Sahabat Maya :

Friday, March 12, 2010

Nur Syuhadah antara pelajar cemerlang

Nur Syuhadah antara pelajar cemerlang

KOTA BHARU 11 Mac - ''Terima kasih, terima kasih cikgu," ujar Nur Syuhadah Muhamad, pelajar Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra (SMSTMFP) di sini yang muncul sebagai salah seorang pelajar cemerlang peringkat kebangsaan pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.

Nur Syuhadah yang ditemui di sekolahnya hari ini menyatakan rasa syukur di atas kejayaan yang dicapainya itu dan menyifatkan komitmen guru dalam menyampaikan kepakaran masing-masing begitu banyak membantunya.

''Ia membolehkan saya membuat persiapan dengan yakin bagi menduduki peperiksaan tersebut. Saya banyak memberi tumpuan semasa di dalam kelas," ujarnya.

Anak kepada pasangan pesara guru dan pesara jururawat itu memperoleh keputusan 10 A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Biologi, Kimia, Sejarah, Pendidikan Islam dan English for Sience and Technology (EST).

Dia yakin, kemahiran hafaz ayat-ayat al-Quran semasa di sekolah rendah yang diamalkan secara berterusan memudahkannya memahami dan mengingati apa yang diajar oleh guru.

Nur Syuhadah mendapat tawaran ke SMSTMFP semasa di tingkatan empat dan peluang ke sekolah ternama itu tidak disia-siakan dengan tumpuan penuh terhadap pelajaran.

Justeru katanya, tumpuan berkenaan membolehkannya menyertai pelbagai pertandingan akademik peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

''Antaranya, Olympiad Kimia Kebangsaan, ASEAN and Eropah Classroom (Matematik) dan National Science Challenge yang membolehkan saya mendapat sijil dan merit," katanya.

Penyertaan dalam pertandingan itu juga katanya, memberinya perangsang berkesan dalam membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan tersebut.

Pelajar itu pernah menerima anugerah dari Sultan Kelantan semasa muncul pelajar cemerlang peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...