Sahabat Maya :

Monday, February 28, 2011

Terap Budaya Bertanya













Terap Budaya Bertanya


Oleh Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad (Pengarah Urusann MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd/Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin)



MALU bertanya sesat jalan, tetapi ia banyak berlaku dalam masyarakat kita. Kita lebih rela membiarkan diri tidak faham dan tidak tahu daripada dilabelkan bodoh serta ditertawakan. Bukan saja anak malu dan takut bertanya, orang dewasa pun sama.


Budaya malu dan takut bertanya ini berterusan dari satu generasi ke satu generasi hingga memberikan kesan negatif.


Di sekolah, anak malu bertanya pada guru walaupun tidak faham. Ini memberi kesan dalam pembelajaran dan menjejaskan markah dalam ujian dan peperiksaan.


Akhirnya yang disalahkan bukannya diri sendiri sebaliknya orang lain. Guru didakwa tidak pandai mengajar. Mata pelajaran dikatakan susah atau soalan peperiksaan terlalu tinggi tahapnya.


Apabila masuk ke alam pekerjaan, sikap yang sama diamalkan. Kesannya, kerja tidak menepati kehendak majikan, lambat menguasai sesuatu kemahiran atau tidak dinaikkan pangkat.


Secara fitrah kita dilahirkan suka bertanya. Lihat anak kecil apabila mula pandai bercakap, macam-macam yang mereka tanya. Kadangkala penat melayani kerenah mereka malah ada ibu bapa hilang kesabaran.


Tetapi, itulah cara mereka belajar iaitu dengan mencuba dan bertanya. Jika sejak kecil setiap pertanyaan anak ini dijawab dengan baik hingga mereka puas dengan jawapan diterima, ia satu ganjaran emosi yang merangsang anak terus bertanya.


Lagi banyak yang ditanyakan, mereka cepat belajar malah minda mereka lebih matang berbanding kanak-kanak sebaya usia.


Hasilnya bukan saja pencapaian akademik lebih baik, tetapi pelbagai peluang akan diberikan kepada anak menjadi pengawas, ketua kelas atau mewakili sekolah dalam pelbagai aktiviti kokurikulum. Semuanya kerana rajin dan berani bertanya.


Mengurus masalah adalah ciri-ciri orang yang cemerlang. Apabila masalah tidak diuruskan dengan baik, ia menjadi besar dan memberi tekanan kepada pelajar.


Sebab itu pelajar perlu menyelesaikan setiap perkara yang tidak difahami itu dengan bertanya. Mereka yang rajin bertanya keyakinan tinggi dan mudah mendapat pekerjaan.


Orang yang suka bertanya adalah orang yang mencari jawapan dan penyelesaian bukannya menunggu jawapan dan penyelesaian itu jatuh ke riba.


Bertanya itu memerlukan kemahiran. Kita bertanya disebabkan kita tidak faham, tidak tahu, untuk memastikan apa yang kita faham itu benar atau bagi menambah maklumat sedia ada.


Kemahiran bertanya ini sesuatu yang boleh dipelajari. Untuk bertanya kita perlu kritis terhadap diri sendiri. Tanyakan diri dengan soalan, Apa? Siapa? Bila? Di mana? Bagaimana? dan Kenapa?


Kemudian setiap soalan yang mahu ditanyakan itu hendaklah ditulis, takut lupa. Apabila guru membuka ruang, rebutlah peluang itu untuk bertanya.


Program Motivasi Alihan pelajar yang dijalankan khusus untuk pelajar ada menekankan ‘kemahiran bertanya’. Malah, kualiti jawapan yang diperoleh banyak bergantung kepada kualiti soalan yang diajukan.


Jika pelajar bijak menyusun soalan, mudahlah guru membantu. Pelajar juga ditanamkan dengan keyakinan diri yang tinggi supaya berani bertanya dan jangan takut disindir.


Bertanya itu mudah apabila menjadi kebiasaan. Namun, untuk mencipta kebiasaan itu memerlukan kekuatan. Kekuatan datang apabila kita tahu caranya. Caranya pula perlu dipelajari dari mereka yang mahir.


Kursus Motivasi Alihan Pelajar anjuran Syarikat MAP Training & Consultancy Sdn Bhd mendedahkan rahsia belajar dan kemahiran bertanya ini dalam diri kanak-kanak.


Sehingga kini, lebih 100,000 pelajar mendapat manfaat daripada kursus itu.


Jika berminat dan mahu maklumat lanjut, hubungi talian 05-3134622 atau 03-22734622 atau 016-5580619.


Anda juga boleh melayari laman web, www.laman-map.com


Sumber : http://www.hmetro.com.my/articles/Terapbudayabertanya/Article












No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...