Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, December 22, 2010

Artritis turut serang kanak-kanak





Artritis turut serang kanak-kanak









Keadaan lutut seorang kanak-kanak berusia enam tahun
yang bengkak dan bengkok kerana masalah artritis. - Gambar hiasan



PENYAKIT artritis di kalangan kanak-kanak jarang diketahui ramai kerana radang sendi yang menyebabkan kemerahan, bengkak dan kesakitan berpanjangan itu lazimnya dikaitkan dengan golongan berusia.



Presiden Persatuan Artritis Malaysia, Dr. Amir Azlan Zain berkata, serangan artritis sebenarnya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira kanak-kanak ataupun golongan dewasa.



Katanya, sebagaimana dideritai oleh orang tua, penyakit artritis yang menyerang kanak-kanak dan golongan muda turut menjejaskan kualiti kehidupan harian mereka.



''Artritis adalah gangguan pada sistem ketahanan badan yang berfungsi melindungi badan daripada jangkitan penyakit.



"Bagaimanapun bagi penghidap artritis sistem ini menyebabkan masalah kesihatan, terutama pada sendi,'' katanya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.



Menurutnya, terdapat beberapa jenis artritis di kalangan kanak-kanak dan ia sukar dikesan kerana sesetengahnya tidak menunjukkan simptom yang jelas.



''Radang sendi kanak-kanak lebih dikenali sebagai Juvenile Idiopathic Arthritis (JIA) dan boleh menyerang seawal umur enam tahun hingga remaja berusia 17 tahun.



"Malah jenis serangan JIA juga berbeza antara individu dan ia berkait rapat dengan faktor umur," katanya.



Beliau yang juga Perunding Rheumatologi di Pusat Perubatan Sunway menjelaskan, kesan terhadap JIA bergantung kepada sistem imunisasi kanak-kanak tersebut.



''Ada sesetengah kes yang akan sembuh sepenuhnya apabila meningkat usia 15 tahun ke atas.



"Bagaimanapun ada juga kes yang sekadar mampu bertahan sahaja,'' ujarnya.



Dr. Amir berkata, sebenarnya artritis bukan penyakit luar biasa, ia berlaku pada nisbah satu bagi 1,000 orang di seluruh dunia.



Dari segi jantina katanya, kanak-kanak perempuan mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak lelaki.



Secara umumnya kira-kira 70 peratus pesakit JIA adalah kanak-kanak perempuan yang berumur antara dua hingga enam tahun.



Ditanya mengenai jenis serangan JIA, Dr. Amir memberitahu, ia ditentukan melalui jumlah sendi yang terbabit.



Katanya, terdapat lebih 100 jenis artritis termasuklah osteoartritis, artritis reumatoid, ankylosing spondylitis dan sebagainya.



Bagaimanapun artritis jenis oligoartritis adalah yang paling lazim dihidapi di kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan serangan biasanya tertumpu pada lutut dan buku lali.



''Ini adalah serangan artritis paling ringan. Tetapi ia memberi kesan jangka panjang, terutama pada mata hingga boleh menyebabkan buta jika tidak dikesan pada peringkat awal.



''Oleh itu, rawatan awal penting dalam mengurangkan risiko penyakit itu berterusan,'' tegasnya.



Katanya, ibu bapa juga perlu peka terhadap perubahan pada anak kecil terutama bagi JIA yang tidak menunjukkan kesan ketara.



Tanpa rawatan dan pengesanan awal JIA boleh membantutkan tumbesaran kanak-kanak.



Ditanya mengenai rawatan yang boleh diberikan, Dr. Amir berkata, terdapat beberapa kaedah untuk merawat JIA, antaranya penggunaan ubat seperti antiradang bukan steroid (NSAIDs) untuk mengurangkan kesakitan, kejang dan bengkak yang perlu diambil secara teratur.



Selain itu, penghidap JIA digalakkan menjalani fisioterapi dan senaman bagi mengurangkan rasa sakit, sekali gus membantu pesakit menjalani kehidupan seharian yang lebih bertenaga.



''Oleh itu, ibu bapa disarankan untuk mengambil tindakan yang serius dengan melakukan pemeriksaan doktor sekiranya mendapati anak mereka ada simptom-simptom berkenan," katanya.

Sumber : www.utusan.com.my










No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...