Muhyiddin ketika menghadiri
Majlis
Perjumpaan Bersama PIBG dan Guru
Parlimen Pagoh di Sekolah Kebangsaan
Sri Bukit Pasir, Muar, semalam.
- Foto Hairul Anuar Abd Rahim
Muar: Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata proses penambahbaikan mutu
pembelajaran dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (PPPN), usaha
serius kerajaan bagi memastikan pencapaian semua sekolah setara selain
mencapai piawaian antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri
berkata, usaha yang dijalankan dalam tempoh 13 tahun mulai tahun ini,
membabitkan semua sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan dan sekolah agama
Kementerian Pelajaran.
“Pelan itu proses tambah baik yang dibuat dengan serius dan tidak
saja sekolah kebangsaan tetapi semua sekolah di bawah kementerian.
“Ada yang kata pelan itu seperti memberi tumpuan kepada
sekolah kebangsaan saja, mungkin kerana ia lebih besar, tetapi sekolah
jenis kebangsaan (Cina dan Tamil) turut diberi perhatian agar dinaik
taraf, begitu juga kepada sekolah mubaligh dan sekolah agama.
Tumpu semua sekolah
“Kita tidak mahu orang salah faham bahawa pembentukan pelan ini hanya
memberi tumpuan kepada sekolah kebangsaan, sebaliknya kita juga
menumpukan semua sekolah sebab mereka adalah anak Malaysia dan perlu
dibimbing,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Majlis
Perjumpaan Bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Guru Parlimen
Pagoh dan Perasmian Mesyuarat PIBG Sekolah Kebangsaan Sri Bukit Pasir,
di sini semalam.
Yang turut hadir isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman;
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat;
ADUN Jorak, Datuk Dr Shahruddin Salleh dan Pegawai Daerah, Abdul Rahman
Dawam.
Katanya, proses penambah baik itu usaha mencabar bukan
kerana lebih banyak bebanan kerja, sebaliknya menuntut kecekapan dan
kemahiran teknologi komunikasi maklumat (ICT) dalam sistem pembelajaran
kerana internet juga membolehkan pelajar menambah ilmu pengetahuan di
luar bilik darjah.
Bentuk sahsiah, nilai etika
Beliau berkata, usaha meningkatkan mutu pendidikan negara menuntut
kerjasama semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa dan PIBG dalam usaha
melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang dalam pelajaran, malah
membentuk sahsiah dan nilai etika supaya menjadi manusia yang benar
berjaya.
Katanya, pembabitan aktif semua pihak perlu dijalankan
sepanjang masa dan bukan secara bermusim untuk memastikan ia berkesan,
malah peranan PIBG juga perlu disusun semula supaya lebih ‘bertenaga’
berbanding sebelum ini.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri
turut menyertai solat Jumaat dan hajat mendoakan keamanan serta
keselamatan negara bersama jemaah Masjid Jamek Kampung Pergam, Sungai
Terap.