Sahabat Maya :

Monday, December 5, 2011

Anak nelayan terbiar cipta kejayaan




Anak nelayan terbiar cipta kejayaan




LAZIMNYA, kita didedahkan dengan pelbagai cerita dan berita kecemerlangan para pelajar dalam peperiksaan awam. Namun kisah sedih, derita dan malang kurang mendapat liputan.


Melalui ruangan Kisah & Teladan ini, akan dipaparkan pelbagai cerita yang boleh dijadikan pedoman serta iktibar kepada warga pendidik, masyarakat dan para pemimpin di semua peringkat. Semua cerita berinspirasi daripada kisah benar yang pernah ditangani oleh penulis, Dr. Yunos Pipet sebagai pendidik dan guru besar sejak 1981. Bagaimanapun, nama watak dan latar cerita tidak menggunakan nama sebenar.



AMIR adalah sebahagian daripada ratusan anak nelayan malang yang hilang di laut dipukul ombak Laut China Selatan. Amir tinggal di gubuk usang di pinggir Chendering. Ibunya pula meninggal akibat sakit tibi berpanjangan menyebabkan Amir kehilangan segala-galanya. Amir kini tinggal bersendirian tanpa saudara dan tanpa kasih sayang. Amir ingin bersekolah tetapi sudah berumur 17 tahun.



Sesekali Amir hanya mampu menitiskan air mata melihat rakan sebayanya pulang daripada sekolah. Dia tidak pernah mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau ketawa meraih kejayaan tetapi sekadar pernah bersekolah di sekolah rendah. Dia sekadar tahu menulis, membaca dan mengira untuk meneruskan kehidupan yang sukar sejak berusia 12 tahun.



Sejak kematian bapanya di laut empat tahun yang lalu Amir tidak bersekolah. Amir hanya mampu menjual botol, tin minuman di sekitar Chendering dan sesekali menjadi tukang sapu sambilan di studio di Chendering untuk menyara kehidupan.



Gelagatnya tekun mengutip botol di pinggir studio diperhatikan oleh Datuk Sham dan akhirnya Amir diambil dan dijadikan anak angkat Datuk Sham. Datuk Sham membawa Amir pulang ke Shah Alam dan memujuk dia supaya bersekolah semula.



Itulah yang tersurat dalam fikiran Amir selama ini. Datuk Sham datang ke jabatan menguruskan permohonan Amir. Dia diterima bersekolah tetapi perlu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun itu juga.



Datuk Sham mengaturkan jadual Amir dan mendaftarkan Amir ke pusat tuisyen. Lima bulan adalah masa yang diperuntukkan kepadanya untuk bersedia menghadapi SPM.



Amir nekad untuk memenuhi hasrat dirinya, cita-cita arwah ibu dan arwah bapanya dan membalas budi Datuk Sham. Dia belajar dan mencuba menguasai apa jua yang diberikan demi satu kehidupan. Gagal bererti binasa dan berjaya menjadi satu kemestian untuk dua arwah yang hilang tiada berita.



Tindakan:



Datuk Sham dinasihatkan supaya Amir memohon bersekolah semula sebelum dipertimbangkan ke sekolah yang dipohon. Perakuan daripada pengetua sekolah lamanya diperlukan untuk memastikan Amir penah bersekolah.



Jabatan Pelajaran menasihati Datuk Sham untuk memastikan persekolahan murid ini tidak terganggu sementara mendapatkan kelulusan Kementerian Pelajaran Malaysia. Jabatan Pelajaran menasihati berdasarkan keperluan undang-undang:



i. Walau bagaimanapun guru besar atau pengetua hendaklah menerima masuk murid yang adalah warganegara ke sekolah untuk menerima pendidikan PU(A) 275/98 dipinda oleh PU (A) 445/07.



ii. Ibu bapa murid perlu mengemukakan dokumen sokongan mengikut Seksyen 96. Tulisan dan perbahasan berkenaan dengan tulisan adalah termasuk cetakan, litografi, tulisan taip, gambar, foto dan lain-lain cara menyatakan atau menurunkan perkataan, rajah dan angka dalam bentuk yang boleh dilihat.



iii. Murid perlu menandatangani perjanjian berkelakuan baik di hadapan pengetua baru.



Pengajaran:



Bukan semua kanak-kanak yang berpeleseran dan ponteng sekolah adalah kumpulan anak-anak nakal. Ada antaranya terpaksa berhenti sekolah kerana kemiskinan, tiada kawalan, bimbingan dan lapar.



Bukan niat di hati mereka berkeliaran sebagai kutu rayau, menjadi masalah masyarakat atau mengganggu pola kehidupan sebaliknya mereka mahu memenuhi naluri kemanusiaan.



Di sudut hati, mereka malu menjadi kutu rayau tetapi pada siapa mereka mengadu, siapa yang mahu mendengari rintihan mereka? Ramai yang menghina, mencaci atau memaki mereka tetapi di negara yang aman ini tidak ramai yang pernah mahu membela rintihan pedih perih di sudut hati mereka.



Persoalan:



i. Mampukah Amir bersekolah semula selepas sekian lama meninggalkan alam persekolahan selepas kematian ibunya?



ii. Bagaimana Amir berusaha membina kecemerlangan untuk dirinya, arwah ibu dan bapanya dan Datuk Sham?



iii. Apakah peranan pegawai Jabatan Pelajaran dalam menangani masalah keciciran murid?



iv. Tugas siapakah membela kesusahan anak-anak gelandangan ini?



Akhirnya:



Hari ini Amir berjaya melalui detik getir itu walaupun tanpa kedua ibu bapanya. Berbekalkan azam meneruskan kehidupan dia terus mengharungi cabaran hidup dengan cemerlang.



Amir sedia berubah, menerima nasihat dan menginsafi diri sendiri. Kini Amir menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang perakaunan pada semester tiga.



Langkah yang diambil Datuk Sham telah mengubah keseluruhan hidup Amir. Beliau bukan sahaja menyelamatkan Amir daripada terus merempat tetapi menguja kegigihan anak nelayan malang ini.



Amir mahu keluar dan melupakan daripada lembah kemiskinan tetapi menyediakan diri sebagai modal insan yang sangat diperlukan oleh negara.



Nasihat:



Mengambil anak angkat memerlukan bukan sekadar untuk digelar sebagai seorang dermawan tetapi perlu memahami keperluan kemanusiaan yang tinggi.



Pengorbanan itu memerlukan tahap kesabaran yang sangat tinggi, berani dan cekal. Usaha ini memerlukan perancangan yang teliti dan mendapat nasihat yang betul daripada orang yang pakar dalam pendidikan, perundangan dan kemasyarakatan.



Dapatkan panduan yang betul daripada orang yang bertanggungjawab dan ikhlas kerana kesilapan yang kecil boleh menyebabkan masalah sedia ada menjadi lebih parah.



Anak-anak daripada keluarga miskin, terbuang sangat sensitif, mudah tersinggung dan sikap merendah diri yang kronik.



Mereka perlu diyakinkan dengan penuh berhemah supaya tidak tersinggung. Kesusahan menjadikan mereka begitu. Mereka lebih kurang meyakini orang lain, nekad, degil dan sukar menerima perubahan.







No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...