Photobucket

Sahabat Maya :

Thursday, August 9, 2012

Tanggungjawab pekerja laksana hak Tuhan, muamalah sesama insan













Tanggungjawab pekerja

laksana hak Tuhan,

muamalah sesama insan

AL-QURAN menerangkan kepada kita bahawa Allah SWT menciptakan manusia dan jin untuk beribadah serta menjadi hamba Allah menguruskan dunia ini dengan sebaik mungkin mengikut standard peraturan ditetapkan-Nya.






Selepas itu manusia akan dikembalikan ke akhirat untuk menghadapi penilaian dan pengadilan sejauh mana prestasi melaksanakan perintah Allah SWT. Inilah matlamat utama dan hala tuju kehidupan manusia di dunia ini.





Sebagai pekerja Allah di dunia ini sama ada bekerja dengan kerajaan, swasta dan bekerja sendiri , mereka mempunyai tugas serta tanggungjawab tertentu. Pada dasarnya umat Islam yang bekerja mempunyai dua sasaran utama iaitu melaksanakan hak Allah SWT dan melaksanakan muamalah sesama manusia.






Muamalah itu merangkumi pelbagai aspek kehidupan termasuk politik, undang-undang, pendidikan, ekonomi, pertanian, kesihatan dan sebagainya. Umat Islam yang dapat melaksanakan dua sasaran itu dengan cemerlang akan memperoleh kejayaan hidup di dunia serta akhirat.






Bagaimanapun isu yang sering menjadi perbahasan mengenai pekerja ialah kualiti pekerjaan dan kecemerlangan memberi perkhidmatan berinovatif yang dapat memuaskan dua pelanggan iaitu Allah SWT dan manusia.







Islam telah memberi peringatan kepada umatnya supaya sentiasa berbuat baik, cemerlang dan menjaga kualiti atau bersifat ihsan dalam melakukan setiap pekerjaan.







Firman Allah SWT yang bermaksud:








“Dan

berbuat baiklah kepada orang lain

seperti mana Allah berbuat baik kepadamu;

dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi;

sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang

yang berbuat kerosakan.”

(Surah al-Qasas, ayat 77)






Mengulas mengenai kecemerlangan melaksanakan sesuatu pekerjaan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:







“Sesungguhnya Allah sangat suka (bahkan cinta)

jika seseorang daripada kamu,

apabila melakukan kerja,

maka dia bekerja dengan tekun.”

(Hadis riwayat Baihaqi)








Memahami dan menghayati sifat ihsanakan membantu umat Islam mewujudkan pekerjaan cemerlang, berkualiti tinggi serta berinovatif. Sifat ihsan ialah melaksanakan pekerjaan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan perasaan yakin seolah-olah pekerjaan itu dilihat serta dipantau Allah SWT.









Sabda Rasulullah SAW ketika ditanya Jibril mengenai ihsan:




“Apakah ihsan itu?

Sesungguhnya kamu menyembah Allah

seolah-olah kamu melihat-Nya, tetapi jika kamu tidak melihat-Nya,

maka sesungguhnya Dia melihat kamu.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)








Unsur penting sifat ihsan ialah bekerja secara profesional, menguasai bidang kerja, kreatif dan inovatif untuk menghasilkan kualiti kerja yang tinggi. Penghasilan yang baik sudah tentu menjadi hak pekerja dan memberi kepuasan kepada pelanggan.








Persoalan besar timbul ialah bagaimana cara untuk melahirkan ihsan atau sebaik-baik pekerjaan yang amat dituntut dalam Islam. Prinsip ihsan termasuk berakhlak mulia, mempunyai keterampilan dan kemahiran tinggi dalam sesuatu bidang tugas.









Mempunyai ilmu pengetahuan dan pengalaman serta kecerdasan dalam menganalisis sesuatu maslahat selain peka keperluan masyarakat semasa. Mempunyai wawasan dan dapat membuat jangkaan keperluan masa depan.








Mempunyai keyakinan diri yang tinggi dalam menghasilkan kecemerlangan sesuatu aktiviti dan bekerja untuk menghasilkan sesuatu kualiti terbaik yang memenuhi kehendak pelanggan.








Prinsip ihsan tidak berhasil jika semata-mata kuat beragama tetapi tidak menguasai ilmu dan kemahiran pekerjaan. Prinsip ihsan juga akan cacat jika hebat menguasai ilmu tetapi lemah dalam penghayatan agama.









Berdasarkan pengertian sebenar sifat ihsan ini, akan melahirkan pekerja bertanggungjawab, beristiqamah dengan suruhan Allah SWT dan mengutamakan kepentingan pelanggan dalam melakukan tugasannya, sama ada dilihat orang atau tidak, ketika bersama majikan atau ketiadaan majikan.









Bekerja atas dasar ihsan untuk memenuhi hak Allah SWT dan keperluan manusia sejagat akan memperkasa jati diri serta meningkatkan harga diri pekerja. Seseorang itu akan takut melakukan perbuatan keji seperti melakukan kerosakan, penipuan, rasuah, mencuri tulang dan ponteng kerja.









Ingatlah, wang kekayaan yang didapati dengan cara haram apalagi dengan menganiaya pihak lain adalah wang dan kekayaan yang tidak berkat. Kekayaan secara haram tidak membawa kesenangan dan kebahagiaan sebaliknya menyebabkan kesengsaraan di dunia serta akhirat.































Teruskan membaca..

Keputusan kemasukan ke IPTA lepasan STPM, Matrikulasi, Asasi esok





Keputusan kemasukan ke IPTA

lepasan STPM, Matrikulasi, Asasi esok




KUALA LUMPUR: Keputusan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam bagi program lepasan Sijil Tinggi Persekolahan, matrikulasi dan asasi untuk calon yang tidak ditawarkan dalam pemilihan awal, boleh diketahui esok mulai 12 tengah hari.





Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa berkata calon boleh mendapatkan maklumat itu melalui hotline 03-8870 6767, helpline 03-8870 6777, talian am 03-8870 6755/6766 atau laman web http://upu.mohe.gov.my. http://www.jpt.utm.my, http://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my dan http://jpt.ums.edu.my.





Semakan juga boleh dibuat melalui SMS dengan menaip UPU RESULT (no kad pengenalan) dan hantar ke 15888, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.





Beliau berkata calon yang terpilih merupakan calon yang tidak mendapat tawaran ke IPTA dalam pemilihan awal kerana tidak bersetuju ditawarkan program pengajian luar pilihan, dan melibatkan mereka yang mendapat PNGK 2.8 ke atas.





"Proses pemilihan dilaksanakan mengikut pilihan calon atau rayuan, atau pilihan bidang calon, atau mengikut program pengajian yang mempunyai kekosongan dan bersesuaian dengan bidang pilihan calon," katanya.






Beliau berkata keputusan tawaran ini adalah muktamad dan calon tidak dibenar mengemukakan rayuan terhadap tawaran itu.






Calon yang berjaya akan mendaftar pada 1 dan 2 September, dan sebarang pertanyaan boleh hubungi Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar Jabatan Pengajian Tinggi di talian 03-8870 6767 atau 03-8870 6777, katanya. - BERNAMA

















Teruskan membaca..

Wednesday, August 8, 2012

Khidmat terbaik juga satu sedekah






Khidmat terbaik

juga satu sedekah



Penghayatan semangat Ramadan dalam segala bidang kukuh sahsiah diri






Apabila bekerja pada Ramadan, fikiran dan hati kita sewajarnya diisi dengan semangat dan keinginan untuk menggandakan usaha sama ada secara kuantiti mahupun kualiti sesuai gandaan ganjaran, kemuliaan serta keistimewaan Allah SWT anugerahkan di bulan penuh kerahmatan ini.





Atau sebaik-baiknya kita berusaha menampung serta menggantikan sebarang bentuk kekurangan kerja semalam demi merebut dan bersyukur dengan segala limpahan yang Allah SWT janjikan pada bulan ini.






Diriwayatkan oleh Salman al-Farisi, Rasulullah SAW bersabda:




“Sesiapa yang mengerjakan

(pada Ramadan) secara sukarela

satu perkara daripada perkara kebaikan (sunat),

maka dia seperti orang yang menunaikan

kefarduan pada masa yang lain.

Sesiapa menunaikan (pada Ramadan)

suatu kefarduan, maka dia seperti

orang yang menunaikan

70 kewajipan pada masa yang lain.”







Bulan Kualiti







Justeru, saya tertarik apabila ada organisasi mengadakan Bulan Kualiti pada Ramadan. Program diatur boleh mengingatkan dan mencabar kesungguhan diri bagaimana kita boleh menjana kualiti serta meningkatkan prestasi lebih baik berbanding bulan lain.






Ramadan sering dirujuk bulan memperbanyakkan beribadat dan bersedekah, sedangkan selain daripada itu tidak pula dianggap sebagai ibadat. Menghulur selain daripada wang ringgit dan harta pula, tidak difahami sebagai suatu sedekah.







Kefahaman ini jika dibiarkan boleh mencacatkan suasana dan hasil kerja pada bulan ini. Atas semangat ini juga kita menyemarakkan kegigihan bekerja dengan sukarela dan senang hati sambil memujuk diri bersabar menghadapi segala kesulitan dalam keadaan berpuasa sebagai suatu latih tubi.







Pengertian sedekah lebih luas







Justeru, menyegerakan urusan bagi sesuatu permohonan, mempercepatkan pembayaran, menjawab panggilan telefon serta melayan pelanggan semasa waktu rehat juga antara contoh ibadat dan sedekah di tempat kerja.





Menurut Islam, setiap kebaikan itu nilainya adalah ibadat dan apabila Allah SWT memerintahkan kita menafkahkan sebahagian harta ke jalan-Nya, tujuannya adalah sebagai tanggungjawab sosial dan untuk mengelak keburukan pada diri pemilik.







Kefahaman dan semangat inilah maka Prof Dr Yusof al-Qaradawi melebarkan maksud sedekah dalam bukunya Dawru al-Qiyam wa al-Akhlaq fi al-Iqtisad Islamiy.







Sumbang buah fikiran







Salah satu caranya ialah bersedia menyumbang tenaga dan buah fikiran di tempat kerja tanpa dipaksa, menunggu arahan atau mengharapkan pujian. Inilah antara maksud mendalam yang terkandung dalam konsep sedekah meliputi segala kemampuan dimiliki.






Segala keupayaan dan kemampuan inilah menjadi modal dan ‘harta’ bersedekah.





Firman Allah SWT:






“Orang yang menafkahkan hartanya


di malam dan siang hari secara tersembunyi


dan terang-terangan, maka mereka


mendapat pahala di sisi Tuhannya.


Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka


dan (pula) mereka bersedih hati.”



(Surah al-Baqarah, ayat 274)






Konsep kerja







Jika konsep sedekah diterjemahkan dalam bekerja, beberapa parameter atau bentuk bersedekah ialah melakukan sesuatu kerja dengan inisiatif sendiri tanpa arahan tertakluk kepada bidang kuasa dan peraturan.







Menyiapkan kerja lebih awal atau dalam tempoh dikehendaki tanpa perlu diberikan peringatan berulang, bersedia memperuntukkan lebih masa untuk kerja, melayani pelanggan atau melayan panggilan telefon walaupun di luar waktu pejabat.







Usaha ini walaupun kemungkinan sukar untuk dipertimbangkan pada bulan lain tetapi pada Ramadan yang mana Allah SWT menjanjikan ganjaran berlipat kali ganda, menjadikan kita lebih ringan tulang.







Usaha ini menjadikan Ramadan madrasah untuk melahirkan insan lebih baik bukan sekadar pada ibadat khususnya seperti solat, zikir dan tadarus malahan juga pada kerjaya.







Kefahaman yang betul mengenai ibadat dan sedekah kerja ini bukan sekadar bermanfaat untuk organisasi tetapi juga setiap kita supaya semangat Ramadan diserapkan dalam segenap keadaan, sekali gus membentuk kekuatan sahsiah.







Menurut pandangan Pendeta Zaaba, antara kelemahan masyarakat ialah apabila lemahnya sahsiah yang antaranya terlalu bergantung kepada orang lain, kurang hemah dan lemah cita-cita.







Penulis Prof Madya


di Jabatan Siasah Syariyyah,


Akademi Pengajian Islam,

Universiti Malaya (UM)























Teruskan membaca..

Teladani puasa Rasulullah








Teladani puasa Rasulullah






AL-QURAN sebagai kalamullah telah mengabadikan Rasulullah SAW sebagai utusan Allah dan penutup sekelian nabi. Sebagai nabi terakhir, baginda merupakan uswatun hasanah dan menjadi contoh teladan yang baik kepada umatnya.





Dalam ibadat puasa Ramadan, Rasulullah telah menunjukkan teladan yang terbaik untuk diikuti oleh umatnya. Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud:





"Apabila seorang daripada kamu sekelian berpuasa,

maka janganlah ia berkata kotor dan berteriak.

Bila dicela orang lain atau dimusuhi, maka katakanlah,

sesungguhnya aku ini sedang berpuasa. "





Sebagaimana penjelasan baginda Rasulullah sendiri bahawa orang yang berpuasa itu pada hari kiamat nanti bau mulutnya akan lebih harum daripada bau kasturi.





Sama-sama kita renungi beberapa tatacara dan adab puasa yang telah diamalkan oleh baginda sebagai teladan dan iktibar untuk diikuti oleh semua umatnya.





Dalam penyempurnaan ibadat puasa Ramadan, beberapa langkah yang telah diambil oleh baginda antaranya ialah;





Memantapkan niat



Nabi SAW bersabda yang bermaksud:




"Sesiapa yang tidak menetapkan

akan berpuasa sebelum fajar,

maka tidak sah puasanya."

(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)






Melaksanakan makan sahur





Anas bin Malik r.a. berkata telah bersabda Rasululla SAW yang bermaksud:




" Sahurlah kamu sekelian,

sesungguhnya dalam sahur itu ada keberkatannya. "

(Riwayat Muslim).






Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani yang dimaksudkan dengan berkat itu ialah ganjaran pahala daripada Allah. Sahur akan menguatkan lagi semangat dalam berpuasa serta dapat membantu seseorang itu untuk melakukan apa juga bentuk ibadat sepanjang ibadat puasa dilaksanakan.






lmsak Rasulullah





Rasulullah SAW bersabda:





"Apabila salah seorang daripada kamu

mendengar azan Subuh padahal

bekas minuman masih di tangannya,

maka janganlah ia meletakkannya

sehingga dia menyelesaikan meminumnya. "

(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).






Keadaan yang digambarkan oleh hadis tersebut ialah kepada seseorang yang terlewat ketika bangun untuk makan sahur.






Mempercepat berbuka





Sahl bin Saad berkata sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda:





" Telah berfirman Allah Taala

"hamba-hamba-Ku yang lebih aku cintai ialah

mereka yang segera berbuka puasa bila tiba masanya"

(Riwayat Tirmizi dan Abu Hurairah).






Memperbanyak membaca al-Quran





Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:





" Orang-orang yang berkumpul di masjid

dan membaca al-Quran, maka kepada mereka

Allah akan menurunkan kelemahan

batin dan limpahan rahmat. "

(Riwayat Muslim).





Barang siapa yang membaca satu huruf al-Quran, maka pahala untuknya 10 kali ganda. Namun membaca dalam konteks hadis di atas adalah ketenangan dan limpahan rahmat akan lebih mudah dicapai bila tadarus diertikan dengan mempelajari, menelaah dan menikmati al-Quran.






Memperbanyak sedekah





Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan. Bersedekah bukan hanya memberi wang tetapi termasuklah mengajak orang lain berbuka puasa di rumah kita terutama kepada golongan fakir miskin.






Orang yang berpuasa wajib meninggalkan akhlak yang buruk. Segala tingkahlaku mestilah mencerminkan budi yang luhur dengan menjauhi kelakuan tidak sopan seperti mengumpat, mengeji dan sebagainya sehingga membawa kepada Allah tidak menerima amalan puasanya itu.






Rugi rasanya jika kita membiarkan Ramadan yang sedang kita tempuhi ini berlalu begitu saja sedangkan ganjaran yang sedang menanti adalah terlalu banyak. Lakukan sesuatu yang terbaik di sisi Allah kerana pada setiap malan bulan Ramadan ada suara yang memanggil,






"Wahai orang yang melakukan kebajikan

terus tingkatkan apa yang kamu lakukan itu.

Wahai orang yang lalai,

hentikanlah segera akan kelalaian

yang sedang engkau lakukan.

Mudah-mudahan Allah

akan menunjukkan kita semua jalan yang lurus,

menghapuskan dosa dan memasukkan kita

dalam golongan manusia yang bebas dari api neraka."







WAN MARZUKI WAN RAMLI ialah

Guru Pendidikan Islam

berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam

di SK Jerek, Gua Musang, Kelantan.



Sumber






















Teruskan membaca..

Tuesday, August 7, 2012

Kepulangan Chong Wei Disambut Meriah








Kepulangan Chong Wei

Disambut Meriah


Chong Wei menunjukkan pingat perak yang dimenanginya kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim. Foto AZHAR MAHFOF/The Star




SEPANG: Ratusan peminat menyambut kepulangan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi Selasa, sambil mengibarkan Jalur Gemilang.




Kira-kira 400 peminat berkumpul di lapangan terbang itu seawal pukul 4.30 pagi, menunggu ketibaan Chong Wei untuk menunjukkan penghargaan mereka di atas persembahan sengit yang dipamerkannya pada aksi final, Ahad lalu.




Antara yang hadir adalah delegasi dari Kementerian Belia dan Sukan serta para pelajar dari Sekolah Sukan Bukit Jalil yang menyifatkan Chong Wei sebagai idola mereka.




Chong Wei mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia di atas segala sokongan yang diberikan.




Namun, beliau kecewa kerana gagal membawa pulang pingat emas untuk negara.




Chong Wei berkata beliau berhasrat untuk beraksi selama dua tahun lagi dan selepas itu barulah melihat berapa lama beliau boleh bermain.




Beliau turut menyuarakan hasrat untuk beraksi pada Sukan Komanwel dan Liga Badminton China.




Mengulas mengenai perkahwinannya, Chong Wei sekadar ketawa dan berkata, biarlah bercerita mengenai badminton terlebih dahulu.




Pemain badminton itu tiba pada pukul 8.30 pagi dan disambut dengan sorakan dan nyanyian 'Inilah Barisan Kita'.




Para penyokong turut mengibarkan Jalur Gemilang dan poster yang tertera perkataan 'Hero Negara'.





Sumber










Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...