Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, February 8, 2012

Tebrau Disangka tebu









Mewah Bahasa:



Tebrau Disangka tebu



Oleh


Prof Madya Dr Nor Hisham Osman




pix_gal0






Ros:
Eh! Lia, kau dah tau cerita?






Lia: Cerita apa? Telenovela ke?






Ros: Bukan telenovela la!! Ni cerita betullah ….






Lia: Cerita apa?





Ros: Kau tak tau lagi ke?





Lia: Kau tak bagi tau, macam mana aku nak tau?!





Ros: Hikhikhik …. Betul jugek ek?!





Lia: Cerita apa ni, ceritalah cepat!!
Tak payahlah nak suspen-suspen pulak ….






Ros: Ni ha, pasal Syidah ….



Lia: Syidah?! Eh! Mengandung ke dia?





Ros: Ke situ pulak dia.





Lia: Kan ke dia baru kahwin,
kita sama-sama pergi majlis sanding dia dulu kan?
Orang lepas kahwin ni cerita apa pulak lagi,
cerita mengandung le kan? Hehehehe ….




Ros: Usahkan mengandung, ni cerita lain dah jadinya!




Lia: Lain apa pulak?




Ros: Dah nak bercerai!!
Dalam proses mahkamah ….






Lia: Eh! Biar betul ni Ros?! Kan ke baru aje kahwinnya?!
Dulu sebelum kahwin, tak sempat-sempat nak kahwinnya,
tergesa-gesa sangat. Kalau tak silap aku,
dua bulan aje dia kenal lelaki tu, dah kahwin ….





Ros: Tu le pasai ... orang tua-tua kata tebrau disangka tebu!!




Lia: Kenapa? Dia mengidam air tebu ke?
Isy! Isy! tak kan mengidam air tebu sampai nak bercerai-berai.





Ros: Tak sempat nak mengidam pun ….




Lia: Kenapa?




Lia: Lepas kahwin baru dia tau siapa suami dia tu yang sebenarnya.
Dulu masa panas bercinta, nasihat orang tak mau dengar.







Ros: Siapa sebenarnya lelaki tu?





Lia: Tak ada kerja, menganggur je, dahlah gitu,
dah ada isteri, ada tiga anak lagi!!
Dia kahwin dengan Syidah ni nak gunakan Syidah
untuk menanggung diri dia ngan anak-anak dia tu laa!!






Ros: Eh!! Betul ke ni?? Sebab aku tengok dulu
tiap kali dia jemput Syidah gi dating, dia pakai kereta sport lagi
dan pergi dating pulak ke tempat ada kelas.
Memanglah Nampak macam berusia sikit,
tapi biasalah orang sekarang ni,
bina kerjaya dulu baru fikir rumah tangga.







Lia: Memanglah, tapi macam aku kata tadi,
tebrau disangka tebu!!







Ros: Kenapa kau kata macam tu?





Lia: Sebenarnya, kereta tu dia pinjam kawan dia punya, dia pakai moto cup aje.
Itupun isteri dia yang punya. Dia pinjam kereta tu masa nak memikat si Syidah.
Yang Syidah ni pun dah termakan gula-gula dia,
kononnya dia ada syarikat sendiri!!






Ros: Oooo ... gitu ke kisahnya, patutlah tergesa-gesa sangat
nak kahwinnya dan masa nikah tu pun aku perasan dah,
ada yang tak kena sebab rombongan pengantin lelaki datang satu kereta aje.
Tapi aku tak faham laa ….






Lia: Apa sangkut pautnya dengan Selat Tebrau dan tebu?
Lelaki tu orang Johor ke??






Ros: Hikhikhik ... Selat Tebrau pulak perginya!!
Ni bahasa orang dulu-dululah!!
Orang dulu-dulu bila nak memberi tahu sesuatu, nak perli,
nak tegur sesuatu perbuatan, nak gambarkan sesuatu
dan juga nak marah pun mereka buat cara halus, cara lembut, cara kiasan.
Tak pakai sebut, pakai cakap terus macam orang sekarang ni.






Lia: Yang tebrau disangka tebu ni apa maksudnya?
Aku tak pernah dengar pun!





Ros: Maksudnya, tersalah anggapan,
atau tersalah sangka terhadap sesuatu.
Sangkaan kita sesuatu itu perkara yang baik, yang bagus tapi
sebenarnya tidak baik, tidak bagus.
Macam kes Syidah ni, dia sangka lelaki tu
seorang usahawan yang Berjaya dan masih belum berkahwin,
tapi bila dah jadi suami isteri baru tahu yang lelaki itu
penganggur dan suami orang.






Lia: Ooo ... barulah aku faham. Tapi tebrau tu apa?





Ros: Tebrau ni pokok macam pokok tebu.
Rupanya macam pokok tebu, daunnya macam daun tebu,
tumbuh berumpun dan batangnya macam tebu tapi keras, tak boleh makan.
Kalau orang yang tak biasa, memang tak boleh bezakan antara tebu dengan tebrau. Pokok ni suka tumbuh di tepi sungai, atau tempat yang dekat dengan air!





Lia: Ooo, gitu ke?!
Agaknya kat Johor tu dulu banyak pokok tebrau,
itu sebabnya dinamakan Selat Tebrau.



Ros: Mungkin …. Hehehehee.






Glosari





Tebrau/teberau - sejenis tumbuhan menyerupai tebu,
tebu salah
(saccharum arundinaceum)



Nota Kaki




Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan adanya beberapa cara untuk menyampaikan sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi. Dialog menggunakan dialek dan juga bahasa pertuturan yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku.












~ Prof Madya Dr Nor Hisham Osman

adalah Pensyarah Jabatan Linguistik,

Akademi Pengajian Melayu (APM),

Universiti Malaya. ~











Teruskan membaca..

Tuesday, February 7, 2012

Hiburan positif tenangkan jiwa






Hiburan positif tenangkan jiwa









RAMAI daripada kita

gemarkan hiburan dan sesetengah mereka

menganggap hiburan menjadi keperluan bagi mengurangkan

tekanan dan menyegarkan emosi.






Ketegangan dan kegersangan emosi boleh menyebabkan

seseorang itu jadi pemarah, tertekan dan keresahan.

Menyuburkan emosi memang penting kerana

dari situ akan timbul sikap kasih sayang,

prihatin dan peka pada keadaan sekeliling.







Namun, apabila disebut hiburan bukanlah semata-mata

berkenaan nyanyian, konsert, berpesta,

berkaraoke, pergi kelab malam atau berpeleseran.








Malah melihat keindahan alam,

melancong, berkelah, beriadah, ekspedisi juga termasuk

sebahagian daripada hiburan. Terdapat tiga kategori hiburan.







Pertamanya, bagi seorang Mukmin, iman,

ibadat, wirid dan zikir atau apa saja perbuatan

yang membawa pahala daripada Allah adalah hiburan.








Ini kerana hasil daripada itu ialah ketenangan dan ketenteraman.

Jiwa akan sentiasa hidup, segar dan emosi pula terkawal.

Itulah yang dimaksudkan dalam firman Allah yang bermaksud:







“Ingatlah

hanya dengan mengingati Allah

hati jadi tenang.”








Hiburan kategori kedua pula,

iaitu apa saja cara yang dapat menghilangkan keresahan

dan kerunsingan yang tidak bertentangan dengan syariat dan akidah.








Malah, jika dihayati hiburan jenis ini dapat dijadikan cara

bagi mendekatkan diri kepada Allah.

Ia seperti kita pergi berkelah untuk menghilangkan rasa bosan

selain dapat merasai kehebatan ciptaan Allah sehingga meresap

ke dalam jiwa sehingga timbul rasa gerun kepada-Nya.








Hakikatnya ramai yang tidak menyedari hikmah di sebalik berhibur.

Jadi, hiburan hanya sekadar hiburan, terhenti setakat itu saja.

Hiburan kategori itu selagi tidak bercanggah dan tidak memberi kesan negatif,

ia ibarat penawar yang dapat menghilangkan keresahan buat seketika,

tapi tidak dapat menghapuskan punca keresahan itu.








Kategori dan paling popular di kalangan orang ramai

terutama muda-mudi ialah konsert nyanyian yang melalaikan,

berpesta, kelab malam dan keluar berpasangan.








Ia terus menjadi hambatan hidup remaja kini.

Hiburan jenis itu bukan saja tidak bersifat menyembuhkan,

malah umpama penagihan dadah. Memang seronok,

ibarat gula-gula, manis dan sedap tapi tidak mengenyangkan.








Tapi keseronokan itu tidak memberi kebahagiaan

atau ketenangan malah ia beransur-ansur membawa kesan buruk

dan negatif untuk jangka panjang.








Hiburan kategori itu mendatangkan kesan buruk pada hati

yang tidak dapat dikesan. Hati akan menjadi keras, gelap,

kemudian terdinding daripada mendapat kelazatan mengingati Allah,

malah sukar menerima kebenaran.






Justeru, orang yang dapat hiburan hakiki umpama

mendapat hidangan makanan yang lazat lagi enak dan

tidak perlu lagi pada gula-gula yang tidak berkhasiat.










Sumber













Teruskan membaca..

Maulidur Rasul diperkenal pada zaman Dinasti Fatimiyah




Maulidur Rasul

diperkenal pada zaman

Dinasti Fatimiyah





BENARKAH Saidina Usman bin Affan ada mengatakan: “Sesiapa yang membuat Maulidur Nabi Muhammad SAW akan mendapat pahala seperti pahala jihad.” Adakah selawat tidak diterima sekiranya kita berselawat tanpa menyebut keluarga Nabi dan bagaimanakah cara selawat yang sebaik-baiknya? Harap dapat berikan penjelasan.






FIKRI,
Alor Setar, Kedah.












SAYA tidak pernah bertemu dengan riwayat sedemikian, sama ada daripada Saidina Usman bin Affan atau sesiapa saja yang mengatakan bahawa pahala memperingati dengan membuat perayaan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW sama dengan pahala jihad.











Bahkan jika saya berjumpa pun riwayat sebegitu, saya sangat meragukan kebenarannya. Antara sebabnya kerana perayaan Maulidur Rasul ini belum dikenali pada zaman Saidina Usman, bahkan juga pada abad pertama hijrah. Sebenarnya perayaan Maulidur Rasul baru diperkenalkan pada zaman Dinasti Fatimiyah abad keempat hijriah di Mesir dan negara lain.









Ada juga berpandangan bahawa orang yang pertama melakukannya di Mushil, Iraq ialah Syeikh Umar Muhammad al-Mala’. Kemudian ditiru al-Malik al-Muzaffar Abu Sa’id di kota Irbil. Ketika itu dibacakan sebuah buku kisah kelahiran Nabi SAW yang bernama ‘at-Tanwir fi Maulid al-Basyir an-Nadzir’.








Al-Malik al-Muzaffar menghadiahkan kepada pengarang buku itu seribu dinar. Sejak itu perayaan Maulidur Rasul dibuat dengan memperdengarkan kisah perjuangan dan budi pekerti atau akhlak Nabi SAW, sambil memperbanyakkan sedekah dan menampakkan kegembiraan.









Untuk soalan kedua, dalam surah al-Ahzab ayat 56, Allah SWT berfirman yang bermaksud:









“Sesungguhnya Allah dan semua malaikat-Nya

berselawat kepada Nabi,

wahai orang yang beriman,

berselawatlah kepadanya dan bertaslimlah

dengan taslim yang sempurna.”










Kalau kita perhatikan, ayat itu meminta berselawat dan taslim kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, dari segi hukum tidaklah menjadi kesalahan sekiranya ia hanya menyebut:







“Sallallahu ‘alaihi wa sallam.”










Tetapi ada riwayat yang lain yang menyatakan bahawa Baginda bertanya kepada sahabat:








“Tahukah kamu siapakah orang yang kedekut?

Sahabat menjawab:

“Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.

Baginda menjawab:

Dia adalah orang yang berselawat kepadaku

tanpa menyebut keluargaku.”









Justeru, sebaik-baiknya apabila kita hendak berselawat, eloklah kita menyebut nama keluarga Baginda. Namun tidaklah bermakna kalau kita berselawat tanpa menyebut keluarga Nabi Muhammad SAW, maka selawat itu akan tertolak.








Seterusnya, cara selawat yang terbaik ialah seperti yang diterangkan dalam hadis apabila turunnya ayat 56 surah al-Ahzab, maka sahabat bertanya kepada Nabi SAW:








“Wahai Rasul,

kami telah mengetahui salam,

maka bagaimanakah selawat untukmu?

Baginda SAW bersabda:

Ucapkanlah

“Allahumma salli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad,

Kama sallaita ‘ala Ibrahim wa ‘ala ali Ibrahim.

Innaka hamidum majid.

Allahumma barik ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad,

Kama barakta ‘ala Ibrahim wa ‘Ala ali Ibrahim.

Innaka hamidum majid.”





Maksudnya:






“Ya Allah,

berilah selawat ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad

seperti mana Engkau berselawat ke atas Ibrahim

dan ke atas keluarga Ibrahim.

Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Mulia.

Ya Allah,

berkatilah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad

seperti mana Engkau memberkati ke atas Ibrahim

dan ke atas keluarga Ibrahim,

sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Mulia”.















Teruskan membaca..

Sunday, February 5, 2012

Umat Islam berpegang kepada kebaikan dibawa Rasulullah



Kesederhanaan, keseimbangan hindar kemungkaran




Sifat wasatiyyah kunci umat Islam berpegang kepada kebaikan dibawa Rasulullah





SEDAR atau tidak, kita sudah pun berada semakin jauh daripada zaman Rasulullah SAW. Seribu empat ratus tiga puluh tiga tahun sudah berlalu sejak peristiwa Hijrah Rasulullah SAW ke kota suci Madinah. Dalam tempoh ini, umat Islam sudah mengecapi pelbagai kegemilangan, merasai pelbagai kesakitan dan tidak kurang juga menyaksikan begitu banyak penyelewengan.








Fenomena ini menghasilkan tiga aliran utama, iaitu satu aliran asal dan dua aliran baru, hasil daripada tindak balas. Aliran asal itu ialah aliran Wasat iaitu yang menepati kebaikan dan keadilan, manakala dua aliran baru itu pula ialah Ifrat iaitu berlebihan dan aliran Tafrit iaitu pengabaian.







Al-Imam Ibnu al-Qayyim berkata dalam kitabnya Madarij al-Salikin (jil. 2/ hlm. 108): “Sebahagian ulama salaf berkata:






“Apa yang diperintahkan oleh Allah,

pasti syaitan akan mengganggu dengan dua tarikan;

sama ada ke arah pengabaian ataupun ke arah berlebihan.

Syaitan menganggap mana-mana daripada dua perkara ini

sebagai kejayaan, iaitu pertambahan atau pengurangan.”






Kesucian dakwah Rasulullah SAW ialah berlandaskan Basirah iaitu hujah yang nyata. Hakikat ini digambarkan oleh Allah dalam pelbagai ayat di dalam al-Quran. Antara lain ialah firman Allah dalam Surah Yusuf 12:108) yang bermaksud:






“Katakanlah:

Inilah jalan (agama)ku,

aku dan orang yang mengikutiku

mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata.

Maha Suci Allah, dan aku

tiada termasuk orang yang musyrik.”









Pada saat manusia berada dalam kesempitan minda dan kehilangan fakta sehingga menyembah sesama makhluk, Rasulullah SAW menyelamatkan mereka dengan membawa mereka kepada kebaikan dan keadilan iaitu menyembah Tuhan segala makhluk. Ketika manusia memandang rendah kepada wanita dan memperhambakan mereka, Baginda menyelamatkan mereka dengan membawa mereka kepada kebaikan dan keadilan iaitu memberi hak yang tinggi kepada wanita yang menjamin kelangsungan umat manusia. Wahyu daripada Allah telah menjadikan dakwah Rasulullah SAW gemilang.






Kebaikan dan keadilan inilah yang dinyatakan oleh Allah, antara lain dalam ayat berikut (Al-Baqarah 2:143) yang bermaksud:





“Dan demikianlah (pula) Kami

telah menjadikan kamu (umat Islam),

umat yang adil lagi pilihan agar kamu menjadi saksi

atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad)

menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.”







Begitulah umat Islam ini disifatkan dengan sifat wasatiyyah yang membawa maksud al-Khairiyyah iaitu kebaikan dan al-‘adalah iaitu keadilan serta al-tawassut bayn al-Ifrat wa al-Tafrit iaitu pertengahan antara melampau dalam berlebihan dan melampau dalam berkurangan seperti yang dirumuskan oleh Dr Muhammad Ba Karim dalam kitabnya Wasatiyyah Ahlis Sunnah. Inilah juga yang ditekankan oleh al-Imam Ibn al-Qayyim dalam kitabnya Madarij al-Salikin (jilid 2/ hlm. 496), seperti yang dinukilkan Perdana Menteri beberapa minggu lalu bahawa “wasatiyyah iaitu kesederhanaan atau keseimbangan bermakna tidak terlalu berlembut dan tidak terlalu ekstrem adalah seperti sebuah oasis di antara dua gunung.”






Umat Islam yang bersifat wasatiyyah ialah umat yang berpegang kuat kepada kebaikan yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Perkara ini juga dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya (Ali Imran 3:110) yang bermaksud:






“Kamu (wahai umat Muhammad)

adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan

bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh

berbuat segala perkara yang baik dan melarang

daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji),

serta kamu pula beriman kepada Allah

(dengan sebenar-benar iman).”








Ayat ini menunjukkan bahawa kebaikan yang ada pada umat yang sederhana ini ialah apabila adanya perintah kepada kebaikan dan larangan daripada kemungkaran. Ini adalah satu amanah iaitu mengajak kepada makruf iaitu perkara baik yang diketahui oleh Rasulullah SAW dan sahabat. Seterusnya menghindari daripada mungkar iaitu perkara buruk yang bukan menjadi kebiasaan Baginda SAW dan sahabat dalam urusan agama.





Wasatiyyah memerlukan keikhlasan.
Wasatiyyah juga menuntut agar umat Islam menepati kebenaran
yang dijunjung oleh Rasulullah SAW dan sahabat. Rasulullah SAW telah menyatakan perkara ini dengan sabdanya yang bermaksud:







“Kumpulan yang unggul ialah

yang menepati peganganku dan pegangan sahabatku”


(Hadis riwayat al-Tirmizi (no. 2641) dan
dihukum Hasan oleh al-Albani).







Kebenaran yang dijunjung dan diamalkan ini mestilah disampaikan
walaupun pahit, sesuai dengan perintah Rasulullah SAW yang bermaksud:







“Ucaplah yang benar walaupun pahit”




(Hadis riwayat al-Baihaqi dalam al-Targhib wa al-Tarhib
(no. 2233) dan dihukum Sahih Li Ghairih oleh al-Albani).







Justeru, Wasatiyyah bukanlah menyesuaikan Islam dengan suasana, sebaliknya menyesuaikan suasana dengan Islam.







Sifat wasatiyyah inilah yang menjadikan umat Nabi Muhammad SAW dipanggil menjadi saksi terhadap sengketa antara Rasul dan umat mereka di hadapan Allah kelak. Di dalam sebuah hadid, apabila umat Islam ditanya:







“Apa hujah kamu bagi kenyataan itu?”





Mereka menjawab:





“Nabi kami datang kepada kami dan memberitahu bahawa semua rasul telah menyampaikan wahyu, lalu kami membenarkannya.”









Maka itulah firman Allah yang bermaksud:








“Dan demikianlah (pula)

Kami telah menjadikan kamu (umat Islam),

umat yang adil lagi pilihan agar kamu menjadi saksi

atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad)

menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.”




(Hadid direkod oleh al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir
dan dihukum Sahih oleh al-Albani
dalam Sahih al-Jami‘ al-Saghir (no 8033).






Penulis ialah Pengerusi Sekretariat Ulama Muda UMNO (ILMU)








Teruskan membaca..

Tekad azam contohi kehidupan Rasulullah





Tekad azam contohi kehidupan Rasulullah



NABI Muhammad SAW diutuskan Allah menyebarkan Islam kepada seluruh manusia dan menjadi pemimpin contoh untuk diikuti sepanjang zaman. Seluruh cendekiawan, ahli agama, pemikir dan pemimpin, sama ada beragama Islam atau kafir mengakui Nabi Muhammad sebagai “The Saviour of Humanity” atau Penyelamat Manusia Sejagat.








Baginda juga digelar pemimpin agung sepanjang zaman dan paling sempurna akhlak.
Memang tepat jika Rasulullah dijadikan contoh dan idola untuk diikuti dalam segenap segi cara kehidupan baginda. Sesungguhnya tidak ada sifat buruk pada diri baginda untuk dijadikan bahan momokan atau cacian oleh musuh-musuh Islam.






Dalam kalangan orientalis, mereka cuba mengkaji dan mencari sunnah Rasulullah yang boleh dikaitkan sebagai sikap buruk dan bukti Rasulullah hanya manusia biasa sama seperti orang lain. Antara sunnah yang dilambangkan tidak baik ialah poligami dan perkahwinan Rasulullah dengan Siti Aisyah. Baginda dilambangkan sebagai kuat seks atau gila seks.






Jika kita mengkaji sirah, tentunya kita faham mengapa Rasulullah berkahwin lebih daripada seorang dan mengahwini Siti Aisyah ketika masih berusia kanak-kanak. Rasulullah bukan gila seks dan tidak sekali-kali menjadikan kedudukan dan kuasa untuk memiliki banyak isteri. Tindakan Kelab Taat Suami menganjurkan forum Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam sempena Maulidur Rasul boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan bukan Islam dan penganut Islam sendiri yang tidak betul-betul mendalami sirah.








Selama ini pun, suami yang ingin berpoligami sering mengatakan ia sunnah Rasulullah, sedangkan dalam hal lain tidak pula mengikut apa yang dilakukan baginda.
Perkara ini tentu sekali akan digunakan pula oleh orientalis untuk menyokong dakwaan mereka selama ini. Sepatutnya, sempena Maulidur Rasul ini perkara lain yang dibincangkan atau ditonjolkan.









Banyak sumbangan besar lain patut dijadikan topik perbincangan dan dicontohi yang mana baginda berjaya membentuk masyarakat sempurna dan syumul yang tidak ada batasan geografi dan zaman.
Tidak ada individu lain mampu mencapai status seperti mana dicapai Nabi Muhammad SAW.







Lihatlah hasil dakwah Nabi Muhammad yang berjaya membawa perubahan besar peradaban manusia. Risalah yang dibawa Nabi Muhammad membawa pakej sempurna kepada kehidupan manusia dan tidak setakat berkaitan tauhid kepercayaan kepada Allah semata-mata.
Rasulullah sudah berjaya merubah kehidupan manusia secara rohani, fizikal dan intelektual yang mencetus revolusi perubahan membawa manusia dari dunia kegelapan kepada cahaya kebenaran. Kesempurnaan akhlak, kepimpinan dan ajaran yang dibawa Nabi Muhammad dijadikan ikutan bagi sesiapa mengharapkan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.









Baginda memiliki peribadi mulia sehingga digelar al-Amin oleh masyarakat Makkah, yakni lambang kebenaran dan kesempurnaan pekerti.
Nabi Muhammad mengajar manusia mengenai ketuhanan, kebenaran, keadilan dan kebahagiaan hidup. Baginda menunjukkan cara hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam. Setiap ajaran dan amalan Nabi Muhammad adalah sunnah yang perlu diterapkan dalam kehidupan setiap insan untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Untuk memastikan iman sentiasa kuat dan sempurna, hendaklah sentiasa tertanam perasaan mencintai Nabi Muhammad sepenuh hati.









Sabda Rasulullah bermaksud:







“Tidaklah beriman seseorang kamu

sehingga aku lebih dicintainya daripada anaknya,

ibu bapanya dan manusia seluruhnya.”







(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Kasih sayang terhadap Nabi Muhammad tidak cukup sekadar ucapan di bibir atau mengadakan sesuatu secara ritual berkaitan baginda. Kasih sayang memerlukan pembuktian berupa amalan seperti yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulullah. Kita perlu penuh yakin bahawa apa yang dilakukan Nabi Muhammad ada yang contoh ikutan terbaik. Sesiapa mengikut sunnah Rasulullah mendapat jaminan beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.







Kita hari ini tidak hidup bersama-sama Nabi Muhammad. Apa yang ditinggalkan sebagai pedoman hidup adalah al-Quran dan sunnah. Sesiapa mencontohi kedua-duanya, samalah seperti hidup pada zaman Rasulullah. Fahaman yang menolak sunnah dalam mentafsir kehendak agama membawa kepada kesesatan.








Ditambah pula dengan keadaan umat Islam yang dirosakkan oleh fahaman bidaah, khurafat, syirik, rosak akhlak dan aliran liberal.
Nabi Muhammad mengingatkan agar umatnya terus berpegang kepada sunnah biarpun berdepan halangan. Mempertahankan sunnah satu tanggungjawab yang berat.





















Teruskan membaca..

Persefahaman Asas Perpaduan Ummah







Tema Sambutan Maulidur Rasul 1433H / 2012M




" Persefahaman Asas Perpaduan Ummah "








Sabda Nabi S.A.W :















" Tiadalah dua hamba yang saling cinta-mencintai






kerana ALLAH yang berjumpa salah seorang yang lain






lalu berjabat tangan (bersalam) dan berselawat






kepada Nabi S.A.W melainkan ALLAH mengampuni






dosanya sebelum mereka berpisah, baik yang telah






lalu ataupun yang akan datang . "














- Hadis Riwayat Ibnu Sunni -













Sabda Nabi S.A.W :







" Dari Abu Hurairah r.a... berkata :






Rasulullah S.A.W bersabda :





Janganlah kamu jadikan kuburku sebagai tempat perayaan






dan berselawatlah kepadaku, maka sesungguhnya






bacaan selawatmu itu akan sampai kepadaku






di mana sahaja kamu berada. "








-Hadis Riwayat Abu Daud-




































Teruskan membaca..

Saturday, February 4, 2012

14 sekolah lagi dapat taraf SBT



14 sekolah lagi dapat taraf SBT






MUHYIDDIN bergambar bersama pengetua, guru besar dan pelajar serta murid Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) selepas menyampaikan watikah pengiktirafan SBT di Auditorium Kementerian Pelajaran di Putrajaya, semalam.

MUHYIDDIN bergambar bersama pengetua,
guru besar dan pelajar serta murid Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)
selepas menyampaikan watikah pengiktirafan SBT
di Auditorium Kementerian Pelajaran di Putrajaya, semalam.








Perisytiharan angkat mutu pendidikan, beri autonomi laksana inovasi pengurusan









PUTRAJAYA: Sebanyak 14 sekolah lagi, iaitu 10 sekolah rendah dan empat sekolah menengah, diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan SBT sehingga ini ialah 66.






Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pencapaian itu meletakkan Malaysia di landasan yang sepatutnya supaya negara setanding dengan pendidikan di negara maju, selaras wawasan kerajaan mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.






Beliau, yang juga Menteri Pelajaran, menjangkakan selepas fasa penilaian semula dan hala tuju sistem pendidikan negara dimuktamadkan, tanggungjawab kecemerlangan yang dipikul warga SBT akan lebih mencabar.






"Perisytiharan sebagai SBT ini bertujuan mengangkat mutu sekolah terbaik menerusi peningkatan pencapaian institusi pendidikan dengan memberi lebih autonomi dan tanggungjawab serta membenarkan sekolah melaksanakan inovasi dalam pengurusan masing-masing.






"Ini mampu menghasilkan pelajar holistik yang cemerlang dan bertaraf antarabangsa selain menjadi personaliti unggul dalam semua bidang.





"Seterusnya, kita mahu SBT memainkan peranan sebagai sumber inspirasi dan rujukan kepada sekolah lain, sekali gus merapatkan jurang antara mereka menerusi jaringan dan bimbingan dalam kalangan sesama sendiri," katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan SBT Kohort 3 bagi tahun 2012, di sini semalam.






Sebelum ini, 20 sekolah diumumkan sebagai SBT bagi Kohort 1/2010 manakala 23 sekolah lagi disenaraikan dalam Kohort 2/2011 disusuli sembilan lagi sekolah yang diumumkan sebagai tambahan kepada senarai SBT Kohort 2/2011.





Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Infant Jesus, SK (P) Sultan Ibrahim, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 2, Sekolah Menengah Sains (SMS) Johor dan SMS Kota Tinggi di Johor serta SK Ibrahim, SJKC Keat Hwa (H) dan SMS Sultan Mohamad Jiwa di Kedah.





Sekolah lain termasuk SK Minden Heights dan SJKC Kwang Hwa di Pulau Pinang; SK Sultan Sulaiman 1 dan SK Tengku Mahmud di Terengganu; SK Assunta Convent di Pahang serta SMS Tuanku Jaafar di Negeri Sembilan.





Setiap sekolah terbabit masing-masing menerima peruntukan RM700,000 sebagai insentif menambah baik kecemerlangan pada masa depan.





Muhyiddin berkata pengiktirafan SBT, yang juga sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Kementerian Pelajaran, bertujuan meningkatkan pencapaian pelajar secara keseluruhan dengan meningkatkan akses kepada pendidikan bermutu.













Teruskan membaca..

Thursday, February 2, 2012

Kesatuan guru bantah PTD isi jawatan penolong kanan





Kesatuan guru bantah PTD

isi jawatan penolong kanan






Menafikan peluang kenaikan pangkat cikgu







KESATUAN guru membantah klausa khas sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang membuka peluang kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) membolot jawatan Penolong Kanan di sekolah menengah.
Jika PTD dibenarkan mengisi jawatan berkenaan, dikhuatiri sebanyak 2,282 jawatan Penolong Kanan pada Gred DG48 akan diisi PTD sekali gus menafikan peluang kenaikan pangkat guru.





Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) melihat kemasukan PTD khas untuk memegang jawatan Penolong Kanan (Pentadbiran) tidak akan menyelesaikan isu pengurusan sekolah yang dikatakan tidak profesional.




Pengerusi KGMMB Cawangan Terengganu, Abdullah Mamat, berkata ketika ini guru pada Gred DG44 yang dilantik sebagai Penolong Kanan (DG48) menguruskan hal ehwal kewangan (pentadbiran) dan juga akademik.




“Penolong Kanan sekarang menjaga dua bahagian pengurusan dan banyak tugas perlu diselesaikan hingga didakwa PTD sebagai tidak profesional.




“Jika PTD memasuki sekolah dengan hanya menjaga bahagian pentadbiran atau kewangan, guru pun boleh melakukan tugas ini kerana sekarang pun mereka sudah menjalankan dua tugas sekali gus.




“Lebih baik Kementerian Pelajaran membuka dua jawatan Penolong Kanan kepada guru, satu untuk pentadbiran dan satu lagi untuk akademik supaya pengurusan lebih kemas,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.




Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) meminta warga pendidikan bersifat terbuka dengan langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuka jawatan di sekolah dan institusi lain di bawah Kementerian Pelajaran untuk pegawai daripada skim bukan pendidikan.




Presidennya, Hashim Adnan, berkata pelantikan pegawai bukan skim pendidikan bertujuan menggunakan kepakaran mereka bagi penambahbaikan sistem penyampaian di sekolah dan institusi lain seperti institut pendidikan guru atau Pejabat Pelajaran Daerah.




Beliau berkata, ketika ini, PTD sudah diterima di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dengan memegang jawatan Ketua Sektor (Pengurusan).




“Ini strategi lautan biru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memaksimumkan kepakaran pegawai jabatan lain dengan diminta bertugas di jabatan baru yang bukan secara tradisinya tempat mereka bertugas.




“Pada masa sama, kita berharap pegawai kanan Kementerian Pelajaran daripada skim pendidikan (DG) juga diterima bertugas di kementerian lain jika ada keperluan berbuat demikian,” katanya.




Namun, Hashim berkata, PTD yang sudah ditempatkan di JPN atau Kementerian Pelajaran perlu membuktikan mereka mahu memudahkan urusan guru, bukan sebaliknya.




Beliau berkata, KPPK menerima banyak aduan daripada guru bahawa PTD di Bahagian Kewangan enggan meluluskan tuntutan guru yang bergerak ke luar daerah. Keengganan itu katanya dengan alasan guru berkenaan sepatutnya bertugas di dalam daerah penempatan masing-masing sedangkan guru berkenaan perlu menjalankan tugas rasmi.

Teruskan membaca..

Wednesday, February 1, 2012

Kaji punca kemerosotan pelajar sains sebelum beri elaun khas




Minda Pengarang:


Kaji punca kemerosotan pelajar sains

sebelum beri elaun khas


KEMEROSOTAN bilangan pelajar jurusan sains di institusi pengajian tinggi (IPT) bukan perkara baru. Permasalahan itu berpunca sejak di sekolah lagi dan ada tiga sebab utama mengapa masalah itu berlaku iaitu kurang minat, tanggapan subjek sains susah dan prospek kerjaya yang terhad. Apa yang membimbangkan ialah ketiga-tiga faktor yang berakar umbi sejak di sekolah menengah itu menyebabkan bilangan pelajar sains peringkat universiti turut merosot dengan ketara.









Sekiranya sekolah gagal membekalkan pelajar sains diperlukan, ia boleh menjejaskan matlamat kerajaan mencapai sasaran nisbah 60 peratus pelajar sains dan 40 sastera di universiti. Kekurangan graduan cemerlang dalam jurusan sains pula akan membantut matlamat kerajaan yang memerlukan modal insan berkepakaran dalam bidang berkenaan kerana merekalah penentu untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.








Bagi menangani masalah itu, cadangan dikemukakan Majlis Profesor Negara (MPN) kelmarin supaya kerajaan memberikan elaun bulanan sekurang-kurangnya RM200 setiap bulan kepada pelajar sains adalah antara opsyen yang boleh ditimbangkan tetapi kita berpendapat ia bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Cadangan itu memerlukan kajian mendalam kerana ia bukan saja membabitkan peruntukan tinggi, malah kita khuatir ia boleh mencetuskan masalah lain di kalangan pelajar.







Apakah dengan pemberian wang kita mampu menarik minat dan kecenderungan pelajar untuk mengikuti jurusan sains? Kita bimbang langkah itu akan mewujudkan amalan diskriminasi di kalangan pelajar aliran sains dan sastera, terutama yang cemerlang.







Cadangan itu juga dibimbangi akan melahirkan generasi manja, lemah dan tidak mempunyai jati diri. Pemberian ganjaran kepada semua pelajar tanpa mengira cemerlang atau sebaliknya boleh dianggap merendahkan moral individu berkenaan walaupun niat asalnya baik iaitu sebagai dorongan supaya memilih bidang lebih mencabar.







Cadangan MPN itu berbeza dengan pemberian biasiswa kerana penerima biasiswa dipilih berdasarkan merit dan diberi kepada pelajar cemerlang serta berkelayakan. Sekiranya cadangan itu mahu dilaksanakan, suatu mekanisme perlu diwujudkan bagi menentukan kriteria pelajar yang layak seperti menggunakan sistem meritokrasi atau mewajibkan pelajar menduduki peperiksaan khas.






Apa pun, satu kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kemerosotan pelajar sains. Jika pasaran kerjaya terhad menjadi punca, kerajaan harus mengambil langkah memastikan pelajar sains mendapat jaminan pekerjaan apabila tamat pengajian.
















Teruskan membaca..

Sunday, January 29, 2012

Bina keberanian dalam diri anak








Bina keberanian dalam diri anak






Oleh Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad




Anak-anak yang berjaya di sekolah sama ada dalam pelajaran atau ko kurikulum adalah mereka yang ada keberanian.





Berani mencapai kecemerlangan, bercakap di depan orang ramai, bergaul, bertanya apabila tidak faham, menjadi ketua, memegang jawatan, mewakili kelas atau sekolah.





Apabila anak-anak menunjukkan keberanian, mereka akan diberikan pelbagai peluang. Mereka yang aktif di alam persekolahan adalah kerana mereka berani untuk membabitkan diri dalam kelas serta program sekolah.







Keberanian membolehkan mereka mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan. Ini membantu anak-anak di alam dewasa nanti.


Bayangkanlah, ketika anak orang lain boleh berdikari, anak kita hendak bertanya sesuatu pada cikgu pun masih minta orang lain temankan.






Ketika anak orang lain berani ikuti program perkemahan, anak kita enggan turut serta sebab tiada kawan.






Sebab itulah anak-anak perlu ditanam dengan sifat berani pada usia muda. Berani bukanlah sesuatu yang hadir ketika lahir sebaliknya bergantung kepada cara ibu bapa mendidik dan membesarkan anak-anak.






Kita tidak mahu anak-anak berani tidak bertempat lalu dia melawan dan biadap dengan guru, merempit dan menyertai lumba haram, mencuri atau bergaduh.






Berikut adalah beberapa tip boleh

dilakukan ibu bapa bagi menjadikan

anak-anak seorang yang berani:






1. Usah cepat membantu anak dalam pelbagai perkara.




Setiap ibu bapa sayangkan anak-anaknya tetapi usah jadikan rasa sayang sebagai alasan untuk cepat membantu mereka.






Bukanlah salah membantu anak-anak tetapi ada ketikanya anak-anak perlu mencuba dan melakukan kesilapan.






Daripada kesalahan dan kesilapan inilah mereka belajar. Ketika anak masih bayi, apabila dia mula pandai berjalan maka dia mula belajar naik tangga.






Biasanya ibu bapa akan terus dukung anaknya dan bawa naik ke tingkat atas sebab takut anak jatuh. Ibu bapa yang prihatin sebaliknya akan mengawasi dan membiarkan anak-anaknya menapak satu anak tangga ke anak tangga yang lain. Dari situ anak itu belajar.







2. Biarkan anak dimarahi guru apabila mereka melakukan kesalahan.






Ada ibu bapa yang sanggup menghantar buku latihan anaknya semula ke sekolah kerana bimbang anaknya dimarahi guru atau didenda.






Mungkin jika itu kesalahannya yang pertama, kita hulurkan bantuan dengan menghantar buku itu ke sekolah tetapi bagaimana jika masalah yang sama dilakukan si anak? Bermakna anak kita membentuk satu tabiat tidak bertanggung jawab.






Oleh itu, biarkan anak dimarahi dan didenda gurunya. Dari situ, dia belajar dan menjadi seorang yang berani menerima kesalahan dan berhadapan dengan risiko. Ibu bapa usah campur tangan.






3. Berikan anak-anak peluang bergaul.




Dunia internet hari ini meluaskan pergaulan anak-anak. Mereka boleh kenal sesiapa melalui laman sembang, facebook dan twitter.






Namun, pergaulan bentuk ini tidak sama seperti pergaulan secara langsung. Anak-anak tidak boleh dikurung di rumah dan dihalang daripada keluar bersosial. Biarlah anak berkawan asalkan kita tahu siapa rakannya, ibu bapa mereka, aktiviti yang dilakukan serta lokasi pertemuannya.






Pada masa sama lakukan pemantauan sebab kita tidak mahu anak-anak terbabit
dengan aktiviti tidak sihat.






4. Dedah anak-anak dengan aktiviti lasak.






Aktiviti lasak seperti ‘flying fox’, panjat dinding batu, berkuda, memanah dan berenang dapat meningkatkan keberanian dalam diri anak.






Bayangkan di barat ada aktiviti ‘bungee jumping’. Aktiviti ini memerlukan kaki kita diikat dan kemudian terjun dari satu kedudukan yang tinggi langsung ke bawah. Pasti menakutkan dan menggerunkan.






Tetapi, apabila selesai mencuba, pastilah keberanian diri meningkat. Sebenarnya banyak lagi aktitivi yang boleh dilakukan bagi menguji keberanian anak-anak. Misalnya adakah anak kita berani naik ‘roller coaster’ atau sentiasa mengelak.






Jadikanlah anak kita seorang yang lasak dan berani kerana ia penting dalam pembentukan jati diri mereka.







5. Bawa anak ke majlis orang dewasa.




Berikan anak-anak bergaul dengan orang tua atau mereka yang lebih dewasa daripada usianya.





Berikan dia ruang bertanya dan bercerita.






Pengalaman ini akan menjadikan dia seorang yang berani berdepan dengan orang ramai nanti.






Ada ibu bapa yang masih berpegang pada kepercayaan bahawa membawa anak-anak ke majlis orang tua sebagai kurang adab.






Kita tengoklah apa bentuk majlisnya itu. Memang ada yang tidak sesuai di bawa anak. Tetapi jika majlis menyambut bayi, hari lahir, kenduri atau perkahwinan, bawalah mereka.






6. Latih anak mengambil risiko.






Anak-anak perlu dilatih agar berani mengambil risiko. Ini bukan bermakna mereka melakukan sesuatu pekerjaan secara membuta tuli.






Ada bezanya melakukan kerja bahaya dengan kerja berisiko.






Memanjat pokok itu kerja berisiko tetapi jika bergayut di dahan tinggi tanpa sebarang langkah keselamatan, itu kerja berbahaya.






Begitu juga memberi peluang anak remaja belajar membawa motosikal itu kerja berisiko tetapi membiarkannya membawa motosikal tanpa memakai topi keledar dan memecut laju itu kerja berbahaya.






7. Bercakap secara positif.





Bagi menanamkan keberanian dalam diri anak, ibu bapa perlu bercakap secara positif dan sentiasa menunjukkan pada anak kita yakin serta percaya akan kebolehan dirinya.






Anak-anak juga perlu tahu dan sedar yang ibu bapanya bersedia menerima kekurangan, kesalahan dan kesilapan mereka dengan hati yang terbuka asalkan belajar sesuatu dari pengalaman itu.






Sifat terbuka ibu bapa penting bagi menjadikan anak-anaknya seorang yang berani mencuba dan bertindak.






Sebenarnya, sifat berani itu boleh dididik.






Dalam program Motivasi Alihan Pelajar, anak-anak dilatih berani tampil di pentas dan bercakap di khalayak ramai hinggakan ada ibu bapa yang menitiskan air mata terharu melihat perubahan anaknya.






Tetapi, ibu bapa perlu berkorban sedikit bagi memastikan anak-anaknya lebih berani selepas ini.






Dengan memasukkan anak-anak ke program Motivasi Alihan Pelajar, ibu bapa akan mendapati anak-anak mereka lebih bersedia berbanding pelajar lain.






Motivasi Alihan Pelajar adalah satu program motivasi yang wujud sejak 1995.






Program yang diadakan mampu membuka mata dan menggerakkan hati serta meningkatkan kemahuan anak-anak bagi mencapai kecemerlangan.






Hubungi 03-22734622/016-5580719 atau 05-3134622/016-5580619 atau layari laman web kami di www.laman-map.com untuk maklumat lanjut.












Sumber











Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...