Photobucket

Sahabat Maya :

Thursday, January 14, 2010

Kerajaan kaji guna sistem sekolah London

Kerajaan akan mengkaji untuk menggunakan sistem e-pembelajaran yang dilaksanakan di sebuah sekolah menengah komuniti di bandar raya ini bagi memantapkan lagi sistem pengajaran dan pembelajaran di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sistem teknologi maya frog system yang dilaksanakan di Sekolah Sunbury Manor itu memberi kesan positif kepada pencapaian sekolah berkenaan yang sebelum ini bukan sekolah pilihan ibu bapa.

"Memang kita telah menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah kita tetapi kita berminat untuk melihat sistem yang digunakan di sekolah ini untuk menambah baik lagi sistem pengajaran dan pembelajaran negara," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran bercakap kepada wartawan Malaysia selepas mendengar taklimat mengenai e-pembelajaran oleh wakil sekolah Sunbury Manor di Sheraton Park Tower di sini hari ini.

Katanya, dengan adanya sistem e-pembelajaran yang lebih radikal seperti yang digunakan di sekolah berkenaan, ia mampu melonjakkan sistem pendidikan di Malaysia.

"Kita sentiasa mahu menambah baik sistem pengajaran dan pembelajaran negara dengan melihat kepada pencapaian sekolah-sekolah lain di luar negara.

"Sebenarnya tujuan saya ke sini untuk melihat sendiri sistem ini dijalankan tetapi kerana masalah cuaca (salji tebal), kita hanya dapat mendengar sahaja taklimat itu di sini," kata Muhyiddin.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan melihat pelbagai sudut sebelum mengambil keputusan untuk menggunakan sistem berkenaan

"Belum ada keputusan. Kita akan meneliti aplikasi yang digunakan selain faktor kos kerana ia bukan melibatkan jumlah yang sedikit," katanya. - Utusan

Sumber : http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_content&task=view&id=129&Itemid=1


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...