Sahabat Maya :

Friday, November 25, 2011

Karya Bunga Besi


BAGI Nasrul Haziq Murad, 16, dia dan rakan-rakannya tidak menyangka akan memenangi tempat pertama dalam pertandingan hasil karya seni mesra alam kategori sekolah menengah anjuran Panasonic Malaysia Sdn. Bhd.




Mewakili Sekolah Menengah Teknik Sepang, Selangor dia mengucapkan syukur tatkala nama sekolahnya dipanggil untuk menerima hadiah tempat pertama yang akan membawa kumpulannya ke Jepun untuk melihat lebih dekat kaedah pembuatan barang-barang secara mesra alam.



"Idea kami datang secara tiba-tiba dan memerlukan empat hari untuk menyiapkannya, yang pasti ia bersifat mesra alam dan dibuat daripada bahan-bahan kitar semula," terang Nasrul mengenai hasil karya seni yang diberi tajuk Bunga Besi.



Rakan sepasukan, Mohd. Haris Fadhillah Mohd. Idris dan Abdullah Ihsan masing-masing 16 tahun menambah, bahagian paling penting dalam proses pembuatan adalah ketika pengembangan idea.



Kata Haris, jika idea kurang menarik, sudah pasti hasil yang diperoleh mengecewakan. Mereka merupakan antara 16 pemenang yang menyertai pertandingan sempena Program Pembelajaran Alam Sekitar Untuk Kanak-kanak di Sekolah Panasonic.



Bagi kategori Eko Diari Bergambar, Muhammad Wafie Sarbini, 11, dari Sekolah Kebangsaan Taman Sri Andalas, Klang, Selangor, dia bertuah kerana memenangi tempat pertama. Wafie bakal berangkat Paris, Perancis pada bulan Februari 2012 untuk menyertai pertandingan yang sama di peringkat antarabangsa.



Diari bergambarnya menceritakan aktiviti yang dilakukannya sepanjang bulan Ramadhan lalu dan sudah pasti ia berkait rapat dengan usaha Wafie dalam memulihara alam sekitar.



Dalam diari tersebut, Wafie menceritakan segala pemerhatiannya terhadap masyarakat sekeliling ketika persiapan hari raya Aidilfitri. Antara perkara yang disentuhnya adalah penggunaan beg plastik dan pokok hiasan.



Seramai 1,200 orang pelajar dari 10 buah sekolah di Selangor telah mengambil bahagian dalam program tersebut.



Daripada angka itu, 30 penyertaan bagi kategori karya seni telah diterima dengan 16 buah karya terpilih ke pusingan akhir. Untuk diari bergambar pula, 500 buah diari diterima tetapi hanya 21 buah diadili di peringkat akhir.



Program yang pertama kali dianjurkan oleh Panasonic itu menyasarkan kepada para pelajar sekolah supaya generasi tersebut menjadi masyarakat yang prihatin terhadap alam sekitar.



"Kami juga berhasrat agar mereka menjadi individu yang faham dan bijak dalam memulihara alam sekitar melalui model pengajaran yang disampaikan," ujar Pengarah Urusan Panasonic Malaysia Sdn. Bhd., Jeff Lee pada majlis penyampaian hadiah di Balai Seni Visual Negara Kuala Lumpur.



Pelbagai aktiviti seperti kelas pengajaran khas di sekolah-sekolah di Selangor yang menerangkan mengenai ekosistem dan kepentingan menjaga alam sekitar oleh kakitangan Panasonic turut dijalankan.



Lawatan para pelajar sekolah ke kilang eko Panasonic bagi menyebarkan kaedah sesebuah kilang pembuatan bersifat mesra alam dengan mengurangkan pengeluaran pencemaran karbon dioksida dan aktiviti-aktiviti lain.



Pada majlis yang sama, hasil karya mesra alam para pelajar dan Eko Diari Bergambar para pelajar sekolah rendah dipamerkan di ruang legar Balai Seni Visual Negara yang terletak di Jalan Tun Razak.












No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...