Photobucket

Sahabat Maya :

Friday, December 31, 2010

Sekolah budayakan pembacaan al-Quran



Pengetua, Zakaria Awang (berbaju biru)
turut bersama para guru dan pelajar membaca al-Quran
di surau sekolah.



Sekolah budayakan pembacaan al-Quran







PEMBUDAYAAN membaca al-Quran sewajarnya dijadikan agenda di sekolah dalam membina keperibadian pelajar yang berjiwa luhur. Ketika fenomena gejala sosial yang semakin melanda golongan remaja, satu langkah konkrit seharusnya diambil membendungnya.



Lagi pun, dalam membina kecemerlangan pendidikan di sekolah itu sebenarnya tidak sekadar menggemilangkan kualiti akademik sahaja.



Aspek pembinaan akhlak dan moral yang mulia mesti menjadi teras utama dalam agenda sesebuah sekolah.



Sesebuah sekolah yang berprestasi tinggi dan hebat mestilah diukur dari pelbagai dimensi dan ini semestinya merangkumi pembentukan pelajar yang berakhlak unggul.



Meskipun negara sedang rancak dalam mengagendakan aspirasi menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020, elemen pembentukan sahsiah generasi muda tidak pernah dikesampingkan begitu sahaja.



Seperti kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, matlamat negara adalah menjadi negara maju pada tahun 2020.



Takrif negara maju sudahpun dijelaskan. Ini tidak bermakna pembangunan material yang membelakangkan kerohanian. Matlamat kita adalah sebuah negara maju dari segi ilmu, kecekapan dan kekayaan tetapi tidak kehilangan moral dan pegangan kepada ajaran agama.



Sehubungan itu, jelaslah bahawa aspek kerohanian dan pembangunan sahsiah yang murni menjadi teras kepada kejayaan negara pada masa akan datang.



Membudayakan pembacaan al-Quran di sekolah juga selari dengan intipati yang tersurat dan tersirat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK ) yang ingin melahirkan generasi pelajar yang seimbang.



Atas faktor tersebutlah maka Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu menjadikan membaca al-Quran sebagai pendekatan terbaik dalam membentuk sahsiah diri murid-muridnya.



Aktiviti tersebut diadakan di surau sekolah iaitu Surau At-Taqwa.



Menurut Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Arman A. Razak, melalui pembacaan al-Quran ia dapat melentur jiwa para murid ke arah pemantapan dan penghayatan roh keagamaan yang tinggi.



Untuk itu, katanya, sekolah tersebut menjadikan setiap pagi khamis sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran sebagai aktiviti membaca al-Quran dan solat hajat.



Insya-Allah tahun hadapan, kata beliau, sekolah itu merancang menjadikan setiap waktu pertama persekolahan diisi dengan kegiatan membaca al-Quran bagi pelajar-pelajar beragama Islam.



Manakala untuk pelajar bukan Muslim, mereka akan mengikuti ceramah moral.



“Ini dilaksanakan dengan matlamat menjadikan jiwa para pelajar terbina dengan nilai-nilai agama dan moral yang mulia.



“Lagipun, ia sejajar dengan dasar Jabatan Pelajaran Terengganu yang akan menjadikan waktu pertama persekolahan pada tahun hadapan diisikan dengan kegiatan bertadarus al-Quran,” katanya.



1 comment:

  1. Aslkm

    Baguskan? Moga ia jadi contoh kpd sekolah lain. Cikgu johor kat mana? Hehe dr batu pahat!Selamat tahun baru.Moga esntiasa dalam rahmat Allah.Amin.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...