Melayu buka kelemahan sendiri
Ipoh: Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah, sumber
kekuatan ummah dan bangsa Melayu kelihatan semakin diruntuhkan berpunca
daripada pelbagai kemungkaran termasuk sikap mereka yang semakin
berlumba mendedahkan kelemahan sesama sendiri.
Baginda bertitah, mereka saling melukis wajah Melayu mana yang lebih hodoh bertujuan mendedahkan kelemahan masing-masing.
Titah baginda, jika keadaan itu berlarutan, umat Islam dan orang
Melayu tidak lagi memerlukan musuh dari luar untuk memusnahkan kesucian
Islam dan bangsa Melayu di bumi ini.
Umat Islam dan orang Melayu hari ini, jangan tersalah sukat, jangan tersilap bacaan, merasakan diri mereka sudah terlalu kuat.
Umat Islam dan orang Melayu muncul sebagai tenaga pimpinan yang
kuat di bumi ini pada era pra dan pasca merdeka kerana mereka ketika itu
menyedari kelemahan dan kekurangan ummah dan bangsanya, lalu majoriti
mereka mengambil pendirian, berusaha mengumpul dan menggabungkan setiap
kekuatan yang ada sesama mereka, titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Ke-186 di sini, semalam.
Masih kekal bersatu
Raja Nazrin bertitah, pada era pra dan pasca merdeka serta era
pra dan pasca penubuhan Malaysia, meskipun berlainan kabilah politik,
Melayu Islam kekal bersatu dalam perkara prinsip menyentuh martabat dan
maruah bangsa serta umat Islam bersatu teguh mempertahankan perkara
pokok menyentuh kesucian Islam.
Baginda bertitah, umat Islam dan orang Melayu yang berlainan
pandangan, dibawa berdiskusi dan berdialog secara rasional lagi
bertamadun selaras dengan sifat ilmuwan yang berusaha untuk membantu
ummah menemui cahaya kebenaran.
Orang Melayu dan umat Islam ketika itu, berjiwa besar, terbuka
sifatnya, luas pandangannya, lebih yakin pada dirinya lalu mencerminkan
sifat kesederhanaan, menolak suara ekstrem dan tidak akan mensensasikan
perkara remeh.
Mereka bersedia menerima kepelbagaian, menghormati perbezaan dan tidak bersifat homogenik, titah baginda.
Kesungguhan pemimpin
Raja Nazrin bertitah, pada era berkenaan kekuatan pemimpin Melayu
Islam terletak kepada kepercayaan rakyat terhadap sifat ikhlas dan
kesungguhan pemimpin hingga ke peringkat mengorbankan diri
masing-masing.
Ini dibuktikan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein (Perdana
Menteri Kedua) dan Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman (bekas
Timbalan Perdana Menteri) yang terus mengabadikan perkhidmatan kepada
negara dan rakyat meskipun menanggung keuzuran penyakit yang berat,
titah baginda.
Teruskan membaca..