangunan dengan nilai artistik, pembinaan sesetengah bangunan turut memberi kesan terhadap penggunaan ruang.
Rumah Kiub di Belanda pada pandangan mata kasar seolah-olah buah dadu berwarna kuning yang tersusun elok.
Rumah tersebut merupakan satu inovasi perumahan yang diilhamkan oleh arkitek Piet Blom dengan konsep tinggal di bumbung bandar bagi menjimatkan penggunaan ruang tanah.
Rekaan Blom itu mewakili sebuah perkampungan di dalam bandar Rotterdam dengan setiap rumah seakan sebatang pokok. Apabila disusun bersama ia menjadi seperti sebuah hutan.
Dalam bidang seni bina, reka bentuk bangunan pelik ini dikenali sebagai akrkitektur novelti iaitu bangunan dan struktur yang diberi sentuhan bentuk luar biasa.
Ia sama ada untuk tujuan pengiklanan, mercu tanda atau sekadar menonjolkan sisi eksentrik pemilik bangunan.
"Perkembangan dalam perisian komputer telah memberi peluang kepada arkitek untuk tampil dengan variasi bentuk tiga dimensi.
"Ia memudahkan mereka berimaginasi dan menghasilkan sesuatu yang kelihatan menarik," kata penulis pembentukan bandar, James Graham Ballard.
Namun, bukan semua rekaan bangunan unik itu berjaya. Buktinya, sebuah resort di Sanzhi UFO City, Taipei, Taiwan mengangkat konsep kapal angkasa makhluk asing sebagai asas rekaan bangunannya gagal disiapkan kerana pemajunya kerugian selain berlaku beberapa kemalangan di sekitar kawasan pembinaan bangunan itu.
No comments:
Post a Comment