Sahabat Maya :

Friday, January 29, 2010

Google jadi medan ujian

Jika Barat percaya bahawa penapisan terhadap sesetengah kandungan Internet melangkaui etika kebebasan maklumat, China pula berpendapat tindakan itu perlu bagi mengukuhkan struktur pemerintahannya.




POLEMIK antara penyedia enjin carian Internet paling berpengaruh di dunia, Google dengan pemerintah China belum menampakkan tanda akan berakhir. Segala-galanya bermula berikutan insiden penggodaman terutama pada e-mel Gmail yang dimiliki oleh golongan aktivis yang lantang menyuarakan pendapat mereka terhadap kerajaan China.

Itu belum dicampur dengan pelbagai bentuk penapisan yang dikenakan oleh kerajaan ke atas pengguna Internet di negara komunis tersebut.

Google menyatakan serangan itu berlaku secara terancang dan datangnya dari China. Situasi itu nyata dimarakkan lagi oleh sentimen nilai budaya dan pemerintahan rejim yang berbeza.


E-MEL Gmail milik aktivis yang lantang menyuarakan pendapat terhadap kerajaan China menjadi mangsa penggodaman.


Rungutan Google mendapat sokongan daripada Rumah Putih. China pula membalasnya dengan menuduh Washington menggunakan Internet untuk menyokong pemberontakan di Iran.

Perkembangan itu menambah pergeseran di antara kedua-dua buah negara kuasa besar dunia tersebut. Sebelum ini, mereka berdepan dengan masalah penjualan senjata Amerika Syarikat (AS) kepada Taiwan dan isu hak asasi manusia.

Menurut Profesor Perhubungan Antarabangsa dari Universiti Renmin, Beijing, Jin Canrong, perbezaan fahaman politik dan ideologi terhadap kes Google menjadikan kerjasama antara Beijing dan Washington semakin sukar.

"Keperluan asas untuk kerjasama dalam aspek ekonomi dan diplomatik tidak berubah. Tetapi isu-isu sebegini boleh membantutkan perkembangannya," kata Jin Canrong.


RAMAI pengguna Internet tidak mahu melihat Google memberhentikan operasinya di China.


Terbaru, jurucakap bagi Pejabat Lembaga Maklumat Negara menegaskan bahawa China mengharamkan penggunaan Internet yang mengancam perpaduan warganya. Terutama kandungan yang boleh mencetuskan kebencian antara etnik, mempromosikan ajaran sesat, pornografi dan keganasan.

"China mempunyai asas perundangan yang jelas untuk menyekat kandungan sebegini. Ia jauh berbeza dengan apa yang dikatakan sebagai kebebasan Internet," jelas kenyataan yang disiarkan di laman web www.gov.cn.

Pejabat Lembaga Maklumat Negara merupakan salah satu cabang dalam kabinet China. Ia bertanggungjawab dalam menyebarkan propaganda kerajaan Parti Komunis dan menjadi salah satu agensi berkaitan polisi Internet.

China telah menyekat laman YouTube, Twitter dan Facebook, di samping mengaplikasikan penapisan Great Firewall untuk menghalang warganya daripada menonton imej dan membaca idea-idea haram yang disiarkan di laman web luar negara.

Masyarakat Barat beranggapan ucapan Setiausaha Negara AS, Hilary Clinton mengenai kebebasan Internet dan keperluan dikenakan tindakan terhadap aktiviti penggodaman amat dialu-alukan. Namun bagi China, ia lebih bersifat imperialisme maklumat.

Medan ujian

Dalam erti kata lain, akses terhadap sambungan (links) sensitif daripada laman-laman web di China dihalang atas arahan rasmi kerajaan tidak dapat diterima. Situasi itu mungkin mendorong Google mengambil keputusan untuk menghentikan penapisan atau menutup terus laman web berbahasa Cina miliknya, Google.cn.

Ironinya, Beijing menyifatkan tiada penapisan di China. Apa yang ada ialah sistem Internet yang terbuka. Memberi maklum balas terhadap situasi itu, banyak syarikat teknologi AS yang beroperasi di China menjauhkan diri daripada Google. Mereka tidak mahu mengalami kerugian di negara yang menawarkan tenaga kerja murah itu.

Harus diakui bahawa golongan muda China berusia antara 20 tahun hingga 30 tahun membesar dalam suasana pengaruh kebaratan dan lebih terbuka berbanding ibu bapa mereka. Kini, ramai yang berada di persimpangan antara semangat patriotik, keinginan untuk menyuarakan pendapat dan akses terhadap maklumat. Itu pun jika mereka mampu menerima batas yang diletakkan oleh Parti Komunis China.


SAMA ada Google akan keluar atau tidak dari China, ia bergantung kepada kejayaan rundingannya dengan pihak pemerintah negara komunis tersebut.


Justeru, Google dilihat menjadi medan ujian tersebut.

"Ciri khas Internet ialah syarikat seperti Google melihat pertumbuhan keuntungan bergantung kepada kebebasannya. Ia seakan-akan satu ujian. Sejauh mana anda menyokong Google menunjukkan anda mahukan lebih kebebasan di China. Walaupun anda tahu Google lebih mengutamakan keuntungan," kata seorang aktivis, Chen Yongmiao yang laman webnya telah disekat oleh pihak berkuasa.

Para pegawai kerajaan China mengelak untuk bersemuka dengan Google tetapi menjelaskan bahawa syarikat-syarikat Internet perlu mengikut undang-undang, termasuklah penapisan.

Lokasi tumpuan percanggahan tersebut berlaku di Zhongguancun, barat laut Beijing. Jalan Chengfu di wilayah yang digelar sebagai Lembah Silikon China itu menempatkan ibu pejabat Google menjadi bukti kepada pertumbuhan pesat negara tersebut. Sedekad lalu, ia hanya sebuah kawasan perumahan kos murah, selain restoran-restoran yang dibina berhampiran tapak pertanian.

Kini, suasana itu sudah jauh berubah. Ia padat dengan kampus-kampus universiti, pejabat yang canggih, pusat beli-belah barangan berteknologi tinggi, makmal komputer, kafe dan restoran.


INTERNET dipercayai boleh menggugat perpaduan dan menyemarak kebencian dalam kalangan rakyat China.


Para pelajar dari kampus berdekatan mengisi banyak peluang pekerjaan di sana. Mereka merupakan produk daripada sistem pendidikan yang menjadi kebanggaan terhadap pencapaian China selain ketaatan kepada Parti Komunis dan kepekaan warganya terhadap tekanan asing.

Pendirian rakyat China

Majoriti rakyat China tidak begitu faham apabila Google menyatakan China menjadi dalang di sebalik penggodaman yang begitu sofistikated. Ia mungkin disebabkan tidak banyak media tempatan China yang melaporkan cerita itu. Sementara yang lain seolah-olah memperlekehkan Google kerana ingin keluar dari China berikutan isu tersebut.

Para pelajar, pencari kerja dan golongan profesional teknologi melihat pendirian Google dengan rasa kagum dan bimbang. Ia terserlah menerusi banyak forum dalam talian.

"Saya rasa kagum kerana sebuah syarikat sanggup mengorbankan keuntungan demi idea. Kenapa tidak boleh mengkritik kerajaan? Kenapa kita tidak boleh memilih apa yang hendak dibaca di Internet?" soal Liu Wei, 29, seorang akauntan yang memakai cermin mata tebal.

"Itu kerana China berbeza!" celah teman wanitanya, Sun Jingying, 26, seorang pelajar perakaunan.

"Ada sesuatu yang hanya kita perlu menerimanya. Memang sedih kalau Google tidak lagi beroperasi. Saya suka bekerja dengan mereka," tambahnya.

Kaji selidik terakhir di China menunjukkan 60 peratus daripada populasinya yang melayari Internet berusia antara 10 tahun hingga 29 tahun.

Sewaktu lawatannya ke China November lalu, Presiden AS, Barack Obama berjumpa dengan golongan muda China menerusi web-cast. Mesej Obama ialah beliau merupakan penyokong utama terhadap kebebasan penggunaan Internet.

Di sebalik kekangan dan penapisan, Internet di China merupakan forum awam yang cukup berpengaruh. Para blogger dan kumpulan-kumpulan tertentu begitu lantang menggertak kerajaan atas isu pencemaran dan rasuah.

Tahun lalu, kerajaan China membatalkan rancangan untuk mewajibkan semua komputer peribadi hadir bersama Green Dam, satu perisian penapisan Internet. Pembatalan itu dibuat selepas kritik menyatakan ia satu tindakan melampau dan tidak efektif.

Namun, ada juga generasi muda China melihat isu Google sebagai satu tindakan buli AS. Bagi mereka, Parti Komunis yang memerintah China harus mencari jalan untuk mengurangkan tekanan asing terhadap kawalan penggunaan Internet.


PENGGUNA Internet di China berdepan dengan pelbagai bentuk penapisan.


"Memang ada segelintir yang berasa semakin tidak bebas dan terhalang (iaitu mereka yang menyokong Google). Tetapi ramai juga yang dibentuk oleh media rasmi dan melihat wujud campur tangan kerajaan AS di sebalik tindakan Google," kata Li Yonggang, pakar bidang masyarakat dan Internet dari Universiti Nanjing.

"Jika mereka tidak dapat menangani masalah penggodam dan penapisan, itu masalah mereka. Setiap negara memiliki kekangan mereka sendiri. Jadi, biasalah jika China juga menguatkuasakannya. Kalau China ingin mengubahnya, itu hak China," kata seorang juruteknik perkakasan komputer, Derek Huang.

Kaji selidik pendapat menunjukkan ketika rakyat China yang berusia antara 20 hingga 30 tahun dilihat lebih kritikal terhadap kerajaan berbanding golongan tua dan mahukan lebih kebebasan. Golongan sama juga sangat patriotik dan peka mengenai perubahan landskap politik negara.

Internet memainkan peranan penting. Buktinya, ia telah menyebarkan sentimen kemarahan rakyat China ke atas protes-protes yang dilakukan oleh Barat berkaitan isu Tibet sebelum berlangsungnya Sukan Olimpik pada 2008.

Tahun lalu, Internet menjadi medium menyemarakkan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat China yang marah terhadap Jepun.

"Google bertindak atas dasar komersial. Saya fikir, kita perlu menerima kekangan demi kestabilan negara," kata Su Xin, 25, graduan bidang kejuruteraan euronatik.

Namun begitu, sesetengah pelajar yang kurang berminat dengan perkembangan politik melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Google mungkin keluar dari China.

"Jika berlaku, saya rasa ia satu kerugian besar," kata Guo Xin, seorang pelajar berusia 19 tahun. Guo Xin memberitahu dia menggunakan Internet dan Google untuk mencari maklumat tentang permainan video dan filem.

"Tidak bagus jika terlalu ketat. Ia menjauhkan kita daripada maklumat yang diperlukan pada zaman moden ini," katanya.

Kosmo!

3 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...