Photobucket

Sahabat Maya :

Monday, January 11, 2010

Jangan Sertai Perhimpunan Depan Gereja Minggu Depan, Kata Polis

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang demonstrasi di Gereja Assumption, Petaling Jaya yang dikatakan akan diadakan pada 13 Jan.


Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata tindakan berhimpun secara haram itu tidak akan membantu meredakan suasana tetapi hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

"Saya dimaklumkan ada SMS yang kini tersebar mengajak orang ramai berhimpun di gereja tersebut minggu hadapan, justeru saya merayu orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan yang dikatakan itu.

"Serahkan siasatan kepada kami, biar kami yang uruskan... jangan membuat tindakan yang akan mengeruhkan lagi keadaan dan menimbulkan suasana tegang," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke gereja tersebut Ahad.

Beliau berkata polis tidak akan teragak-agak untuk bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja yang melakukan perkara yang melanggar peruntukan undang-undang, termasuk berhimpun secara haram.

Ketika ditanya mengenai dakwaan terdapat sebuah masjid di Klang Jaya diserang, beliau berkata: "Perkara seperti itu tidak berlaku. Tolong jangan dengar khabar angin dan tolong jangan buat spekulasi."

Beliau bagaimanapun berkata polis menerima satu laporan mengenai sebuah surau di Klang dibaling batu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya setakat ini hanya tiga buah gereja di sekitar Selangor dijadikan sasaran.

"Tiada kes baru dilaporkan. Namun ada sebuah gereja dilaporkan mengalami kecurian," katanya.

Khalid berkata polis sedang mengenal pasti suspek yang terlibat dalam cubaan membakar ketiga-tiga buah gereja di Selangor.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...