Photobucket

Sahabat Maya :

Tuesday, January 19, 2010

Perlu ada garis panduan sistematik tukar guru BM, BI


KUALA LUMPUR 18 Jan. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta kerajaan menyediakan garis panduan yang sistematik bagi menempatkan semula guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ke sekolah lain.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, program penempatan semula yang hanya melibatkan dua mata pelajaran itu telah disalah gunakan segelintir pentadbir sekolah dengan sewenang-wenangnya.

"Timbul masalah apabila penempatan semula ini dilaksanakan awal tahun ini. Kita menerima beberapa aduan daripada guru-guru mengenai perkara ini.

"Tiada garis panduan tetap mengenai penempatan semula guru dalam hal ini. Jadi sebelum ia berlarutan, sesuatu perlu dilakukan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Adnan berkata, NUTP bersetuju apabila Kementerian Pelajaran sebelum ini menjelaskan bahawa penempatan semula guru yang mengajar dua mata pelajaran itu adalah demi memperkukuhkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

"Namun, dalam proses pergerakan guru dari satu sekolah ke sekolah lain itu, masalah lain pula timbul. Kita dapati ada guru yang tidak mengajar dua mata pelajaran itu turut ditukarkan atas alasan guru itu tidak disukai pihak sekolah atau bermasalah," katanya.

Katanya, sejak program penempatan itu dimulakan awal Januari ini, terdapat 10 aduan yang sebahagian besarnya melibatkan penyalahgunaan kuasa pentadbir sekolah terhadap guru-guru yang dipaksa bertukar ke sekolah lain.

"Aduan lain termasuk arahan pertukaran dalam tempoh yang terlalu singkat sehingga menimbulkan masalah kepada guru terlibat. Ini memberi tekanan kepada mereka terutama yang mempunyai keluarga.

"Masalah kos sara hidup juga menjadi isu apabila penempatan semula ini tidak dilaksanakan dengan koordinasi yang tepat oleh pihak yang berwajib," katanya.

Justeru, NUTP turut menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan menyediakan pampasan bulanan kepada guru-guru terlibat bagi membantu meringankan beban terutama kepada yang telah berkeluarga.

Katanya, penempatan semula guru-guru terbabit juga perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dan berhati-hati dengan mengambil kira semua faktor kemanusiaan.

Adnan berkata, proses pertukaran guru-guru itu juga perlu dibuat berdasarkan kepada keperluan mata pelajaran di sesuatu sekolah dan bukannya kerana sekolah terbabit memerlukan guru semata-mata.

UTUSAN MALAYSIA


-------------------------------------------------------------------------------------------------


NUTP Minta Garis Panduan Jelas Berhubung Isu Penugasan Semula Guru

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Kementerian Pelajaran diminta menyediakan garis panduan yang jelas berhubung isu penugasan semula guru-guru bagi mengelak berlakunya penyalahgunaan kuasa dalam proses penukaran seseorang guru.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Hashim Adnan berkata pihaknya menerima aduan terdapat segelintir guru besar atau pengetua mengambil kesempatan untuk mengeluarkan guru yang tidak disukai atau guru bermasalah di sekolah masing-masing.

Walaupun masih di peringkat awal pelaksanaan penugasan semula, NUTP telah menerima sejumlah 10 aduan di mana antara lima dan enam daripadanya membabitkan kes salah guna kuasa guru besar, katanya pada sidang media di pejabat NUTP di sini hari ini.

"Masalah besar timbul apabila berlaku penyalahgunaan kuasa di mana guru besar atau pengetua mengambil peluang untuk menukarkan guru sesuka hati sehingga menyebabkan berlakunya penganiayaan," katanya.

Selain salahguna kuasa disebabkan penugasan semula guru, NUTP turut menerima aduan berhubung bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung oleh guru yang diarah berpindah dalam tempoh satu atau dua minggu, terutama bagi mereka yang telah berkeluarga dan menetap serta mengajar di sesebuah sekolah untuk tempoh 10 hingga 15 tahun, katanya.

Beliau berkata ada juga guru mengadu ditukarkan ke sekolah yang terlalu jauh sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengambil masa dua jam ke tempat kerja setiap hari.

"NUTP mencadangkan supaya pampasan bulanan diberikan kepada guru-guru berkenaan seperti insentif yang ditawarkan kepada mereka yang sanggup bertugas di kawasan pedalaman," katanya.

Sehubungan itu, Hashim meminta kementerian turut memantau proses penugasan semula bagi memastikan pelaksanaannya dilakukan dengan lebih sistematik.

Hashim berkata perkara itu juga harus dilaksanakan secara berperingkat dan berhati-hati dengan mengambil kira faktor kemanusiaan seperti kepakaran seseorang guru yang telah mengajar sesuatu subjek sejak sekian lama.

"Kita mencadangkan supaya guru yang belum berkahwin atau mereka yang boleh dikategorikan sebagai `young family' atau baru berkahwin dan tidak mempunyai anak yang ramai, ditukarkan terlebih dahulu di bawah redeployment guru ini," katanya.

Selain itu, katanya, setiap pertukaran haruslah dilakukan berdasarkan keperluan subjek di sesebuah sekolah dan setiap kekosongan mesti diisi dengan segera.



-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...