Photobucket

Sahabat Maya :

Thursday, November 10, 2011

Bantuan persekolahan RM100 dibayar serta merta: Muhyiddin





Bantuan persekolahan RM100

dibayar serta merta: Muhyiddin





KUALA LANGAT: Bayaran bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar di negara ini seperti yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2012, akan disalurkan kepada akaun sekolah masing-masing serta merta.





Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata bagi pelajar di Sabah dan Sarawak, bayaran akan dibuat selewat-lewatnya minggu depan.




Bagaimanapun, bantuan persekolahan itu akan disalurkan kepada pelajar Tahun Satu hingga Tahun Lima, dan dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat bagi sesi persekolahan 2011.




Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, sementara pelajar Tahun Satu dan Tingkatan Satu sesi persekolahan 2012, pembayaran bantuan persekolahan akan dibayar pada Januari tahun depan bagi memastikan pelajar sudah mendaftar di sekolah masing-masing bagi memudahkan pembayaran.






"Bila (pelajar Tahun Satu dan Tingkatan Satu) sudah masuk sekolah, baru bayar. Kalau bayar awal, takut ada perubahan sekolah," katanya selepas menghadiri majlis "Menteri Pelajaran bersama warga pensyarah dan pelajar matrikulasi Kolej Matrikulasi Selangor" di kolej itu di sini, hari ini.






Beliau berkata, pembayaran bantuan itu dibuat terus kepada akaun sekolah masing-masing melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) dan bagi sekolah yang tidak ada akaun BSN mereka bersetuju untuk buka akaun sementara.

Beliau berkata sekolah akan menguruskan pengagihan wang itu kepada ibu bapa atau pelajar.




Katanya, lebih lima juta pelajar akan menerima bantuan itu, termasuk 5,061,574 pelajar Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan dan 313,373 pelajar sekolah agama rakyat dan sekolah agama negeri Seramai 125,465 pelajar sekolah persendirian dan 32,235 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) akan menerima bantuan itu.





Muhyiddin berkata, semua pelajar layak mendapat bantuan persekolahan RM100 seorang tanpa mengira latar belakang keluarga bagi membantu mengurangkan beban ibu bapa dalam membuat persiapan anak-anak mereka masuk sekolah.






Menyentuh mengenai elaun bulanan pelajar matrikulasi yang kini hanya RM250 sebulan, Muhyiddin berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menaikkan elaun tersebut.






Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan, dan pada dasarnya sudah dipersetujui selepas mengambil kira kenaikan kos sara hidup pada masa kini.






"Kalau kita hendak ikut bayaran yang dibayar di sesetengah pra-sekolah lain iaitu kira-kira RM400 (dan) kita perlukan peruntukan sebanyak RM50 juta.






"Ini kita akan teliti kalaupun tidak naikan ke kadar yang sama tetapi kita akan tingkatkan (elaun) dan jumlahnya kita akan tetapkan tidak berapa lama lagi," katanya.






Mengulas jaminan pelajar lepasan matrikulasi mendapat tempat di universiti berikutan universiti juga mempunyai program pra-universitinya sendiri, Muhyiddin mengakui wujudnya persaingan kerana kewujudan program pra-universiti tidak dimaklumkan kepada Kementerian Pelajaran.






Beliau memberi jaminan untuk membincangkan perkara itu dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memastikan perancangan lebih teliti dibuat dalam usaha memastikan lepasan matrikulasi mendapat tempat di universiti dan mendapat kursus yang diingini.






Muhyiddin dalam pada itu turut mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar Malaysia, Adrian Jay Pereira yang maut

akibat ditetak di luar rumah sewanya di Malang, Jawa Timur, Indonesia pada Isnin lalu.





Beliau berkata, pihaknya sudah meminta wakil Malaysia di Indonesia supaya mendesak pihak berkuasa Indonesia melakukan siasatan menyeluruh sehingga tertangkapnya penjenayah yang bertanggungjawab atas kematian pelajar itu.







Adrian, 23, mahasiswa Fakulti Perubatan, Universiti Brawijaya, Malang, Jawa Timur mati disebabkan luka parah pada leher sebelah kanan akibat ditetak dengan objek tajam oleh orang yang tidak dikenali. - BERNAMA










Guru besar boleh minta polis iringi wang bantuan



ALOR SETAR 12 Nov. - Guru besar dan pengetua sekolah boleh meminta bantuan anggota polis bagi mengiringi mereka membawa wang bantuan khas awal persekolahan yang dikeluarkan dari bank ke sekolah untuk diagihkan kepada pelajar.



Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, langkah itu boleh diambil jika jumlah wang bantuan khas itu dibawa dalam kuantiti yang besar memandangkan jumlah pelajar yang ramai di sesebuah sekolah.



"Jika sebuah sekolah ada 2,000 pelajar, maknanya sekolah itu akan membawa pulang wang tunai RM200,000 ke sekolah jadi kementerian telah berbincang dengan pihak polis agar mengiringi mereka ketika wang itu dibawa," katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Wisma Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kedah di Jalan Pegawai, di sini hari ini.



Turut hadir, Presiden NUTP, Hashim Adnan dan Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng.



Ka Siong mengulas langkah kerajaan mengagih wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 seorang kepada 5.5 juta pelajar di seluruh negara seperti diumumkan dalam Bajet 2012 melalui akaun sekolah masing-masing.



Ka Siong berkata, para pengetua diminta mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya dan tidak perlu berasa bimbang hendak menguruskan wang berkenaan.



Selain itu, beliau berkata, bantuan wang tersebut dijangka mula diagihkan di Sabah dan Sarawak pada minggu depan.



Sumber : Utusan Malaysia Online








No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...