Sahabat Maya :

Tuesday, February 23, 2010

Adik Memang Berbakat.







Sudut imaginasi budak 7 tahun




KETIKA ramai kanak-kanak lain sebaya dengannya mungkin sedang sibuk bermain permainan video atau perisian komputer di dalam rumah, ataupun menghabiskan waktu berkejar-kejaran di padang, si cilik ini sudah ada aktiviti eksklusifnya tersendiri.


Bertemankan gajet yang bersaiz dan seberat kira-kira satu per 20 daripada statistik tubuhnya, pandangan mata Danial Fitri Md. Yusoff Othman, 7, sudah menjangkau ke sudut yang paling seni dan mungkin sering diabai kanak-kanak biasa.


Minat mendalam yang ditunjukkan Danial itulah yang membawa Kosmo! ke Galeri Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Perasaan asyik dan kagum mengisi ruang pameran fotografi itu tatkala menikmati 30 persembahan foto hasil kreativiti Danial dan gajetnya, kamera Nikon D100.


Dalam pameran bertema Bicara Alam itu, judul-judul bagi karya Daniel begitu unik. Ada yang diberi nama Hantu dan Gajah, Burung di Atas Elektrik, Burung Diri Jauh, Rumah Terbakar dan Monyet Menung. Lebih istimewa, semua judul itu adalah ciptaan murid darjah satu itu sendiri.


Sejak bakatnya dalam skil fotografi mula diasah dari usia 4 tahun, Danial kini sudah memiliki ratusan koleksi gambar yang kebanyakannya bertema haiwan dan alam sekitar.


"Gambar yang paling saya suka ialah Gajah dan Hantu. Yang ini gajah dan yang ini hantu," kata Danial kepada penulis sambil menunjukkan rakaman bayang manusia dan bongkah batu.


Pada mulanya seseorang mungkin tidak dapat membayangkan gajah dan hantu apabila melihat gambar tersebut. Namun, apabila diterangkan sedemikian oleh Daniel, barulah imaginasi mengambil alih lantas batu itu menyerupai seekor gajah sementara bayang manusia pula kelihatan seperti apa yang dipercayai sebagai hantu.


Ternyata si kecil dengan ketinggian 104 sentimeter itu bukan sahaja memiliki bakat mengambil gambar tetapi juga memiliki pandangan luar biasa terhadap apa yang diambilnya.


Teruja dengan kunjungan Kosmo!, Danial berlari mendapatkan kameranya dan menunjukkan aksi-aksinya mengambil gambar. Tangan dan jari-jemari Danial yang kecil tidak menghalangnya untuk mengangkat dan mengendalikan kamera itu laksana seorang jurugambar berpengalaman.


Walaupun lagak dan gayanya mengambil gambar belum mirip jurugambar profesional, namun hasil yang terakam daripada petikan butang kamera itu cukup mengagumkan. Secara tidak langsung ia mencermin peribadi Danial yang gemar memerhati dan mempunyai sifat ingin tahu yang mendalam.



BERSAMA kamera Nikon D100, Danial sudah bijak berkarya menghasilkan foto-foto yang di luar kotak minda seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun.


Berkenaan pameran tersebut, Danial mengatakan dia senang apabila melihat begitu ramai orang yang berkunjung untuk melihat hasil fotonya.


"Tapi kenapa yang datang semuanya orang dewasa, bukan kanak-kanak seperti saya?" Tanya Danial yang mengundang rasa lucu dan senyuman di bibir yang mendengarnya.


Daniel memberitahu, dia menunggu peluang untuk mengunjungi kawasan berdekatan tasik kerana menurutnya di situ terdapat banyak ikan dan burung. Pemandangan di tasik juga cantik, katanya.


Menurut ibu Danial, Azmatul Hazrin Zaman, 33, anaknya itu sudah menunjukkan minat dalam fotografi sejak berusia empat tahun.


"Jika saya dan suami mengambil gambar, kami sentiasa membawa Danial bersama. Pernah sekali sebelum Danial pandai mengambil gambar, dia tanya pada saya 'apa yang mama sedang buat?'


"Danial juga pernah mengambil kamera saya dan cuba mengambil gambar. Mulanya saya risau dia akan merosakkan kamera tersebut. Namun, apa yang berlaku, Danial pandai mengambil gambar dan hasilnya juga cantik.


"Selepas dia menunjukkan minat, saya dan suami tidak jemu mengajarnya," ujar Azmatul yang turut mewakili perasaan bangga suaminya, Md. Yusoff Othman, 61.


Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Demikian juga Danial yang mewarisi bakat mengambil gambar dalam bidang fotografi. Azmatul sendiri merupakan seorang jurugambar berpengalaman sementara Md. Yusoff pula ialah bekas pensyarah bidang fotografi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.



Inilah foto bertajuk Gajah dan Hantu cetusan minda kreatif Danial.


Malah sebelum ini, Azmatul dan Md. Yusoff sudah banyak kali melakukan pameran solo yang menghimpunkan hasil-hasil hebat rakaman lensa mereka.


Sementara itu, pameran fotografi yang dilancarkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom pada hari itu boleh diibaratkan pameran sekeluarga.


Bicara Alam turut mempersembahkan karya fotografi Azmatul dan Md. Yusoff.


Menjadikan alam sebagai inspirasi, haluan seni dalam setiap foto yang dipamerkan banyak bermain dengan aspek seni melalui penggunaan motif, ikon dan metafora.


Md. Yusoff memberitahu, kebiasaannya Kampung Sekinchan, Selangor menjadi tempat mereka membawa Danial mengambil gambar.


"Di situ banyak burung-burung dan sawah padi. Selain itu, saya akan bawa Danial ambil gambar dekat kampung saya iaitu Kampung Sri Kendong, Negeri Sembilan," katanya yang juga memiliki seorang anak lelaki yang juga gemar mengambil gambar iaitu Darius Feroz, 2.


Tetapi dakwa Md. Yusoff, Darius masih belum pandai mengambil gambar yang cantik. Si bapa ini berseloroh, buat masa ini Darius tahu mengangkat dan menekan punat kamera sahaja.


Danial yang sememangnya petah bercakap pernah bertanya dengan Azmatul kenapa kadangkala gambar yang diambilnya tidak cantik. Dia memberitahu kameranya sudah rosak. Walhal, gambar yang diambilnya itu kabur gara-gara getaran tangan.


Akhirnya, Azmatul membeli Danial tripod untuk memudahkannya mengambil gambar. Azmatul menambah, kini Danial sudah pandai menentukan aperture dan kelajuan shutter dengan sendiri.



ALIMUDDIN (kanan) melahirkan rasa kagum dengan daya kreativiti kanak-kanak berusia tujuh tahun itu.


Memetik kata Alimuddin yang berharap Danial akan menjadi inspirasi kepada pelajar lain melalui pameran fotografi tersebut, banyak yang boleh disimpulkan.


Bukan sahaja contoh buat kanak-kanak, malah ia menjadi iktibar kepada golongan ibu bapa. Pemupukan intelek, bakat dan minat terhadap aktiviti yang berfaedah memang perlu dimulakan pada usia muda.


"Satu hari nanti saya nak jadi jurugambar yang hebat," kata Danial yang nyata memandang jauh soal impian dan cita-cita.



Kosmo!



============================


Lawak la pulak







1 comment:

  1. BERKARYA, BEKERJA, BERIBADAH.
    SEMOGA BERPAHALA SORGA.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...