Sahabat Maya :

Friday, February 5, 2010

Pesakit Parkinson


Bukan sekadar ketar tangan

Pesakit Parkinson juga menghadapi gangguan psikiatrik selain berdepan dengan simptom motor.



"PAPA mula ternampak orang-orang kerdil yang berwajah hodoh dan berkulit gelap. Sekali-sekala, papa juga kata dia ternampak wajah-wajah arwah ibu bapanya bersama orang-orang kerdil itu.

"Apabila papa menjadi takut, dia akan bersembunyi di dalam bilik. Semua tingkap dan langsir akan ditutupnya sepanjang siang hingga ke malam," demikian cerita seorang anak perempuan, Ebby, tentang keadaan bapanya.

Bapanya itu, Loo Peng Hock, 73, telah didiagnosis dengan penyakit Parkinson sejak 14 tahun lalu. Dalam tempoh lebih sedekad, Peng Hock telah mengalami pelbagai jenis komplikasi kesihatan.

Paling teruk, dia pernah berdepan dengan empat siri serangan psikosis dalam tempoh lima tahun bermula pada 2002.

"Ada satu malam, papa kata dia ternampak sekumpulan orang kerdil bersembunyi di bawah meja komputer abang saya. Oleh sebab risau kalau orang kerdil itu akan membahayakan ahli keluarga yang lain, papa pun potong tali wayar komputer. Kononnya hendak ikat semua orang kerdil itu.

"Alangkah terkejut kami dibuatnya apabila pada keesokan hari, kelihatan semua wayar itu bersepah-sepah di lantai," cerita Ebby seperti yang dikongsi dalam sebuah buku berjudul Two Sides of The Same Brain: Psychiatric Disorders and Parkinson's.

Biarpun biasa dikenali sebagai sejenis gangguan pergerakan, sorotan kisah bapa Ebby itu sebenarnya memberi gambaran berbeza tentang penyakit Parkinson.

Hakikatnya, tidak ramai tahu bahawa penyakit Parkinson turut memberi pelbagai impak tanpa gerak (motor). Simptom-simptom seperti gangguan psikiatrik pada kebanyakan masa memang tidak ada kaitan langsung dengan pergerakan badan.

Malah, keluarga Ebby tidak sama sekali menyangka gangguan halusinasi itu adalah sebahagian daripada penyakit Parkinson. Jauh sekali mereka melihat masalah yang dialami oleh Peng Hock itu sebagai isu psikiatri.

Faktor risiko

Pakar Perunding Neurologi, Dr. Chew Nee Kong berkata, gangguan psikiatri adalah simptom tanpa gerak merupakan yang paling umum dalam kalangan pesakit Parkinson, selain simptom motor umum.

"Pergerakan yang perlahan, tubuh menjadi kaku atau bergoncang adalah antara petandanya. Orang lain biasanya tidak nampak kewujudan simptom tanpa gerak yang sebenarnya berlaku lebih awal daripada petanda tersebut," katanya.

Kemurungan, rasa letih, kerisauan, sembelit, gangguan untuk tidur dan hilang deria hidu seharusnya menjadi petanda yang perlu dikesan awal.

Jangan terkejut juga jika gangguan seperti depresi dan rasa risau akan menjangkaui keseriusan simptom motor Parkinson dalam tempoh beberapa tahun sahaja lagi.


SISI psikiatrik seseorang pesakit Parkinson tidak harus dipandang remeh. - Gambar hiasan

Menurut Nee Kong, biarpun depresi dan kerisauan tidak semestinya berpunca daripada reaksi terhadap penyakit Parkinson, ia tetap signifikan. Ini memandangkan kedua-dua simptom itu adalah faktor risiko untuk mendapat penyakit tersebut.

Gangguan psikiatrik yang lain adalah kekeliruan, halusinasi dan dementia. Meskipun simptom-simptom ini boleh memudaratkan, komplikasi bagi individu yang menghadapinya sering dipandang sebelah mata.

Berdasarkan satu kajian yang dijalankan di sebuah klinik pakar, satu pertiga daripada pesakit Parkinson yang ditemui disahkan mengalami depresi. Malah, dua pertiga daripada jumlah itu tidak mendapatkan rawatan bagi menangani masalah tersebut.

"Situasi seperti ini berlaku kerana kurangnya kesedaran tentang simptom-simptom tanpa motor. Apabila pesakit Parkinson kembali mendapatkan pemeriksaan susulan, doktor dan pihak penjaga lebih memberi perhatian kepada aspek motor seseorang pesakit," kata Dr. Yen Teck Hoe, Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia dalam sebuah bengkel media di ibu negara baru-baru ini.

Dalam bengkel anjuran Persatuan Penyakit Parkinson Negeri Sembilan (NSPS), Persatuan Psikiatrik Malaysia dan Yayasan Parkinson Llyod Tan itu, kandungan buku Two Sides of The Same Brain: Psychiatric Disorders and Parkinson's telah mencuri perhatian para peserta.

Buku itu mengenengahkan laporan dan cerita tentang simptom-simptom tanpa gerak yang berlaku dalam kalangan pesakit Parkinson, selain menyertakan koleksi kajian serta huraian saintifik mengenai kaitan antara gangguan psikiatrik dengan penyakit tersebut.

Himpunan testimoni daripada pesakit dan golongan penjaga turut diselitkan agar pembaca mendapat gambaran sebenar tentang pengalaman mereka.


ISU kesihatan mental dan gangguan halusinasi perlu diperinci agar jawapan terhadap persoalan penyakit Parkinson dapat ditemukan. - Gambar hiasan.

Menurut Teck Hoe, sebarang ciri psikiatrik seseorang pesakit Parkinson seharusnya dikesan lebih awal. Tindakan itu penting bagi membantu golongan pesakit dan penjaga untuk menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.

Impak kepada pasangan

Dalam sesetengah kes, impak gangguan psikiatri ke atas golongan penjaga adalah lebih dahsyat daripada yang disangkakan. Jelasnya, pasangan bagi pesakit Parkinson ada kalanya menghidapi masalah depresi yang jauh lebih serius berbanding golongan berusia yang lain.

Di Malaysia, dianggarkan terdapat sekitar 25,000 hingga 30,000 pesakit Parkinson. Bilangan itu dijangka meningkat sehingga 40,000 menjelang 2020 nanti.


KADAR kelaziman dan impak gangguan psikiatrik dalam pesakit Parkinson adalah signifikan.

Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (2006), sebanyak 11.2 peratus daripada populasi orang dewasa di Malaysia didapati menghidapi gangguan psikiatrik. Maka, tidak hairanlah apabila masalah tersebut dan Parkinson dikelaskan sebagai antara gangguan otak paling umum di negara ini.

Malah, gangguan psikiatrik dalam kalangan pesakit Parkinson juga dijangka menjadi beban kesihatan utama masyarakat di negara ini.

"Kadar kelaziman dan impak gangguan psikiatrik dalam pesakit Parkinson adalah signifikan. Pengamal perubatan khususnya doktor dan masyarakat pada umumnya perlu mengubah persepsi mereka tentang simptom tanpa gerak pesakit Parkinson ini.

"Hanya dengan cara ini, simptom-simptom (tanpa gerak) itu boleh diuruskan sebaik mungkin tanpa dipandang remeh. Pada masa yang sama, mereka perlu mendapat maklumat tentang pelbagai rawatan yang berkesan di hospital-hospital kerajaan di Malaysia," terang Nee Kong.



Tambahnya, pesakit yang menerima rawatan pada peringkat awal atau pertengahan masih mampu menikmati kualiti kehidupan yang baik. Dalam tempoh 10 hingga 15 tahun pertama penyakit itu, pesakit Parkinson akan diberi ubatan seperti dopamine agonist yang efektif untuk mengawal simptom-simptom motor.

Malangnya, seiring dengan peredaran masa dan kemerosotan fungsi fizikal, seseorang pesakit bertambah sukar dalam menjalankan aktiviti harian. Biarpun menerima dos perubatan maksimum, sesetengah pesakit juga perlu menjadi sejenis pembedahan otak yang dikenali sebagai Rangsangan Otak Dalaman (Deep Brain Stimulation - DBS).

Bagi pesakit yang memerlukan rawatan untuk gangguan psikiatrik pula, doktor akan memberi ubat antidepresi. Malah, terdapat sejenis ubat baru iaitu pramipexole yang terbukti mampu memperbaiki kedua-dua simptom motor dan depresi yang dialami pesakit Parkinson.

Sementara itu, Presiden Persatuan Parkinson Negeri Sembilan, Gharizah Hashim berkata, hakikatnya, persepsi yang salah terhadap penyakit ini boleh diperbetulkan menerusi program-program pendidikan dan sebaran media.


Sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0205&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_01.htm

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...