Sahabat Maya :

Tuesday, December 14, 2010

Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya

smile-desi-glitters-11




Didikan awal bina kekebalan jiwa,


pemikiran anak



Bersama Prof Dr Sidek Baba


SEBAHAGIAN generasi muda kini amat rapuh dengan pengaruh yang cenderung membawa kerosakan diri dan akhlak. Mereka memberontak terhadap tradisi dan kelaziman, malah setengahnya menolak kepentingan agama untuk memandu jalan kehidupan. Perkara buruk mudah dicontohi, perkara baik selalu dicemuh dan tidak dijadikan amalan.

Islam menganjurkan pendekatan pencegahan lebih baik daripada mengubati. Hari ini pendekatan mengatasi masalah generasi muda lebih banyak kepada pendekatan natijah terakhir (end result). Bila nasi sudah menjadi bubur, tidak banyak yang boleh dilakukan. Bila ketagihan dadah mula bertapak agak payah untuk diubati. Bila merokok sudah menjadi tabiat terlalu sukar untuk diatasi.



Pencegahan bermakna memberi asas kekebalan pada hati dan pemikiran menerusi asuhan dan teladan. Anak pada asalnya kosong daripada sudut pemikiran dan tingkah laku. Ia terisi dan terbentuk akibat pengaruh sekitar, didikan ibu bapa dan pengaruh rakan sebaya. Sesuatu yang baik diulang lakukan, nilai yang berguna dilazimkan dalam amalan, teladan yang baik sering dijadikan pedoman adalah asas penting dalam pembentukan akhlak anak.



Dua tahun tempoh kelahiran bayi diberikan suntikan untuk menjaga kesihatan jasmaninya. Kekebalan perlu ada pada dirinya daripada penyakit kancing gigi, cacar, hepatitis B dan sebagainya. Bila kekebalan diri sudah ada, penyakit tidak mudah menjangkiti dan kesihatan diri akan berpanjangan. Hal yang sama diperlukan kepada kekebalan akhlak dan tingkah laku.



Usia awal hingga ke aqil baligh adalah tempoh kritikal memberikan tapak perangai dan jalan tingkah laku kepada anak. Naluri suka meniru, berkawan, ingin tahu yang ada pada mereka menyebabkan anak mudah terikut-ikut dengan apa yang ada di sekitarnya.



Jika yang mempengaruhi itu adalah hal baik ia adalah berguna. Jika ibu bapa membiarkan anak dalam keadaan kelompangan hati dan kekosongan teladan, pengaruh buruk mudah mendatangi. Jika keadaan ini berterusan, kerapuhan jiwa dan fikir mudah terjadi.



Kekebalan jiwa dan pemikiran anak perlu dilakukan menerusi pupukan kasih sayang, membina keyakinan dengan asas maklumat dan pengetahuan mudah difahami, ajaran mengenai nilai, adab dan kesantunan, proses pembina teladan baik supaya akhirnya anak dengan kelaziman dan kebiasaan baik dapat membezakan sesuatu yang berfaedah atau sebaliknya.



Pada hari ini, sebahagian anak gagal mengenal dan membezakan sesuatu yang memberi guna atau sebaliknya kerana pedoman dan bimbingan tidak diberi pada tahap awal kehidupannya. Keputusan dibuat, sikap diteladani, gelagat dibentuk hasil daripada rangsangan cita rasa keanak-anakan atau remaja yang tidak matang dan menyebabkan pelanggaran nilai serta agama hingga menyebabkan nafsu melulu mengambil tempat.



Pengaruh media cetak dan elektronik umpamanya memberi kesan kepada generasi muda. Apa ditonton dan dibaca berperanan membentuk jalan berfikir dan bertindak anak. Kecuali kesedaran awal membezakan sesuatu itu baik atau buruk diberi. Lazimnya pengaruh persekitaran berlaku sepanjang masa.



Anak yang aktif fizikal dan pemikirannya mudah terpengaruh dengan sesuatu diminati dan disukainya tanpa banyak berfikir akibatnya. Keseronokan sering menjadi faktor yang mendorong perlakuan dan tabiat.



Perlakuan buruk dilakukan berulang-ulang menyebabkan sesuatu itu menjadi lazim. Untuk mengubahnya bukanlah satu hal yang mudah. Jika pendekatan pencegahan dibuat pada peringkat awal ia boleh menjadi benteng dalam menghadapi gelagat dan perlakuan negatif.



Selalunya pendekatan pencegahan dilakukan dengan memberi nasihat keagamaan. Amalan bercakap benar, menghormati ibu bapa dan orang tua, berkawan dengan rakan sebaya yang baik, suka menolong orang, menepati waktu dan menjaga kebersihan, suka membaca dan berbincang adalah contoh perkara baik yang perlu bagi anak khususnya remaja.



Pendekatan ini hanya berkesan dan dapat dijadikan amalan sekiranya ia dilakukan menerusi teladan. Rasional harus diberitahu kepada mereka mengapa amalan baik itu patut berlaku kepada diri mereka. Apakah kesan sebaliknya akan berlaku jika teladan baik itu tidak dijadikan pedoman hidup.



Interaksi sebegini penting dan dilakukan secara fitrah iaitu menerusi kasih sayang, belaian, didikan, tunjuk-ajar dan teladan. Keperluan anak hari ini tidak saja sifatnya makan pakai, hiburan dan hal bersifat kebendaan.



Kes juvana atau salah laku yang terjadi apabila diselidik membawa kepada kesimpulan mengenai anak yang terbiar, ibu bapa tidak menjadi teladan baik, nilai agama diketepikan, rakan sebaya yang tidak membantu, keciciran di rumah dan sekolah.



Oleh itu, kekebalan hati dan pemikiran perlu dipupuk dengan asas teladan, contoh dan maklumat yang sesuai dengan umur dan pengalaman hidup anak. Proses ini harus berlaku berterusan supaya keremajaan dan kedewasaannya nanti memiliki kekebalan yang tinggi.



INTI PATI



Jika ibu bapa membiarkan anak dalam keadaan kelompangan hati dan kekosongan teladan, pengaruh buruk mudah mendatangi. Jika keadaan ini berterusan, kerapuhan jiwa dan fikir mudah terjadi.



Kekebalan jiwa dan pemikiran anak perlu dilakukan menerusi pupukan kasih sayang, membina keyakinan dengan asas maklumat dan pengetahuan mudah difahami, ajaran mengenai nilai, adab dan kesantunan, proses pembina teladan baik supaya akhirnya anak dengan kelaziman dan kebiasaan baik dapat membezakan sesuatu yang berfaedah atau sebaliknya.



Untuk mengubah perlakuan buruk anak bukanlah satu hal yang mudah. Jika pendekatan pencegahan dibuat pada peringkat awal ia boleh menjadi benteng dalam menghadapi gelagat dan perlakuan negatif.



Kekebalan hati dan pemikiran perlu dipupuk dengan asas teladan, contoh dan maklumat yang sesuai dengan umur anak.



HI






2 comments:

  1. As salam Cikgu Roha

    Bagus banget entri ini. Sedikit perkongsian dari mama. Pembentukan dan pendidikan anak sudah bermula dari awal kandungan. Mama agree sangat2 tu. Dlm tempoh mengandung digalakkan banyak beramal solleh spt bersolat sunat, berzikir, membaca alQuran, bersedekah dan semua yg dianjurkan dlm Islam. Apa bila bayi sudah lahir sedari kecil samada dia faham atau tidak biasakan membaca ayat2 alquran dan kesah2 Nabi dan Rasul setiap hari sampailaa waktu sebelum tidur. Mat Saleh suka membaca buku cerita Rapunzel, komik dll utk tidurkan anak2 mrk. Kita umat Islam elok bacakanlah kesah2 nabi, kesah teladan yg menyemarakkan sifat solleh. Insyaallah. Allah permudahkan segala urusan. Maaf sekadar perkongsian dan permisi.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...