Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, November 28, 2010

Tingkatkan Kualiti Murid Sekolah Kecil Di Kampung.







TINGKATKAN KUALITI MURID SEKOLAH KECIL DI KAMPUNG


Oleh :

ZULKIFLI JALIL

(WARTAWAN UTUSAN)

ARKIB : 26/04/2005



PENEMPATAN guru pemulihan di sekolah-sekolah kecil di luar bandar bagi meningkatkan pencapaian pelajar yang lemah adalah tepat dan kena pada masanya.

Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin bahawa kerajaan komited untuk berbuat demikian amat dialu-alukan. Sememangnya benar ada kalangan murid di sekolah terbabit malah mungkin lebih ramai lagi, memiliki potensi untuk berjaya dalam akademik.

Dan pencapaian murid-murid di sekolah itu lazimnya dikatakan masih rendah dan memerlukan panduan yang lebih intensif daripada guru.

Meskipun kenyataan Najib hanya merujuk sekolah-sekolah kecil di luar bandar serta mempunyai jumlah murid kurang daripada 150 orang, realitinya terdapat juga sekolah kecil di kawasan bandar yang turut memerlukan pemantauan serupa.

Satu kajian terhadap 10 buah sekolah kebangsaan (SK) di Pulau Pinang beberapa bulan lalu oleh sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) diketuai Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan universiti itu, Prof. Madya Dr. Aminah Ayob mendedahkan keperluan program pemulihan di sekolah-sekolah berkenaan.

Skop kajian meliputi sekolah rendah dalam bandar dan luar bandar itu yang bermajoriti pelajar Melayu dan dikenal pasti berprestasi rendah dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2002, khususnya dalam mata pelajaran kritikal seperti Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Identiti kesemua 10 SK berkenaan tidak didedahkan demi menjaga nama baik sekolah.

Aminah yang ditemui Utusan Malaysia di USM, Pulau Pinang baru-baru ini berkata, prestasi akademik kebanyakan sekolah dalam kajiannya didapati tidak meningkat sejak lima tahun lepas. Cuma beberapa buah sekolah saja menunjukkan peningkatan, itu pun hanya peningkatan kecil.

Kajian mendapati ketidakhadiran murid di beberapa sekolah dalam setahun (kira-kira 200 hari persekolahan) adalah tinggi, misalnya di SK A (30.4 peratus), SK B (25.8 peratus), SK C (23 peratus), SK D (17 peratus) dan SK E (14.1 peratus).

Ketidakhadiran murid Tahun 5 dan 6 ialah antara 10 hingga 24 peratus, kecuali di dua atau tiga buah sekolah sahaja. Ketidakhadiran di kalangan murid Tahun 1 dan 2 agak menonjol di sesetengah sekolah dan dilihat petanda awal yang boleh mencetuskan kegagalan akademik.

Dari aspek pengurusan sekolah, kajian mendapati semua perancangan aktiviti sekolah dibuat oleh guru besar, penolong kanan dan ketua panitia. Guru kelas tidak terlibat.

Perancangan hanya meliputi aktiviti-aktiviti biasa akademik dan bukan akademik untuk dimasukkan dalam takwim sekolah. Tidak ada sekolah yang membuat perancangan strategik yang benar-benar sesuai bagi mencapai sesuatu sasaran atau matlamat.

Malah, dalam semua perancangan sekolah, tiada sasaran pencapaian akademik dibuat.

Kesemua sekolah mengakui tidak semua yang dirancangkan dapat dilaksanakan. Hanya 60 peratus sahaja yang dapat dicapai. Pelaksanaan program sekolah juga semakin sukar kerana terdapat banyak program Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah yang perlu diberi keutamaan.

Pada masa sama, rancangan sekolah tergendala kerana ramai guru terpaksa menghadiri kursus.

“Bilangan guru perempuan yang ramai memberi masalah seperti mereka kerap cuti bersalin serta ramai tidak boleh datang sebelah petang untuk aktiviti sekolah. Ada guru yang mesti diarah, baru akan buat kerja,” katanya.

Katanya, ibu bapa juga tidak memberi kerjasama yang sewajarnya dari segi pencapaian akademik anak-anak. Mereka tidak hadir ke sekolah bila dijemput, selain tidak memastikan anak-anak mereka membuat kerja rumah yang diberikan.

Hasil kajian turut menunjukkan tahap pengetahuan mata pelajaran Sains di kalangan guru sains di kesemua 10 sekolah sangat rendah.

Pencapaian

Sebanyak 65 peratus guru hanya berupaya mencapai Gred B dan C dalam ujian bertaraf Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diberikan (soalan-soalan diambil daripada soalan PMR dan UPSR). Hanya 35 peratus guru mendapat markah 70-80 peratus (iaitu setaraf gred A2). Tidak ada guru mendapat markah lebih 80 peratus (cemerlang).

Kajian merumuskan bahawa tahap pengetahuan guru-guru Sains di 10 buah sekolah yang dikaji adalah rendah, sekali gus mempengaruhi kualiti pengajaran mereka dan seterusnya pencapaian murid.

Kualiti proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah turut diselidiki secara pemerhatian. Sebanyak 54 waktu pengajaran (atau 1,620 minit) dalam empat mata pelajaran utama UPSR iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik dicerap di dua buah sekolah kajian.

Dapatan kajian menunjukkan kualiti pengajaran guru tidak memuaskan. Proses P&P yang berlaku berbentuk sehala dan murid hanya terlibat dalam aktiviti soal-jawab mudah saja.

Pengajaran lebih banyak bersifat retorik manakala penjelasan guru kurang berupaya membentuk kefahaman dan respons murid. P&P hanya bergantung kepada buku teks dan kebanyakan masa murid dihabiskan dengan mendengar penerangan guru dan menyalin nota-nota.

Guru juga tidak mengulang pelajaran lepas serta tidak memberi perhatian khusus kepada murid-murid yang lemah.

Aminah berkata, setiap sekolah dalam kajian didapati merancang dan melaksanakan beberapa program seperti kelas tambahan/tuisyen UPSR, kelas bimbingan (berbentuk pemulihan), ulang kaji intensif (latih tubi) UPSR, bengkel teknik menjawab soalan, ceramah teknik belajar berkesan, ceramah motivasi serta program peningkatan kemahiran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Namun kajian mendapati program-program tersebut diakui pihak sekolah tidak memberangsangkan. Menurut pentadbir, program-program tersebut dijalankan setiap tahun dan telah menjadi sebahagian rutin yang `terpaksa dibuat’ bagi mengelakkan `ditegur’ oleh Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri. Semua program yang dirancang dan dilaksanakan pihak sekolah adalah berfokus kepada murid Tahun 6 yang akan menduduki UPSR.

Aminah berpendapat, masalah yang dihadapi 10 buah sekolah di Pulau Pinang itu turut dialami oleh kebanyakan sekolah kecil di bandar dan luar bandar di seluruh negara.

Sebab itu, kata beliau, kajian pihaknya mengutarakan beberapa cadangan yang perlu disegerakan bagi menangani permasalahan tersebut.

Antaranya program pemulihan yang sebenarnya perlu diberi kepada murid-murid yang lemah – senada dengan apa yang diumumkan oleh Najib, kelmarin.

Beberapa cadangan dalam kajian Aminah berikutnya, barangkali boleh digunakan oleh kerajaan untuk meningkatkan lagi pencapaian sekolah kecil di luar bandar.

  • Perlu ada program untuk semua kelas, bermula dengan murid Tahun 1, bukan hanya terhad untuk Tahun 5 atau 6 sahaja. Program yang bermula dengan murid Tahun 1 perlu menumpukan kepada aspek membina dan mengukuhkan kemahiran-kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira), seterusnya barulah untuk penguasaan pengetahuan asas isi kandungan mata pelajaran.
  • Tempatkan guru besar yang cemerlang di sekolah-sekolah yang lemah prestasi akademiknya.
  • Adakan latihan/kursus untuk meningkatkan pengetahuan guru dalam mata pelajaran dan teknik pengajaran berkesan.
  • Tingkatkan prasarana pembelajaran di sekolah. Lengkapkan perpustakaan sekolah dan pastikan makmal komputer dan makmal sains digunakan sepenuhnya.
  • Adakan pemeriksaan kesihatan murid oleh pakar perubatan dengan kerap (sekurang-kurangnya sekali setahun) untuk mengenal pasti jika murid-murid ini mengalami masalah kesihatan dan kecacatan pembelajaran (learning disabilities).
  • Penyeliaan dan pencerapan pengajaran guru wajar dilakukan dengan lebih kerap oleh pihak pentadbiran sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah atau nazir sekolah supaya dapat membantu guru meningkatkan kualiti pengajaran.
  • Beri ganjaran dan pengiktirafan kepada guru yang komited dalam meningkatkan pencapaian murid.

Sumber : www.utusan.com.my


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...