Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, April 22, 2012

Guru perlu fasih BM, BI





Guru perlu fasih BM, BI

Kementerian Pelajaran disaran supaya memperketatkan pengambilan pelajar ke institut pendidikan guru (IPG) demi meningkatkan profesion keguruan dengan melahirkan guru yang fasih dalam bahasa Melayu (BM) dan bahasa Inggeris (BI).



Bagi menjayakan saranan ini, pelajar perlu mendapat kepujian dalam kedua-dua subjek di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bukannya sekadar mendapat kredit untuk BM atau lulus bagi BI.




Hal ini penting untuk merealisasikan dasar Memartabatkan BM Memperkasakan BI (MBMMBI) di samping untuk mengatasi masalah sekiranya guru, atas pelbagai sebab, 'terpaksa' mengajar salah satu subjek bahasa berkenaan apabila ditempatkan di sekolah.




Paling tidak, dengan asas yang kukuh dalam kedua-dua subjek ini, guru terbabit tidak akan berdepan masalah besar untuk mengajar mata pelajaran bahasa walaupun mengambil opsyen subjek lain ketika di IPG.




Malah dengan menguasai serta memiliki kemahiran berkomunikasi dalam kedua-dua bahasa secara fasih akan melonjakkan martabat guru dan dipandang tinggi terutama ketika bermesyuarat atau membuat pembentangan di luar negara.




Pada masa yang sama, guru yang hebat dalam kedua-dua subjek ini akan turut melahirkan murid yang cemerlang serta mempunyai kemahiran berbahasa yang tinggi.




Bagaimanapun, untuk meningkatkan kemahiran berbahasa di kalangan murid, sukatan pelajaran subjek BM serta BI perlu disemak semula untuk membolehkan guru berinovatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).





Sukatan pelajaran sedia ada agak padat dan perlu dihabiskan dalam tempoh masa ditetapkan menjadi faktor mengekang guru daripada menerapkan kaedah P&P yang menyeronokkan seperti melalui pendekatan bercerita atau secara drama.






Walhal pengajaran subjek bahasa memerlukan banyak latihan yang melibatkan pengungkapan kata, pengucapan awam dan komunikasi berkesan.





Akibat hambatan sukatan pelajaran juga menyebabkan pusat sumber sekolah yang dipenuhi banyak bahan bacaan tambahan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Ia turut menjejaskan usaha membangun modal insan yang dapat menguasai kedua-dua bahasa dengan baik.





Sungguhpun begitu, dalam memperkasa BI, Kementerian Pelajaran telah mengambil beberapa langkah proaktif seperti menempatkan penutur jati di sekolah terpilih, mengambil guru bersara mengajar semula secara kontrak dan latihan khas kepada guru yang masih dalam perkhidmatan.









Sumber


























Teruskan membaca..

UTM tawar 100 guru ikuti PhD







UTM tawar 100 guru ikuti PhD




JOHOR BAHRU 12 April - Golongan guru yang berminat melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) namun tiada masa berbuat demikian boleh merebut peluang yang ditawarkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tanpa perlu ke universiti itu.





Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang berkata, universiti itu membuka peluang tersebut kepada kira-kira 100 guru terpilih dengan menjalankan penyelidikan di sekolah masing-masing menggunakan peruntukan keseluruhan RM80 juta bermula September ini.





Tambah beliau, pihaknya juga akan memberikan peruntukan RM50,000 kepada setiap sekolah yang gurunya terpilih supaya dapat menaik taraf makmal bagi menghasilkan penyelidikan mereka.





Menurutnya, menerusi program itu pensyarah atau penyelia yang terlibat akan ke sekolah bagi melihat perkembangan penyelidikan yang dijalankan oleh guru-guru.





"Pada masa ini kita telah memilih beberapa sekolah di sekitar Johor, Negeri Sembilan, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur bagi menjayakan program ini dan perincian mengenainya akan diumumkan tidak lama lagi," katanya di sini hari ini.





Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk Zoal Azha Yusof bagi membolehkan UTM menjalankan kerjasama dalam pelbagai bidang dengan kementerian tersebut.





Menurut Zaini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran turut menyambut baik usaha itu kerana ia mampu memberi peluang kepada guru-guru melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.





Mengenai MoU itu, beliau berkata, kerjasama tersebut bertujuan berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan pengurusan sumber asli dan alam sekitar.









Sumber













Teruskan membaca..

Solat didik hati manusia









Solat

didik hati manusia




JIKA difahami dan dihayati, solat sebenarnya

amalan yang cukup hebat. Solat adalah modul

lengkap bagi mendidik hati dan jiwa manusia.



Pelbagai kekuatan terhasil jika seseorang itu

benar-benar menjiwai tuntutan solat.

Solat juga menjadi penghubung antara

hamba dengan Tuhannya.



Setiap ayat dalam surah al-Fatihah

yang dibaca adalah bicara dengan Allah.


Perintah solat bukan untuk kepentingan

Allah Yang Maha Agung yang sudah

memiliki segala-galanya.



Solat hanya untuk kepentingan hamba-Nya.

Ia sebenarnya melatih seseorang hidup tertib

sebab gerakan solat sangat tertib dimulai

dengar takbir dan diakhiri dengan salam.



Tujuan solat sebenarnya untuk mengingati Allah.

Dalam al-Quran Allah berfirman maksudnya:




“Dirikanlah solat untuk mengingati Aku.”






Dalam ayat lain Allah berfirman yang bermaksud:




“Hanya dengan mengingati Allah


hati akan menjadi tenang.”






Bayangkan seharian kita fikir mengenai dunia,

fikir mengenai kerja, makan minum,

kawan dan keluarga.






Kalau semua itu kita dapat bahagikan masa,

takkan kita tidak boleh memberi masa

untuk mengingati Allah.

Semakin baik kualiti dan mutu solat seseorang,

semakin kukuhlah benteng kemampuan untuk

memelihara diri mereka daripada perbuatan maksiat.





Beberapa contoh solat

dapat membina sifat positif manusia

antaranya bersikap rajin.

Untuk menjadi bangsa yang kuat,

kita perlu sentiasa rajin.

Dalam solat kita memuja dan memuji Allah.





Kita membuat janji dan ikrar yang semua solat,

ibadat, hidup dan mati kita hanya untuk Allah.

Perbuatan dalam solat membuatkan

kita cergas dan aktif,

rajin dan sentiasa bergerak.





Bermakna solat itu dapat membunuh sifat malas.

Orang yang kuat hubungannya dengan Allah

mesti banyak berhubung dengan manusia.

Jika betul takut dan cinta kepada Allah,

maka akan bertambah rasa cinta kepada manusia.





Solat ibarat ‘tiang’ dalam Islam.

Malah ketika bertempur dalam peperangan sekalipun

tidak boleh tinggal solat.

Selagi hayat dikandung badan, selagi itu mesti solat.





Solat perlu dilakukan dengan berdiri,

jika tidak mampu berdiri, boleh duduk

dan jika tidak mampu juga boleh dilakukan

dengan cara baring.




Sekiranya masih tiada daya juga

dengan isyarat mata dan masih tidak boleh juga,

lakukan dengan isyarat hati.





Solat bukan saja menghapuskan dosa

seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:




“Solat menghapuskan dosa

antara satu solat dengan satu solat

yang lain kecuali dosa besar.”





Imam Abu Aaliayah berkata:




“Solat mempunyai tiga keistimewaan

dan jika tidak ada ketiga-tiga ini maka solat itu

tidak sempurna dan tidak boleh mencegah dosa.

Keistimewaan itu adalah ikhlas, khusyuk dan zikrullah."





Ikhlas membuatkan seseorang melakukan perkara baik,

khusyuk akan mencegah perbuatan jahat

manakala zikrullah (ingat Allah) pula mencegah mungkar

dan menanam makruf (kebaikan).





Sesetengah ulama dulu apabila tiba

saat menghembuskan nafas terakhir,

mereka masih sempat meminta pertolongan orang

mengambil wuduk untuknya supaya

dapat mengerjakan solat.





Malah, ada yang minta diusung ke masjid

kerana hendak mati di tempat solat.


Justeru, janganlah kita mengabaikan solat

dan jadikanlah ia rutin hidup kita.

Setiap kali solat,

anggaplah mungkin itu

adalah solat yang terakhir.







Sumber












Teruskan membaca..

Friday, April 20, 2012

EMSE bantu tingkat kualiti pengajaran Bahasa Inggeris



EMSE bantu tingkat kualiti

pengajaran Bahasa Inggeris

SERAMAI 60 guru Bahasa Inggeris sekolah rendah dari 30 sekolah di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan menyertai sesi latihan selama empat hari.
SERAMAI 60 guru Bahasa Inggeris
sekolah rendah dari 30 sekolah di Kuala Lumpur,
Selangor dan Negeri Sembilan menyertai sesi latihan
selama empat hari.






EMSE modul pengajaran inovatif untuk pelajar bandar dan pedalaman







DALAM usaha meningkatkan kualiti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), British Council dan HSBC Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelajaran melancarkan laman web 'Engaging Malaysian Schools in English' (EMSE).





EMSE menjadi sumber baru pengajaran dalam talian yang dibangunkan Pusat Latihan Bahasa Inggeris (ELTC) British Council dan Bahagian Pembangunan Kurikulum kementerian.







Majlis pelancarannya dirasmikan Timbalan Pengarah, Bahagian Pembangunan Kurikulum (CDD), Dr Mohamad Nor Mohamad Taib.








Pada hari berkenaan juga menyaksikan 60 guru Bahasa Inggeris sekolah rendah dari 30 sekolah di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan dipilih menyertai sesi latihan selama empat hari.







Mohamad Nor berkata, EMSE adalah inisiatif terbaik meningkatkan kemahiran guru menyediakan kemudahan pembelajaran secara berkesan.









Kemudahan itu katanya, diharap dapat meningkatkan kualiti pendidikan sekali gus meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan mereka.
Beliau berkata, kemahiran itu penting bagi membolehkan generasi muda lebih berdaya saing dalam berhadapan dunia pasaran antarabangsa yang semakin mencabar.







“Kementerian berterima kasih kepada British Council dan HSBC atas usaha meningkatkan kualiti pengajaran kepada generasi muda,” katanya.







Sementara itu, Pengurus Projek, Heather Smeaton, berkata laman web EMSE ini boleh menjadi sumber utama bagi guru sekolah rendah dengan menyediakan bahan dan idea pengajaran untuk disampaikan kepada murid.







Beliau berkata, laman web yang menjadi sumber rujukan secara konsisten, setiap idea pengajaran membantu pembangunan profesional mereka.







Bahan latihan EMSE katanya, disediakan dalam tiga versi iaitu, suite bahan penuh yang disediakan untuk guru dengan sambungan Internet, versi himpunan tanpa talian dengan kertas kerja bercetak dan bahan dalam bentuk CD-ROM.









“Kemudahan ini sesuai bagi sekolah yang memiliki makmal komputer tanpa akses Internet dan versi bahan bercetak bagi idea pengajaran sekolah tanpa komputer.







“Ketiga-tiga versi ini menjadi sumber pengajaran semua guru Bahasa Inggeris di bandar dan luar bandar tanpa mengira tahap pengalaman,” katanya lagi.









Heather berkata, pihaknya mengharapkan kemudahan itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dalam usaha melahirkan generasi muda yang cemerlang.









Teruskan membaca..

Thursday, April 19, 2012

Ibu bapa boleh jadi pakar-pakar motivasi




Ibu bapa

boleh jadi pakar-pakar motivasi

JAPLIN (tengah) bersama murid, guru dan ibu bapa yang menyertai program Kem Motivasi SK Labuan.
JAPLIN (tengah) bersama murid, guru dan ibu bapa
yang menyertai program Kem Motivasi SK Labuan.





Anak perlukan rangsangan untuk cemerlang dalam bidang akademik





MURID yang membesar dalam belaian kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa berupaya menumpukan perhatian kepada kecemerlangan akademik kerana mereka berasa selesa berada di rumah.






Ini berbeza dengan rakan sebaya mereka yang kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa serta mudah terjebak dengan kegiatan tidak bermanfaat seperti ponteng, gangsterisme, pengedaran dan penagihan dadah, sekali gus gagal dalam peperiksaan.
Galakan serta dorongan keluarga adalah faktor penting dalam melahirkan pelajar yang cemerlang. Elakkan terlalu bergantung kepada pihak sekolah dan guru untuk melahirkan pelajar cemerlang kerana kecemerlangan bermula di rumah. - Datuk Japlin Akim, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah








Sehubungan itu, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Japlin Akim mahu ibu bapa sentiasa mendampingi anak mereka untuk memberi motivasi dan menyelesaikan masalah dihadapi golongan pewaris kepemimpinan negara itu.









Beliau berkata, ibu bapa juga hendaklah menjadi ‘pakar motivasi’ kepada anak masing-masing dengan menggunakan pendekatan tersendiri untuk memberi galakan dan meningkatkan motivasi mereka mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.









Katanya, ibu bapa atau penjaga adalah orang yang paling rapat dengan anak dan adalah wajar mereka memberi rangsangan kepada golongan terbabit dan pada masa sama mengelak daripada memberi tekanan.









“Galakan serta dorongan keluarga adalah faktor penting dalam melahirkan pelajar yang cemerlang. Elakkan terlalu bergantung kepada pihak sekolah dan guru untuk melahirkan pelajar cemerlang kerana kecemerlangan bermula di rumah,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan Kem Motivasi Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Labuan di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sinar Jaya, Kota Belud, Sabah, baru-baru ini.








Dalam pada itu, Japlin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan berkata, masyarakat yang membudayakan ilmu mampu menghasilkan pelbagai teknologi dan inovasi canggih yang mampu meletakkan negara sebagai sebuah negara berteknologi tinggi.









Katanya, untuk meletakkan negara sebaris dengan negara maju, ia memerlukan sebuah masyarakat yang berilmu kerana aspek itu mampu melahirkan individu yang pakar dalam pelbagai teknologi canggih meliputi kejuruteraan, telekomunikasi dan pembinaan.









Beliau berkata, pembudayaan ilmu, pembangunan inovasi dan teknologi serta memperkukuh ekonomi adalah komponen penting untuk mencapai Wawasan 2020 yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju.









“Penguasaan ilmu juga dapat membantu menyedia dan membentuk kumpulan bijak pandai yang berjiwa besar, hebat dan berkarisma untuk menjadi pemimpin masa depan negara,” katanya.










Teruskan membaca..

Kembali berkhidmat untuk negara



Pelajar tajaan perlu kembali

berkhidmat untuk negara:




TPM


KUALA LUMPUR: Pelajar cemerlang tajaan kerajaan yang melanjutkan pelajaran di luar negara perlu menyerlahkan potensi diri dan kembali berkhidmat untuk negara.




Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata potensi seseorang individu hanya akan dapat diserlahkan apabila mereka diberi peluang.




Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dalam mengharungi persekitaran global yang semakin kompetitif dan mencabar tidak mustahil generasi pelajar hari ini akan mencapai kejayaan yang tidak mampu dicapai ketika ini.





"Sehubungan itu, saya ingin berpesan kepada pelajar sekalian selaku generasi muda bahawa masa depan negara kita terletak di bahu anda semua.





"Oleh itu, gunakanlah peluang ini untuk belajar bersungguh-sungguh dan apabila tamat pengajian nanti, curahkanlah khidmat bakti anda kepada negara," katanya.




Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian surat tawaran Biasiswa Nasional kepada 50 pelajar yang mendapat A+ bagi semua mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 di Institut Tadbiran Awam Negara di sini, hari ini. - BERNAMA





Teruskan membaca..

Sunday, April 15, 2012

Damsyik kota Ashabul Kahfi





























Damsyik kota Ashabul Kahfi


KOTA Damsyik di Syria sudah berusia lebih 11,000 tahun, angka yang membolehkannya bergelar sebagai bandar paling tua di dunia. Damsyik merupakan bandar terbaharu di Asia Barat yang menyaksikan kebangkitan rakyat menentang status quo pemerintah.




Sebelum ini, gelombang rakyat telah berjaya menjatuhkan kepimpinan Presiden Zin Al-Abidin di Tunisia, Presiden Hosni Mubarak di Mesir dan Muammar Gaddafi di Libya.




Kini giliran Presiden Bashar Al-Assad merenung nasibnya sebagai pemerintah negara bersejarah itu.




Di Malaysia, umat Islam negara ini mengenali Damsyik sebagai pusat perdagangan yang telah membawa Nabi Muhammad SAW berkelana ke sana pada usia 12 tahun lagi.




Pada masa itu, Syria dikenali sebagai negeri Syams dalam kalangan orang Arab. Jarak antara tempat tinggal Rasulullah di Mekah dan Damsyik adalah kira-kira 2,500 kilometer.




Pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, berkata Syria yang mempunyai penduduk seramai 20 juta orang sinonim dengan perkembangan agama Islam.




"Basra, sebuah pekan lama di selatan Damsyik merupakan lokasi Rasulullah berdagang bersama bapa saudara baginda, Abu Talib.




"Pada waktu itu, baginda masih kecil iaitu hanya berusia 12 tahun," cerita Ramlah. Semasa di Basra seorang ahli kitab bernama Buhaira telah mengenal pasti tanda kenabian Rasulullah seperti yang terdapat pada tubuh baginda.




Empat mimbar


MASJID UMAYYAH merupakan tempat yang wajib dikunjungi pelancong yang datang ke Damsyik.




Berbicara mengenai Damsyik, Ramlah memberitahu, bandar itu menempatkan makam keluarga dan sahabat Nabi Muhammad. Ia juga menjadi lokasi tumpuan era Perang Salib di samping tempat kemunculan pemimpin Islam yang terkenal.




"Makam pahlawan Islam, Salahuddin Al-Ayubi yang membebaskan Baitulmuqaddis semasa Perang Salib terletak di Damsyik," katanya sambil menambah, sejarah Nabi Yahya dan Nabi Sulaiman berlaku di Syria.




Bandar Damsyik juga sangat dekat dengan Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Daud Che Ngah. Ujarnya, Souq al-Hamidiyya atau lebih dikenali Pasar Hamidiyya menjadi lokasi pilihan bagi mereka yang gemar membeli-belah.




"Pasar tertutup sepanjang 400 meter itu merupakan pasar terbesar di Syria. Barangan yang dijual sangat murah, daripada barangan cenderahati, pakaian, barangan dapur hinggalah makanan. Ramai juga yang datang ke Pasar Hamidiyya untuk mencuci mata," kata Daud sambil ketawa.




Terletak bersebelahan pasar tersebut ialah Masjid Umayyah iaitu masjid tertua dan terbesar di kota Damsyik.




"Masjid ini mempunyai kronologi sejarah yang panjang. Pada awal dibina, ia merupakan sebuah kuil tetapi dijadikan gereja sewaktu pemerintahan Empayar Rom. Sewaktu kerajaan Uthmaniah berkuasa, gereja itu diubahsuai menjadi masjid.


BUAH delima mudah ditemui di pasar-pasar di seluruh Syria.


"Apa yang uniknya, di dalam masjid itu terdapat empat mimbar yang menggambarkan empat mazhab yang diamalkan di Damsyik iaitu Syafie, Hambali, Maliki dan Hanafi," katanya.




Di tengah-tengah dewan masjid itu terdapat makam Nabi Yahya, manakala di luar masjid berhampiran dataran ditempatkan makam Husin Bin Ali, cucu kesayangan Nabi Muhammad. Husin adalah anak hasil perkongsian hidup antara Ali dan Fatimah, anak perempuan Rasulullah.




Gua




Terletak bersebelahan dengan masjid itu pula ialah makam seorang panglima tentera Islam yang tersohor pada era Perang Salib, Salahuddin Al-Ayubi.




Salahuddin telah membebaskan Baitulmuqaddis dan Masjid Al-Aqsa daripada genggaman tentera Salib pada tahun 1187.




Tentera Islam kemudian membersihkan masjid yang telah ditukarkan kepada kandang kuda oleh tentera Salib dan mengembalikan maruah agama suci itu. Pada tarikh itu jugalah laungan azan kembali berkumandang dari menara Masjid Al-Aqsa.




Berdekatan Masjid Umayyah tadi terdapat sebuah tapak perkuburan, Bab As Saghir. Di situ bersemadinya beberapa insan yang rapat dengan Rasulullah termasuk isteri baginda, Ummu Habibah dan Ummu Salamah selain sahabat baginda, Bilal Bin Rabah.


SYRIA memiliki banyak bandar lama yang berusia ribuan tahun.



Di situ juga terdapat makam Muawiyyah Abu Sufian, Ibnu Makhtum, Abu Darda dan cucu Ali Abi Talib, iaitu Zainab dan Rugaiyah yang sering menjadi tumpuan kaum Syiah. Tokoh terkenal lain ialah Khalifah Umayyah, Abdul Malik Marwan dan anak beliau, Walid Abdul Malik.




Daud menambah, kisah Ashabul Kahfi seperti yang diceritakan dalam surah al-Kahfi didakwa berlaku di sebuah gua di Damsyik. Ia mengisahkan beberapa orang pemuda yang tertidur di dalam sebuah gua dan cuma bangun 309 tahun kemudian.




"Makam Habil iaitu anak Nabi Adam AS yang dibunuh oleh saudaranya Qabil yang merupakan peristiwa pembunuhan pertama di dunia juga dikatakan terletak di pergunungan Qalamun yang terletak 45 kilometer dari Utara Kota Damsyik ," ujarnya.




Daud yang pernah melawat Syria pada tahun 2007 dan 2009 berkata, beliau tidak dapat melupakan pengalaman melihat banyak kereta nasional negara, Proton Iswara bergerak di jalan raya di Damsyik.




"Mereka mengatakan kereta buatan Malaysia tahan lama dan berkuasa tinggi," katanya.




Ceritanya lagi, ladang zaitun yang luas merupakan pemandangan biasa di Damsyik.




"Cuma yang peliknya, walaupun negara ini dikelilingi oleh laut, penduduknya jarang makan ikan. Mereka lebih suka makanan berasaskan ayam, kambing dan lembu," ujarnya.





Sumber





























Teruskan membaca..

Iman, takwa jadi cerminan kehidupan sebenar Muslim



Iman, takwa

jadi cerminan kehidupan

sebenar Muslim




KITAB Musnad Imam Ahmad ada menukilkan kisah sahabat berbicara mengenai seseorang yang mereka kenal sangat salih dan rajin beribadah di hadapan Rasulullah SAW. Ketika orang dibicarakan itu datang, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:




“Kalian semua membicarakan

seorang yang nampak

sentuhan syaitan pada wajahnya.

Sesungguhnya orang itu

dan kelompoknya membaca al-Quran,

tetapi bacaan mereka hanya sampai pada kerongkong.

Mereka telah keluar daripada agama mereka

sebagaimana anak panah yang terlepas

daripada busurnya.”

(Hadis riwayat Ahmad)







Hadis ini secara jelas mengisyaratkan seseorang yang kuat agamanya dilihat pada akhlaknya. Antara tujuan pensyariatan ibadat kepada umat Islam adalah membentuk ketinggian peribadi dan kemuliaan akhlaknya.






Ucapan ‘Allahuakbar’ yang diulang dalam setiap gerakan rukun solat dan haji bertujuan mengingatkan kita hanya Allah Yang Maha Besar. Semakin kerap kita melaksanakan ibadat solat atau haji, maka semakin terasa kita adalah makhluk yang kerdil, hina, dan daif.







Natijahnya, kita akan semakin dekat kepada Allah SWT dan akhlak bertambah mulia. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:






“Sesiapa

yang solatnya tidak mencegah

daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar,

maka solatnya hanya menjauhkannya

daripada Allah SWT.”

(Hadis riwayat Tabrani)






Begitu juga ibadat puasa bertujuan melatih seseorang supaya berupaya mengendalikan hawa nafsunya, menundukkannya untuk melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi semua larangan-Nya.








Ketika Rasulullah SAW melihat seseorang mencaci-maki hamba sahayanya, Baginda SAW berkata:





" Makanlah kamu.

Dia menjawab:

Aku sedang berpuasa.

Ujar Rasulullah SAW dengan sabdanya

yang bermaksud:

“Bagaimana kamu berpuasa

sedangkan kamu telah mencaci-maki

hamba sahayamu.”







Pada ketika lain, ketika disebutkan kepada Rasulullah SAW bahawa ada seseorang yang menghabiskan waktu malamnya dengan beribadah, manakala waktu siangnya pula dengan berpuasa, akan tetapi dia suka menyakiti hati jiran tetangganya, maka Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:






“Tempatnya dalam api neraka.”

(Hadis riwayat Tirmizi)






Dalam konteks ini, hakikat beragama menurut perspektif Islam bukanlah dengan berlapar, berpuasa sepanjang masa, beriktikaf di masjid, berjubah dan berserban, menjauhkan diri daripada aktiviti sosial dengan bertapa dan sebagainya yang menjadi lambang lahiriah kepada orang beragama.






Sebaliknya hakikat beragama yang sebenarnya ialah seseorang Muslim sewajibnya memiliki tubuh badan yang sihat lagi kuat untuk menggalas tugas sebagai hamba Allah dan khalifah Allah di muka bumi ini.






Ibnu Taimiyyah pernah menegaskan bahawa hakikat beragama itu sebenarnya berdiri atas dua landasan utama iaitu landasan iman yang membawa maksud kepercayaan bahawa tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah. Juga percaya kepada Malaikat-Nya, Kitab-Nya, para Rasul-Nya, hari akhirat dan kepada takdir-Nya.






Landasan kedua ialah landasan Islam didahului dengan kepercayaan kepada Allah dan Muhammad SAW sebagai utusan-Nya yang tersimpul dalam dua kalimah syahadah. Kemudian keyakinan itu diperkukuhkan dengan ibadat solat, zakat, puasa dan haji ke Baitullah.






Hakikat beragama itu ialah gandingan kemas antara iman dan Islam sehingga menjadi tunjang utama yang akan mendasari setiap sudut kehidupan seseorang Muslim. Dengan lain perkataan, iman dan Islam tidak boleh dipisahkan sama sekali.







Oleh itu, seorang yang beriman adalah seorang Muslim, begitu juga sebaliknya. Seandainya ada seseorang yang mengaku dirinya sebagai Muslim dengan melakukan solat, zakat, puasa dan sebagainya, tetapi pada masa sama dia masih percayakan perkara khurafat, mengamalkan syirik, melakukan jenayah sosial, dia sebenarnya bukanlah seorang Muslim yang sempurna.








Jelas kepada kita bahawa hakikat beragama menuntut kita menjadikan agama sebagai teras kehidupan semasa.






Ini bermakna kita tidak sewajarnya meminggirkan terus agama daripada landasan hidup dalam kesibukan mengejar kemewahan dunia dan bergelut dengan ledakan globalisasi.










Teruskan membaca..

Thursday, April 12, 2012

KOMUNIKASI-medan perantara penyebaran maklumat.





Adab berkomunikasi dalam organisasi




KOMUNIKASI adalah asas

dalam kehidupan seseorang manusia.

Dalam sesebuah organisasi, komunikasi ibarat nadi

yang menggerakkan fungsi pengurusan dan hubungan kakitangan.

Komunikasi menjadi medan perantara penyebaran maklumat

daripada seorang manusia kepada manusia yang lain.





Justeru, sistem pengurusan organisasi

atau masyarakat akan tergendala tanpa komunikasi.

Semakin berkesan sistem komunikasi yang diamalkan,

maka semakin cekaplah pengurusan dan pentadbiran

yang sesebuah organisasi tersebut.





Sama ada komunikasi itu

melalui saluran rasmi atau tidak rasmi,

sistemnya perlu melalui kaedah betul

dengan etika yang baik untuk memastikan keberkesanannya.





Islam sebagai cara hidup

yang komprehensif telah menyediakan alternatif

kepada sistem komunikasi biasa yang sering menimbulkan masalah.





Islam bukan sekadar menyediakan etika,

bahkan Islam juga menyediakan teknik-teknik komunikasi

yang berkesan untuk menjamin pelaksanaan

pengurusan dan pentadbiran yang efektif

melalui teladan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW.





Proses komunikasi berlaku

pada bila-bila masa dan tidak dapat dielakkan

oleh mana-mana individu.

Manusia akan sentiasa berkomunikasi

dalam kehidupan sehariannya,

sama ada sesama manusia bahkan

dengan Penciptanya.





Adab, prinsip dan etika berkomunikasi

dalam Islam bukanlah untuk mengehadkan

kebebasan manusia, tetapi menjamin

keberkesanan organisasi. Sekali gus

meningkatkan talian persaudaraan berdasarkan cara

yang telah dianjurkan dalam Islam

mengikut prinsip al-Quran dan al-Sunnah.





Justeru, adab berkomunikasi

dalam Islam amat dititikberatkan

dalam membangunkan generasi umat

yang berilmu dan mempunyai nilai-nilai

yang telah digariskan dalam Islam

sebagai panduan hidup yang lebih

cemerlang dan gemilang di masa akan datang.





Sumber



















Teruskan membaca..

Tahap-Tahap Kognitif BLOOM






Untuk membuat penilaian dan pengukuran,
perlu dirujuk kepada objektif pengajaran.
Taksonomi Bloom memberi sumbangan
untuk mengukur objektif pengajaran dan pembelajaran.





Taksonomi ialah
klasifikasi berhirarki dari sesuatu,
atau prinsip yang mendasari klasifikasi.







Taksonomi Bloom
merujuk pada taksonomi
yang dibuat untuk tujuan
pendidikan.
Taksonomi ini pertama kali disusun
oleh
Benjamin S. Bloom
pada tahun
1956 (wikipedia).
Peringkat Teksonomi Bloom ialah:





  1. Pengetahuan-nyatakan, namakan, terangkan, labelkan


  1. Kefahaman-pilih, terangkan, tulis semula


  1. Penggunaan-selesaikan, ramalkan, cari, kesilapan, bina alat


  1. Analisis-bezakan, pastikan, pilih


  1. Sintesis-bina, hasilkan, susun, kembangkan


  1. Penilaian-pilih kritik, berikan alasan, buktikan


Peringkat tertinggi ialah
penilaian yang bermula
dengan peringkat pengetahuan.







Taksonomi Bloom


  • Taksonomi ini pertama kali disusun oleh Benjamin S. Bloom pada tahun 1956.
  • Taksonomi Bloom menitikberatkan aspek kognitif atau pengetahuan.
  • Ia bercorak hierarki (tahap rendah ke tahap tinggi). Guru akan membuat soalan pelbagai aras untuk menguji tahap berfikir pelajar.
  • Menekankan aspek kognitif (pengetahuan) – apa yang dicari adalah seperti fakta, teori, dan hukum.
  • Tujuan : membina kebolehan, pemikiran, dan pemahaman (contoh : mencari isi penting daripada petikan yang dibaca)
    • Terdapat enam peringkat (tidak semestinya menggunakan kesemua peringkat ini dalam soalan – contoh : pada kertas soalan tahun 1 tidak terdapat tahap sintesis kerana tahap ini merupakan tahap yang tinggi dan tidak sesuai dengan umur murid).


    • 1. Pengetahuan


    • 2. Kefahaman


    • 3. Aplikasi


    • 4. Analisis


    • 5. Sintesis


    • 6. Penilaian




Tahap-Tahap Kognitif BLOOM



Kebanyakan ujian di dalam bilik darjah
bertujuan mengetahui tahap kognitif pelajar.
Menurut
Benjamin S. Bloom,
aras kognitif boleh dibahagikan kepada 6 tahap, iaitu:


Pengetahuan

Kefahaman

Aplikasi

Analisis

Sintesis

Penilaian





Pengetahuan ( selalunya mengunakan kata tanya, contoh : bilakah, dimanakah, mengapakah, dan sebagainya)

  • Tujuan : mengingat semula perkara-perkara yang sudah dipelajari tanpa sebarang perubahan.
  • Contoh :
    1. Bilakah Malaysia merdeka ?
    2. Berapa buah negerikah yang terdapat di Malaysia?
    3. Siapakah Bapa Kemerdekaan Malaysia?
  • Objektif
    1. Umum : mengetahui
    2. Khusus / spesifik : melebal, menyatakan, menulis (eksplisit)

Aras ini menguji sejauh mana keupayaan pelajar untuk mengingat kembali fakta atau pengetahuan telah dipelajari. Terdapat tiga peringkat dalam aras pengetahuan ini :

1. Pengetahuan fakta khusus berkaitan dengan istilah berbentuk perkataan atau symbol.
2. Pegetahuan tentang cara mengendalikan sesuatu yang meliputi pengetahuan tentang proses, aliran, pemeringkatan, penjenisan, teknik atau prosedur tertentu dalam menyelesaikan masalah.
3. Pengetahuan tentang perkara yang bersifat sejagat dan abstrak dalam sesuatu bidang. Contonya; siapa,apa, di mana, bila, beri definisi, senaraikan, dan nyatakan.

Ciri-ciri soalan aras pengetahuan:
• Pelajar perlu menggunakan proses mental.
• Pengetahuan yang diminta hendaklah sama dengan pebgajaran guru.
• Soalan tidak memerlukan pelajar mengubah pengetahuan dalam bentuk baru.
• Jawapan dapat ditentukan dengan mudah sama ada salah atau betul.






Kefahaman (kebolehan untuk memberi penjelasan / makna sesuatu perkara)

  • Konsep : menjelaskan maklumat dengan terperinci.
  • Merupakan peringkat yang tinggi berbanding peringkat pengetahuan.
  • Tiga aras penting :
  1. Terjemahan isi (isi kepada huraian, contohh : Ibu Ali masih hidup.)
  2. Memberi tafsiran / makna sesuatu maklumat (contoh : Setiap manusia di muka bumi ini akan menemui ajal masing-masing. )
  3. Ekstrapolasi (tafsiran lanjut berdasarkan maklumat yang digambarkan (contoh : Kita sebagai manusia biasa mestilah sentiasa bersedia untuk menghadapi perkara yang berlaku pada bila-bila masa sahaja)
  • Tujuan : memahami sesuatu bahan, menjelaskan menterjemah, merumuskan,menulis, dan membezakan.
  • Contoh : jelaskan, bezakan, bandingkan, ringkaskan, nyatakan, dan seumpamanya.

Aras ini memerlukan keupayaan pelajar member huraian atau makna sesuatu perkara. Aras kefahaman ini terbahagi kepada tiga:

a.Penterjemahan
• Menterjemah bahasa lain ke bahasa lain tanpa mengubah makna asal.

b.Mentafsir (Interpretasi)
• Mentafsir idea/ mesej tersirat dan tersurat.
• Menerangkan idea dalam ayat sendiri.

c.Ekstrapolasi
• Membuat inferens tentang apa yang akan berlaku pada masa hadapan berdasarkan maklumat yang diberikan/ terima.

Perkataan yang sering digunakan dalam soalan bagi aras kefahaman ini anataranya jelaskan, huraikan, terangkan, mengapakah, bezakan, nyatakan, dan kelaskan.

Ciri-ciri soalan aras kefahaman
• Proses mental
• Maklumat asas telah diajar
• Perlu bahan atau alat komunikasi
• Pelajar menyatakan kefahaman mereka sendiri.






Aplikasi

  • Tujuan : menggunakan pengetahuan mujarat (abstrak) untuk menyelesaikan masalah yang maujud.
  • Objektif :
  1. Umum : menggunakan, menyelesaikan, menunjukkan
  2. Khusus / spesifik : menggunakan, menyelesaikan, mengira, menghubungkan, mengendalikan.
  • Contoh : soalan yang menggunakan perkataan bagaimana dan jelaskan.
  • Menekankan kaedah, prinsip, hukum, dan teori.


Aras ini menguji keupayaan pelajar menggunakan konsep, teori, prinsip, hukum, dan prosedur. Aras ini memerlukan pelajar benar-benar memahami segala konsep, teori, hukum, untuk menyelesaikan masalah. Perkataan yang sering digunakan dalam soalan bagi aras aplikasi antaranya kirakan, selesaikan, susunkan, dan gunakan.

Ciri-ciri soalan aras aplikasi
• Menggunakan proses mental aplikasi
• Soalan melibatkan tiga frasa iaitu
• Masalah situasi yang baru tidak dengan masalah yang dibincangkan dalam bilik darjah.








Analisis (mengenal pasti sebab secara terperinci)

  • Definisi : kebolehan untuk menceritakan dan menyusun perkara-perkara yang telah dipelajari kepada beberapa bahagian.
  • Tujuan : menaakul (mencari) sebab dan musabab (akibat)
  • Contoh :
  1. Berikan faktor, punca-punca, sebab-sebab, mengapakah perkara tersebut berlaku.
  2. Meleraikan sesuatu komunikasi kepada beberapa bahagian.
  • Objektif
  1. Am : mencerakinkan, menaakul, menjelaskan, menilai kerelevenan data.
  2. Spesifik : mencerakinkan, mengasingkan, membahagikan, menjelaskan srtuktur dan organisasi.
    - Contoh : Yang manakah antara berikut tidak menerangkan cirri criteria yang betul?
    - Contoh : Yang manakah antara berikut merupakan kata kerja?
  • Kosa kata popular : bezakan, bandingkan, asingkan, tafsirkan bahagian, klasifikasikan, sebab, mengapa, huraikan, menaakul, mencerakinkan.


Aras ini mengkehendaki pelajar untuk memecahkan sesuatu perkara kepada unsur-unsur kecil dan memperlihatkan pertalian antara unsur-unsur. Aras ini menekankan keupayaan pelajar mengenal pasti unsur-unsur dan struktur yang mengaitkan unsur-unsur.

Jenis-jenis aras analisis
1. Analisis unsur – memerlukan pelajar menetukan unsur-unsur. Pelajar juga perlu mencari bukti untuk menyokong unsur yang sedia ada.
2. Analisis hubungan – membuat perkaitan bukti dengan hipotesis.
3. Analisis prinsip – pelajar mengenal pasti prinsip sesuatu organisasi yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu dengan mengenalisis tujuan, pandangan dan pendirian.

Perkataan yang sering digunakan dalam soalan bagi aras ini ialah kenapakah, mengapa, apakah faktor, buatkan rumusan dan buktikan.

Ciri-ciri soalan aras analisis
• Soalan menggunakan proses mental analisis
• Situasi masalah berbeza daripada pengalaman dalam bilik darjah.
• Situasi, dokumen perlu dianalisis
• Soalan memerlukan fikiran kritik, bukan mengulang pengetahan yang dipelajari.






Sintesis – (lebih kepada sains, BM- karangan)

  • Menguji kebolehan calon mencantumkan, mengabungkan, dan meintegtrasikan fakta atau idea yang berkaitan (mengembang fakta menggunakan ayat sendiri)
  • Tujuan : membentuk sesuatu yang baharu.
  • Objektif :
  1. Am : menulis karangan, mencadangkan sesuatu pandangan, menghasilkan karya
  2. Spesifik : mengabungkan, mengubah, mereka cipta, merancang, menulis
  • Contoh : Berdasarkan tajuk “saya sebatang pen” bina ayat-ayat yang dapat menerangkan mengenai pen tersebut.
  • Kosa kata popular : mereka bentuk, kumpulkan, susunkan, gubahkan.

    Contoh mencadangkan : senaraikan beberapa cara kamu boleh mengatasi masalah itu.


Aras ini memerlukan keupayaan pelajar untuk menggabungkan sesuatu struktur kepada yang lebih jelas.

Jenis-jenis soalan aras sintesis.
1. Sintesis penyampaian – menghurai dan menarik minat.
2. Sintesis himpunan – satu himpunan perlakuan.
3. Sintesis cadangan – cadangan melalui andaian, analisis dan hubungan yang abstrak.

Perkataan yang sering digunakan dalam soalan bagi aras ini ialah ramalkan, hasilkan, tuliskan, cadangan, dan apa akan berlaku.






Penilaian

  • Menguji kebolehan calon, membuktikan, menilai, mengesahkan, mengkritik, memberi pendapat mengenai sesuatu peryataan, dan lain-lain.
  • Tujuan : membuat penilaian dan pertimbangan berdasarkan kretiria tertentu.
  • Objektif :
    1. Am : menimbangkan nilai, ketekalan, kecukupan data.
    2. Spesifik : menilai, membuat pertimbangan.
  • Jenis : sejauh mana, nilaikan, apakah pendapat kamu.
    Contoh : Berikan pendapat anda mengenai hal tersebut.
    : Sejauh manakan kebaikan menggunakan kereta ke kuliah.
  • Kosa kata popular : nilaikan, rumuskan, tafsirkan, kritikkan, bandingkan, ulaskan, huraikan, buktikan.
  • Contoh :
    1. Pada pendapat kamu, ujian apakah yang sesuai diberikan kepada murid tahun enam?
    2. Berbagai faktor perlu dipertimbangkan dalam proses penilaian program. Bandingkan.


Aras ini menguji keupayaan pelajar menilai sesuatu perkara berasakan kriteria yang perlu diketahui. Pelajar perlu membuat pertimbangan tentang nilao sesuatu idea hasil kerja penyelesaian bahan, sesuatu idea atau sebagainya. Pertimbangan dibuat dengan piawaian tertentu seperti tepat, berkesan, memuaskan, baik, buruk dan lain-lain. Perkataan yang sering digunakan dalam soalan bagi aras ini ialah pertimbangkan, rumuskan, nilaikan, kritikkan, buktikan, dan huraikan.








“When Love And Skill Works Together,

They Will Produce A Golden Masterpiece”



(John Ruskin)


















Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...