Sahabat Maya :

Saturday, November 19, 2011

Usaha teruskan momentum kecemerlangan







Usaha teruskan momentum kecemerlangan




TAHNIAH diucapkan kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan semalam. Kepada yang kurang berjaya, diharapkan tidak berputus asa dan gandakan usaha pada masa depan.



Perjalanan masih jauh dan banyak lagi peringkat pengajian yang bakal ditempuhi sebelum dapat menggapai impian dan cita-cita. UPSR hanyalah satu penilaian sumatif terhadap segala dipelajari sepanjang berada pada peringkat sekolah rendah. Kejayaan dalam peperiksaan itu dapat menentukan di mana pelajar dapat menyambung pengajian menengah sama ada di sekolah berasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah menengah harian biasa atau sebagainya.





Bagaimanapun apa yang paling penting kesinambungan kecemerlangan yang diperoleh diteruskan pada peringkat menengah yang lebih mencabar. Momentum kecemerlangan semasa di sekolah rendah perlu dikekalkan dan dipertingkatkan ketika berada di sekolah menengah. Pada Mei lalu, sempena sambutan hari guru tahun ini, saya berkesempatan mengikuti satu rancangan bual bicara di televisyen yang seorang panelnya ialah seorang guru besar di sebuah sekolah rendah cemerlang di pedalaman Sarawak yang juga adalah sekolah kluster.
Guru besar itu melahirkan kebimbangan apabila ada sebilangan pelajar yang mereka ‘jaga’ ibarat menatang minyak yang penuh sehingga mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR tidak dapat mengekalkan rentak kecemerlangan apabila melanjutkan pelajaran pada peringkat sekolah menengah. Alangkah sayangnya kejayaan yang berputik tidak berterusan. Justeru, kepada pelajar, hargailah jasa guru.




Ingatlah pengorbanan mereka mendidik anda khususnya untuk menjadikan anda berjaya dalam pelajaran. Ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan kejayaan anak pada peringkat selanjutnya. Sokongan harus dipertingkatkan dan usah kecewa sekiranya anak-anak gagal atau kurang berjaya dalam UPSR kerana UPSR bukanlah penentu masa depan. Kata-kata dorongan perlu berterusan agar anak-anak tidak putus asa. Rakan sebaya juga adalah faktor utama untuk memastikan kesinambungan kecemerlangan pada peringkat sekolah menengah.




Pelajar yang melanjutkan pengajian di SBP, MRSM ataupun sekolah berasrama mungkin akan lebih berdisiplin kerana perlu mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah di samping banyak kemudahan lain yang disediakan untuk memastikan kecemerlangan pelajar. Langkah kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melonggarkan syarat kemasukan ke SBP untuk pelajar kawasan luar bandar yang cemerlang dalam UPSR adalah langkah yang sangat wajar.




Masalah yang mungkin akan timbul ialah apabila pelajar menyambung pelajaran di sekolah menengah harian biasa yang mana kehidupan mereka lebih bebas. Kebiasaannya apabila berada di sekolah menengah harian, mereka akan menemui rakan baru dari kawasan berdekatan. Justeru di sini pelajar perlu bijak memilih rakan sebaya.




Banyak kajian menunjukkan pengaruh rakan sebaya adalah faktor utama pelajar terbabit dalam kancah gejala sosial. Tambah lagi dalam umur yang sedang meningkat, mereka mudah dipengaruhi untuk mencuba sesuatu yang baru. Oleh yang demikian, pelajar yang bakal memulakan pengajian peringkat menengah, semuanya terletak di tangan anda kerana andalah yang bakal menentukan masa depan anda. Jangan jadikan kejayaan dalam UPSR sia-sia sebaliknya jadikan ia titik permulaan kepada kejayaan yang seterusnya.




ABDUL HALIM ABDULLAH,
Jabatan Pendidikan Sains dan Matematik,
Fakulti Pendidikan,

Universiti Teknologi Malaysia,

Skudai, Johor.










No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...