Bapa 2 anak pelajar terbaik
“PENGORBANAN selama dua tahun setengah akhirnya berbaloi walaupun terpaksa membahagikan masa antara kerjaya, rumah tangga dan pelajaran,” kata penerima anugerah pelajar terbaik dan anugerah presiden Institut Pengangkutan dan Logistik Bertauliah (CILT) Malaysia, Abdul Rahizan Abdul Jalil.
Bapa kepada dua anak berasal dari Pekan Pahang itu berkata, mencari kepuasan dalam diri serta mahu memberi cabaran kepada anaknya membuatkan dia tekad menyambung pelajaran meskipun mencecah usia 46 tahun.
“Pada awalnya memang susah kerana perlu membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya apatah lagi waktu pembelajaran pada Sabtu dan Ahad.
“Ada masa anak dan isteri merungut kerana tiada masa bersama namun akhirnya mereka faham dan menjadi pendorong utama selain keluarga dan mentua.
“Dengan ilmu dan kemahiran ini, saya nekad memberi perkhidmatan terbaik kepada syarikat disamping berkongsi dengan masyarakat,” katanya pada majlis konvokesyen CILT di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) Mall di sini, baru-baru ini.
Majlis itu disempurnakan Presiden CILT, profesor Alan Waller.
Dia tidak menyangka menerima dua anugerah itu kerana persaingan antara pelajar yang belum berkahwin sememangnya sengit apatah lagi mereka muda.
“Saya harap anugerah ini menjadi inspirasi kepada dua anak yang masih belajar supaya lebih rajin dan mencabar diri mereka bergelar insan lebih cemerlang,” katanya yang menerima Ijazah Sarjana Muda (Kepujian).
CILT adalah badan profesional antarabangsa yang terbabit dalam sektor industri pengangkutan sejak 1919. Ia diwujudkan untuk mempromosikan maklumat mengenai sains dan seni dalam industri pengangkutan.
No comments:
Post a Comment