Terus berjuang mendidik anak bangsa tanpa mengira agama, bangsa, dan warna kulit. Semoga anak didik menjadi anak Malaysia. Berwawasan, berilmu, berdaya saing, majulah negaraku Malaysia.
Sunday, January 22, 2012
Saturday, January 21, 2012
Tabiat merosakkan kulit

Tabiat merosakkan kulit
Tanpa disedari kadang kala sesetengah tabiat seharian kita memberi kesan buruk pada kulit termasuk berjerawat, kusam dan kering tidak bermaya. Antara tabiat buruk tersebut termasuklah:
Bercakap di telefon terlalu lama
Menjadi kebiasaan kita meletakkan telefon bimbit di sebarang tempat termasuk di tempat-tempat berdebu seperti dalam beg, atas meja, dalam kereta dan sebagainya. Tanpa disedari ia boleh menyebabkan jerawat pada muka apabila pipi bersentuhan dengan telefon akibat bercakap di talian terlalu lama. Untuk mengelakkannya lap dulu telefon sebelum menggunakannya.
Kerap mengerutkan mata
Tabiat sesetengah daripada kita tidak gemar mengenakan kaca mata atau lensa sesentuh walaupun penglihatan agak kabur. Ini membuatkan anda mengerutkan muka dan mengecilkan mata untuk melihat objek dengan lebih jelas. Jika perbuatan ini berlarutan kesannya kulit akan cepat berkerut dan kelihatan tua.
Penggunaan penyembur rambut (hair spray)
Banyak yang menggunakan tapak tangan untuk melindungi mata ketika menggunakan penyembur rambut. Tapak tangan tidak dapat melindungi seluruh wajah kerana partikal-partikal kecil daripada penyembur rambut akan menembusi celah-celah jari dan melekat pada wajah yang boleh menjejaskan kulit. Seeloknya gunakan tuala bersih untuk melindungi wajah ketika menggunakan penyembur rambut.
Malas mengganti sarung bantal
Ketika tidur, sel-sel kulit mati di wajah akan melekat pada sarung bantal. Lama kelamaan ia menebal dan timbul bakteria. Jadi jika malas mengganti sarung bantal bermakna anda tidur di atas timbunan bakteria.
Kerap mandi air panas
Mandi air panas memang nikmat. Tapi jika terlalu kerap dan tempohnya terlalu lama, lapisan luar epidermis akan terkikis dan kulit akan jadi sangat kering. Kulit kering lebih cepat kendur dan berkedut.
Ukhuwah dibajai kasih sayang serlah keikhlasan

Ukhuwah dibajai kasih sayang serlah keikhlasan
Umat hidup saling membantu dapat membangunkan Islam di persada dunia
UMAT Islam selalu dirujuk sebagai saudara seagama atau umat bersaudara kerana silaturahim yang terikat kemas oleh kepercayaan yang satu serta cara hidup sama dipandu oleh al-Quran dan hadis.
Dalam konteks yang lebih besar, umat Islam bersaudara walau tanpa pertalian darah dan kaitan kerabat. Persaudaraan atau sering disebut ukhuwah, datangnya daripada kesedaran bahawa setiap individu tidak akan mampu bersendirian kerana saling memerlukan adalah asas kekuatan bagi setiap umat Islam. Meskipun begitu, ukhuwah hanya menjadi ikhlas sekiranya kita ikhlas membajai hati dengan rasa kasih dan sayang kepada saudara seagama. Perasaan tersebutlah yang memungkinkan kita mempercayai antara satu sama lain.
Hasil daripada sifat kepercayaan terhadap saudara pula akan membawa kepada pembelaan terhadap setiap perilaku saudara seagama terutama yang baik, dan cuba membantu dalam konteks kekeluargaan sekiranya perilaku itu tidak baik, tanpa perlu menghebahkannya kepada masyarakat yang tidak menganggap mereka sebagai saudara. Ini kerana ukhuwah akan mengatasi rasa benci, menjauhi hasad dengki dan caci maki sesama insan, sebaliknya menyuburkan kebaikan dan mendekatkan manusia kepada cara hidup yang bertoleransi.
Ukhuwah amat penting dalam agama. Itulah asas yang menjadikan umat Islam bersatu dan menjernihkan yang keruh, bukan membuka jalan keaiban terhadap kekurangan dan kelalaian orang lain. Anggaplah saja sebarang kesilapan manusia sebagai lumrah dalam meniti hidup sebagai manusia, bukan menambahkan lagi rasa benci hingga sebahagian besar umat Islam hari ini saling bermusuhan, bukan saling bersaudara. Bukanlah bermakna masalah dalam setiap perhubungan insan adalah petanda kehancuran Islam, tetapi darjat persaudaraan amat penting untuk mengharmonikan setiap manusia yang menjunjung al-Quran.
Rasulullah SAW dan sahabat contohnya, telah menyemai rasa kasih dan sayang sesama mereka hingga sanggup memperjudikan nyawa untuk mempertahankan nyawa saudara yang lain. Rasulullah SAW juga memulakan pembinaan Madinah dengan persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar, hingga mereka bersatu dan mengumpul kekuatan yang akhirnya menjadikan Islam teguh di persada dunia.
Melalui persaudaraan, umat Islam akan saling bekerjasama dan menolak kepentingan diri demi membina kemajuan agama dan umatnya, terutama supaya keamanan dapat dipertahankan yang sekali gus memungkinkan tanggungjawab terhadap Allah SWT dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Allah SWT merakamkan kisah itu dalam Surah Al-Hasyr, ayat ke-9 yang bermaksud:
“Dan orang Ansar yang mendiami negeri (Madinah)
serta beriman sebelum kedatangan mereka (orang Muhajirin)
mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka
dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berkehendakkan
kepada apa yang telah diberikan kepada orang yang berhijrah itu,
dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu
lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam keadaan
kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan sesiapa
yang menjaga serta memelihara dirinya daripada
dipengaruhi oleh tabiat bakhil maka merekalah
orang-orang yang berjaya.”
Oleh kerana itulah Rasulullah SAW yang hanya seorang manusia yang terbatas sifatnya dilantik Allah SWT untuk membawa banyak peranan dalam kehidupan. Hikmahnya ialah supaya umat Islam sehingga ke penghujung zaman pun boleh mengambil iktibar daripada setiap tindak tanduk Rasulullah, sama ada sebagai seorang pemimpin keluarga, masyarakat, sahabat, guru, usahawan, petani, panglima perang, hakim, pengembara, peneroka, malah sebagai seorang umat yang paling taat kepada suruhan Allah SWT.
Tetapi sekiranya hakikat ini tidak dipeduli, alangkah ruginya kita bernabikan baginda Rasulullah SAW, yang susur galur hidupnya menjelaskan secara terperinci kehidupan sebagai seorang Muslim yang sebenar. Bukan itu saja, keutamaan dijanjikan oleh Allah SWT kepada setiap orang mempertahankan ukhuwah akan hilang begitu saja, sedangkan Allah SWT menjanjikan kemanisan iman dan pengampunan dosa buat mereka yang bersaudara dan bersatu kerana akidah yang satu. Allah SWT juga menjanjikan naungan arasy.
Sumber
Ruang pejabat bersih tingkat prestasi pekerja

Ruang pejabat bersih tingkat prestasi pekerja
Amalan membudayakan kebersihan jadi terapi minda, kekang tekanan tugas
KEBERSIHAN adalah tunjang agama dan sebahagian daripada iman. Ia amat dititikberatkan dalam segenap aspek kehidupan. Buktinya, ajaran Islam memperkenalkan sistem kebersihan secara khusus melalui amalan kebersihan.
Sabda Rasulullah SAW daripada Ibn Mas’ud:
“Sesungguhnya Allah itu cantik (indah) dan bersih.
Dia amat mencintai kepada perkara yang cantik (indah) dan bersih.”
Manakala firman Allah yang bermaksud:
“Hai orang yang berselimut.
Bangunlah, lalu berilah peringatan!
Dan Tuhanmu agungkanlah.
Dan pakaianmu bersihkanlah.”
(Surah al-Mudatthir, ayat 1-4)
Bahkan, dalam kitab fiqh ulama selalu meletakkan bab taharah (kebersihan) pada bab yang pertama tetapi sayangnya isu kebersihan dalam kalangan umat Islam sendiri masih belum berkesudahan. Walaupun setiap hari kita berwuduk dan mandi, namun amalan itu belum menjamin pembudayaan kebersihan khasnya di tempat awam termasuklah di tempat kerja sendiri.
Contoh ketara ialah kebersihan tandas di surau dan masjid yang rata-ratanya masih belum memuaskan. Ada kala lebih buruk dan kotor daripada tandas awam. Ada juga ruang solat yang kotor dengan tahi cicak, habuk, sampah serta sejadah, telekung dan kitab tidak tersusun kemas. Malang sekali apabila kebersihan rumah milik umat Islam ini masih belum boleh dibanggakan.
Justeru, perlulah diingat bahawa kebersihan bukan perkara ranting sebaliknya ia adalah perkara pokok mesti diutamakan dalam soal kerohanian dan peribadatan serta diberi keutamaan dalam urusan kehidupan.
Teori pengurusan organisasi menunjukkan kebersihan ruang pejabat dan persekitarannya bukan saja perlu untuk kelihatan kemas serta cantik, tetapi ia memberi sekurang-kurangnya tiga kesan penting iaitu meyakinkan pelanggan terhadap kualiti pengurusan serta memberi dorongan motivasi kepada pekerja.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya kamu akan berjumpa saudara kamu,
maka perelokkanlah bekalan kamu dan pakaian kamu
sehingga kamu menjadi tahi lalat dalam kalangan manusia.
Sesungguhnya Allah tidak menyukai perkataan dan perbuatan
yang keji dan keterlaluan dalam perkataan dan perbuatan.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Menurut Dr Mustafa al-Khin dalam Fiqh al-Manhaji, maksud menjadi tahi lalat dalam kalangan manusia dalam hadis ini ialah menonjol dan berbeza daripada yang lain kerana kebaikannya atau membentuk imej yang nantinya akan menjadi ikutan.
Penekanan terhadap aspek kebersihan dan kekemasan persekitaran ruang fizikal membabitkan peralatan, jentera, kemudahan kerusi, meja, rak fail, tandas dan sebagainya boleh dilakukan dengan mempraktikkan amalan 5S yang diperkenalkan dalam organisasi di Jepun.
Amalan 5S itu ialah seiri, seiton, seiso, seiketsu dan shitsuke. Kesemuanya bermaksud sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa praktik.
Sisih bererti mengasingkan apa yang perlu dan tidak perlu. Apa yang tidak perlu itu boleh dibuang atau dilupuskan bagi menjimatkan ruang. Kemudian, semua perlu disusun atur dan diseragamkan dengan pelbagai sistem penyimpanan seperti angka, abjad atau warna supaya memudahkan urusan mencari serta menyimpan dokumen.
Ruang dan peralatan yang ada juga hendaklah sentiasa dijaga kebersihannya dengan sentiasa disapu. Mudahnya, kita boleh memulakan sendiri dengan menjadikan amalan menyapu ruang, menyusun fail dan membuang sampah di meja sendiri sebelum atau selepas memulakan kerja sebagai tabiat setiap hari.
Ruang yang bersih, kemas lagi cantik itu akan menjadi terapi minda yang baik untuk mendorong minat kita berada di pejabat dan bekerja dengan sistematik, cekap serta cepat. Ia juga memberikan pandangan mata dan fikiran tenang, sekali gus memudahkan lahirnya idea lebih kreatif, keputusan adil serta komunikasi menyenangkan.
Semua ini sudah tentu akan mewujudkan suasana seronok dan selesa di tempat kerja selain memberi keselesaan kepada pelanggan dan imej baik kepada organisasi.
Justeru, marilah sama-sama kita menjadi pekerja dan individu yang prihatin terhadap aspek kebersihan dan kekemasan serta membudayakan sifat ringan tulang untuk menjaganya di mana juga kita berada.
Semakin kita mengutamakan kebersihan semakin baiklah perjalanan pengurusan dan semakin baik perjalanan pengurusan akan semakin baiklah hubungan kita sesama manusia serta hubungan kita dengan Pencipta.
Penulis ialah pensyarah di
Jabatan Siasah Syar’iyyah,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya (UM)
Friday, January 20, 2012
Guru Bahasa Inggeris AS kunjungi Najib
Guru Bahasa Inggeris AS kunjungi Najib
Persidangan Antarabangsa Gerakan Kesederhanaan Global 2012 (GMM)
di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan (duduk dari kiri)
Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Kamal Hassan, Khalek Awang,
Tan Sri Razali Ismail dan Tan Sri Mohamed Jauhar Hassan.
PUTRAJAYA 19 Jan. – Sekumpulan guru Bahasa Inggeris Fullbright dari Amerika Syarikat (AS) membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di pejabatnya, di sini hari ini.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) itu yang tiba di Kuala Lumpur pada 4 Januari akan ditugaskan ke Johor, Pahang dan Terengganu selama 10 bulan mulai 31 Januari ini.
Dalam ucapannya, Najib berkata, hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat, semuanya adalah mengenai manusia.
“Semuanya mengenai kita, rakyat Malaysia dan Amerika yang mahu bekerjasama, yang mahu bertukar-tukar mengenai apa jua kekuatan yang kita ada. Apa cara yang lebih baik daripada dalam bidang pendidikan kerana pendidikan merupakan satu perkara yang benar-benar membawa perbezaan,” katanya.
Program ETA meningkat tiga kali ganda tahun ini berdasarkan kepada perkongsian komitmen Presiden AS, Barack Obama dan Najib bagi memperluaskan program pertukaran rakyat dengan rakyat antara AS dan Malaysia.
Najib berkata, Malaysia memberikan penekanan kepada bahasa Inggeris kerana ia amat penting bagi rakyat Malaysia untuk mempunyai daya saing.
“Ia akan menjadi langkah penting ke arah itu kerana apabila kita ada rakyat Amerika mengajar anak-anak kita, saya yakin anak-anak kita akan lebih bermotivasi dan mendapat inspirasi,” katanya. — BERNAMA
Thursday, January 19, 2012
Sekolah Menengah Sains BP beroperasi Jun
Sekolah Menengah Sains BP beroperasi Jun
BATU PAHAT 17 Jan. - Sekolah Menengah Sains Batu Pahat yang sebelum ini disenaraikan sebagai 'projek sakit' dua tahun lalu, akhirnya berjaya disiapkan dan dijadual mula beroperasi Jun depan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sekolah yang dibina dengan kos RM45 juta pada 2007 itu akan menerima kemasukan pertama seramai 150 pelajar tingkatan satu.
Menurutnya, kemasukan sepenuhnya pelajar dijangka pada Januari tahun depan dan sekolah itu mampu menempatkan 900 pelajar tingkatan satu hingga lima bersama 68 guru.
Beliau berkata, sekolah itu dilengkapi dengan kemudahan 30 kelas, stadium mini dan sebuah dewan untuk kegunaan warganya.
"Sekolah ini sepatutnya disiapkan pada September 2009 dan dilanjutkan hingga April tahun lalu tetapi pihak kontraktor masih gagal berbuat demikian kerana menghadapi masalah kewangan.
"Dulu ia dianggap sebagai projek sakit, tetapi kita telah lantik kontraktor penyelamat yang berjaya menyiapkan projek ini seperti dijanjikan," katanya selepas melawat sekolah itu hari ini.
Mohd. Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, sekolah itu yang siap sepenuhnya kini dalam proses memasukkan kelengkapan sekolah termasuk perabot.
Sekolah Menengah Sains Batu Pahat adalah salah sebuah daripada 64 sekolah berasrama penuh di seluruh negara dengan jumlah pelajar melebihi 39,000 orang.
Menurutnya, sebanyak 50,000 permohonan untuk memasuki sekolah menengah sains diterima di seluruh negara pada 2009 tetapi kementeriannya hanya mampu mengambil 6,000 pelajar akibat masalah kekurangan kemudahan termasuk disebabkan projek terbengkalai.
Katanya, sebanyak enam kontraktor disenarai hitam kerana gagal menyiapkan projek pembangunan Kementerian Pelajaran di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) membabitkan peruntukan keseluruhan RM180 juta.
Syarikat tersebut terlibat dalam enam projek dan ia merupakan sebahagian daripada 45 projek 'sakit' daripada keseluruhan 14,181 projek di bawah kementerian tersebut.
Kuala Lumpur tuan rumah Olimpik Robot Dunia 2012
Kuala Lumpur tuan rumah Olimpik Robot Dunia 2012
Lee Kai Cen (tiga dari kanan), Nicholas Goon Choong Ming dan Parvin Suthan (dua dari kiri)
pada pra pelancaran Kuala Lumpur World Robot Olympiad (WRO) 2012
dan pelancaran laman web rasmi WRO 2012 di Kuala Lumpur, semalam.
Turut kelihatan Dr. Wee Ka Siong (belakang tengah), Abdul Ghafar Mahmud (kiri)
dan Pengarah Urusan Sasbadi Sdn. Bhd., Law King Hui (kanan). - BERNAMA
PUTRAJAYA 18 Jan. - Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah kejohanan Olimpik Robot Dunia (WRO) 2012 bertemakan Nurturing 21st Century Skills yang bakal berlangsung pada 9 hingga 12 November depan.
Sebanyak 400 pasukan dari 40 buah negara di seluruh dunia dijangka menyertai kejohanan yang berupaya meningkatkan minat para pelajar terhadap sains dan teknologi, robotik serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).
Acara tahunan sejak 2004 itu memberi peluang kepada peserta meningkatkan kemampuan diri dengan menggunakan teknologi secara inovatif dan kreatif dalam penyelesaian masalah.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran menyempurnakan majlis pra pelancaran WRO 2012 dan pelancaran laman web rasmi www.wro2012.org di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.
WRO merupakan kemuncak kepada Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) yang dianjurkan sejak 2005 oleh Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Sasbadi Sdn. Bhd. dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi program perkongsian pintar antara pihak kerajaan dan swasta.
Pada tahun lalu, di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), kontinjen Malaysia yang dianggotai 65 peserta membawa pulang masing-masing satu pingat emas, perak dan gangsa serta enam Anugerah Kecemerlangan selain menenangi anugerah khas, Best Technical Award.
Peluang sebagai tuan rumah WRO 2012 diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang berdaya saing dalam bidang sains dan teknologi melalui penubuhan kelab robotik di sekolah-sekolah.
Ia bagi membolehkan kementerian membentuk 50 pasukan robotik yang mantap untuk bersaing dalam kejohanan tersebut.
Wednesday, January 18, 2012
Asas tauhid mesti diterap kukuh dalam pendidikan anak
Asas tauhid mesti diterap kukuh
dalam pendidikan anak
SABAN hari pelbagai masalah sosial dipaparkan dalam media cetak mahupun elektronik. Kes buang bayi yang tidak nampak kesudahannya, sumbang mahram, saudara kandung memperkosa ahli keluarga, hilang kewarasan akal hingga ada membunuh dan menyembelih anak sendiri.
Ini menggambarkan betapa masyarakat hari ini sedang mengalami penyakit jiwa yang agak parah.
Kebijaksanaan Lukman ditunjukkan melalui pendidikan diterapkan dalam diri anaknya. Beliau mengguna kaedah sangat lembut melalui nasihat dan perbicaraan secara halus kepada anaknya. Perkara asas ditekankan Lukman al-Hakim adalah penegasan kepada konsep tauhid melalui larangan melakukan syirik kepada Allah SWT yang bertepatan dengan konsep ‘awal agama ialah mengenal Allah’. Ini juga berkait rapat dengan amalan azan dan iqamah yang dilaungkan ke telinga bayi sejurus selepas kelahirannya.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Mulakan kepada anak kamu dengan kalimah La ila ha illallah.” Rasulullah SAW juga bersabda maksudnya: “Didiklah anakmu dengan tiga perkara iaitu mencintai nabinya, mencintai ahli bait (keluarganya) dan bacaan al-Quran kerana ahli al-Quran itu mendapat naungan Allah pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya bersama nabi.”
Asas Tauhid ini boleh diterapkan ke dalam diri anak melalui bisikan dan penerangan jelas terhadap perkara yang berlaku di persekitaran antaranya kejadian hujan yang boleh menumbuhkan tumbuhan, pertukaran malam dan siang, kejadian bulan dan bintang serta proses kejadian manusia. Lukman al-Hakim juga menerangkan kepada anaknya konsep ihsan yang disebutkan Rasulullah SAW sebagai ‘engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Allah, walaupun engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat engkau.”
Ayat disebutkan Lukman kepada anaknya menjelaskan bahawa setiap perlakuan hamba dalam pengetahuan dan kekuasaan-Nya juga walaupun sehalus biji sawi tetap dalam ilmu-Nya. Justeru, anak perlu dididik berbuat kebajikan dan diterangkan kepadanya balasan baik kepada perbuatan baik, serta perbuatan buruk bagi setiap kesalahan dan dosa.
Konsep ihsan jika diaplikasi dalam kehidupan anak sejak kecil pasti akan dapat membentuk sikap jujur, berkata benar dan tidak khianat. Dalam ayat selanjutnya, Lukman al-Hakim memfokuskan kepada beberapa adab mulia dalam kehidupan sebagai seorang anak iaitu berbuat baik dan menghargai jasa kedua-dua ibu bapa. Seterusnya beberapa adab dan akhlak mulia diajar Lukman kepada anaknya antaranya suruhan melaksanakan solat, mengajak kepada makruf dan mencegah daripada kemungkaran, bersabar menerima ujian, larangan berlagak dan berjalan seperti orang sombong.
Suruhan melaksanakan solat adalah tanggungjawab besar ibu bapa terhadap anak. Rasulullah SAW menegaskan hal ini berdasarkan sabda yang bermaksud: “Suruhlah anakmu melaksanakan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, pukullah jika mereka enggan melaksanakannya jika mereka sudah berusia sepuluh tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur (jika berlainan jantina).”
Begitu juga adab lain yang ditekankan Lukman kepada anaknya itu menggambarkan betapa perlakuan baik ini perlu dimulakan pada peringkat awal kanak-kanak. Bak kata pepatah Melayu, ‘melentur buluh, biarlah dari rebungnya’. Untuk berjaya mendidik, ikutlah cara mereka yang telah berjaya. Lukman al-Hakim telah menunjukkan jalannya, terpulang bagaimana untuk melaksanakannya dalam kehidupan. Jika semua memahami dan mengambil pendekatan ini, ia dapat menyelesaikan penyakit sosial masyarakat.
Penulis ialah Penolong Pengarah Pusat Pemantapan Akidah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jelebu, Negeri Sembilan
Sumber
Ibadat wajib perlu ditekankan untuk banteras gejala sosial
Solat berkesan bentuk akhlak anak
sejak dari kecil supaya amalan wajib itu sebati dalam diri mereka. - Gambar hiasan
ANAK ialah aset ibu bapa yang sangat bernilai. Mereka diibaratkan permata berharga dianugerahkan Allah SWT. Anak juga menjadi faktor pendorong bagi ibu bapa untuk masuk ke syurga.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila matinya seorang manusia, terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan anak salih yang mendoakan untuknya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Menuntut ilmu (agama) adalah fardu ke atas setiap orang Islam.” (Hadis riwayat Imam al-Baihaqi dan at-Thabrani) Kita melihat ramai ibu bapa hari ini mengabaikan pengajian ilmu agama kepada anak. Mereka sanggup menghabiskan wang bagi memastikan anak cemerlang dalam akademik yang bersifat duniawi tetapi tidak risau anak jahil ilmu ukhrawi.
Mereka menyangka ilmu dunia yang membantu anak untuk hidup di dunia ini sedangkan ilmu agama yang sebenarnya memandu kehidupan anak di dunia mahupun di akhirat. Ilmu agama yang membimbing anak mempelajari ilmu dunia serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Akibat kecuaian ibu bapa, tidak hairanlah jika kita lihat hari ini ramai anak orang Islam semakin liar, tidak menutup aurat dan mudah terjebak dalam maksiat serta kemungkaran lantas menggembirakan musuh Islam kerana umat Islam semakin lemah dan lalai akibat kebejatan sosial semakin parah.
Sememangnya itu yang diimpikan musuh seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju kepadamu (Muhammad) sebelum engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): Sesungguhnya petunjuk Allah SWT itu petunjuk yang benar. Jika engkau mengikuti keinginan mereka sesudah datangnya pengetahuan kepadamu (mengenai kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah SWT (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 120)
Selain itu, ibu bapa juga perlu memastikan anak sentiasa mendirikan solat dan menjaga ibadat wajib yang lain. Rasulullah SAW berpesan kepada kita supaya mengambil berat perihal solat anak.
Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Suruhlah anak kamu mengerjakan solat apabila dia berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika enggan mengerjakan solat, sedangkan mereka telah berumur 10 tahun.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim)
Di samping mendidik anak sentiasa ingat kepada Allah SWT, solat menjadi benteng daripada keruntuhan akhlak dan gejala sosial. Ini melihat kepada kekuatan yang ada pada solat dalam mencegah manusia melakukan dosa dan kemungkaran.
Adalah mustahil jika kita hendak mengekori anak ke mana saja mereka pergi tetapi jika kita berjaya mendidik anak, yakinlah bahawa sekalipun tanpa kehadiran kita, mereka akan tetap istiqamah dengan kebaikan kerana solat mencegah daripada melakukan kejahatan serta maksiat.
Kesimpulannya, ibu bapa memainkan peranan penting mendidik anak yang diibarat kain putih dan ibu bapa bertanggungjawab mencorakkannya berpaksikan ajaran agama.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, kedua-dua orang tuanya yang menjadikannya sebagai Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, setiap ibu bapa perlu sedar peranan dan tanggungjawab supaya generasi muda masa kini sentiasa hidup dalam keadaan tunduk dan patuh kepada pencipta-Nya, serta tidak melanggar syariat ditetapkan untuk melahirkan masyarakat Muslim seterusnya terbina negara yang mendapat keredaan dan perlindungan Allah SWT.
Tuesday, January 17, 2012
Kematian bapa punca gangguan emosi

Kematian bapa punca gangguan emosi
SHAWN anak tunggal kepada pasangan Mah Chen. Mereka tinggal di Bandar Utama sejak Shawn masih kecil. Bapa Shawn meninggal akibat tertembak dalam satu rompakan bersenjata di Bangsar empat tahun yang lalu. Pada waktu itu bapanya bekerja sebagai pengawal di pusat simpanan barang kemas.
Sejak itu Shawn tinggal dengan ibunya yang menjadi tukang jahit di Bandar Utama. Kini Shawn sepatutnya di tingkatan tiga. Sejak kematian bapanya Shawn sering termenung dan kurang bergaul dengan rakan sebaya. Di sekolah Shawn kurang aktif tetapi hanya menumpukan kepada tugas dirinya sahaja. Shawn sangat berminat menjadi polis, saban hari Shawn akan pergi ke balai polis dan melihat anggota polis itu bertugas dan berbincang. Bila kembali ke rumah dia meniru gaya polis beraksi.
Satu petang Shawn tiba-tiba menjerit dan mengamuk, seolah-olah sedang bergelut dengan seseorang. Ibunya dalam keadaan ketakutan, terkejut dan memanggil jirannya yang kebetulan anggota polis yang baru pulang daripada bertugas untuk membantu memujuk. Shawn memeluk erat jirannya yang datang dengan beruniform. Shawn dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Selepas kejadian itu Shawn beberapa kali ditemui mengamuk dan polis datang membantu. Apabila ditanya Shawn memberitahu dia diserang dan polis datang membantu.
Tindakan:
Gangguan ini telah mengugat pembelajaran Shawn. Pegawai jabatan menasihati ibu Shawn supaya menempatkan Shawn ke sekolah terhampir dengan rumah dan membuat permohonan turun kelas untuk memberikan peluang kepada Shawn menyediakan diri menghadapi peperiksaan.
i. Ibu Shawn perlu mengemukakan dokumen sokongan mengikut Seksyen 96. Tulisan dan perbahasan berkenaan dengan tulisan adalah termasuk cetakan, litografi, tulisan taip, gambar, foto dan lain-lain acara menyatakan atau menurunkan perkataan, rajah dan angka dalam bentuk yang boleh dilihat.
ii. Mengarahkan pengetua dan pihak sekolah membantu menyediakan kemudahan pembelajaran murid ini untuk memastikan murid ini tidak mengalami keciciran.
iii. Shawn mengalami tekanan sakit jiwa yang serius dan perlu mendapat rawatan "Brain Mind Specialist''.
iv. Memandangkan tempoh rawatan yang lama dan belum menunjukkan perkembangan positif ibunya memohon dia diturunkan ke tingkatan dua.
Pengajaran:
Untuk melupakan kenangan indah bersama bapa bukan sesuatu yang mudah. Walaupun mereka sekeluarga hidup dalam suasana sangat sederhana tetapi telah memberikan kenangan manis yang tak mungkin dapat dirasai kembali. Shawn sentiasa merindui saat manis itu besama orang yang bergelar bapa. Ibu Shawn mungkin hanya mengisahkan sejarah manis bersama bapanya tetapi detik itu sudah tinggal dalam lipatan sejarah.
Persoalan:
i. Perlukah ibu Shawn mengambil surat sumpah atau Sijil Perakuan Perubatan untuk membuktikan status kesihatan anaknya?
ii. Walaupun Shawn telah dirawat tetapi dia masih belum berupaya menghadapi pembelajaran di sekolah. Wajarkah pengetua menzahirkan kebimbangan murid ini akan menjejaskan pembelajaran murid lain?
iii. Bagaimana sistem paling mampan membantu mengawal anak remaja yang hilang kestabilan emosinya?
Akhirnya:
Shawn dan ibunya perlu belajar berdikari sebagai seorang yang sedang mendapatkan rawatan minda. Keluarga Shawn perlu menyesuaikan diri membina kehidupan demi masa depan yang mencabar. Walau bagaimanapun sebagai seorang ibu Mah Chen bersedia menghadapi situasi kritikal dan membantu anaknya.
Kesungguhan ibu Shawn memberikan gambaran bahawa kasihnya tidak pernah terjejas walaupun kecacatan anaknya ketara dan terbukti serius.
Nasihat:
Shawn memerlukan seorang yang mampu menasihati, membimbing dan meyakinkan dirinya. Shawn bukan murid yang nakal tetapi dia terlalu merindui bapanya yang telah lama meninggal dunia. Ibu Shawn perlu terus membantu di samping bekerja dan membina kehidupan baru.
NUTP mahu dilibatkan dalam semakan semula SBPA
NUTP mahu dilibatkan dalam semakan semula SBPA
PUTRAJAYA, 16 Jan.- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu kesatuan itu dilibatkan dalam pasukan petugas khas yang diwujudkan bagi menyemak semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, penglibatan itu dirasakan amat perlu memandangkan NUTP mewakili sejumlah besar guru di seluruh negara.
"Kita juga telah pun mengumpulkan maklumat serta maklum balas yang diterima, untuk dikongsi dengan pasukan tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jumaat lepas, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Sidek Hassan mengumumkan penubuhan pasukan petugas itu yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.
Pasukan itu akan dianggotai pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan presiden Cuepacs serta pegawai kementerian berkaitan serta diberi tempoh dua bulan untuk menjalankan semakan semula SBPA.
Setiausaha Agung NUTP, Loke Yim Phing pula berkata, SBPA bukan semuanya tidak baik, cuma ada beberapa aspek dirasakan perlu diperbaiki.
Katanya NUTP akan terus memberikan penerangan kepada warga guru dengan menjemput wakil daripada Kementerian Pelajaran untuk memberikan penjelasan kerana ada beberapa perkara dalam pekeliling SBPA terlalu teknikal dan sukar difahami.
"Kita hendak mengelakkan guru keliru seterusnya terpengaruh dengan kenyataan dalam blog yang bermacam-macam," katanya. - BERNAMA
Monday, January 16, 2012
Menuju kecemerlangan pada hari pertama persekolahan

Pelajar cemerlang bermula awal
SESI persekolahan 2012 sudah bermula. Pastinya pelajar sibuk menyesuaikan diri dengan pelajaran dan sekolah masing-masing.
Pelajar cemerlang ialah mereka yang cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran dan rakan baru. Ada pelajar yang baru masuk sekolah iaitu mereka di tahun satu.
Ada pula yang memulakan hidup di sekolah berasrama penuh. Tidak kurang pula ramai pelajar dapat guru kelas yang baru.
Apa sekalipun suasana dan keadaannya, pelajar mestilah berusaha memulakan langkah menuju kecemerlangan pada hari pertama.
Ramai pelajar yang berasakan hari pertama atau minggu pertama, itu tidak penting. Malah, ada yang ponteng kelas atas alasan guru belum mengajar lagi. Tanggapan sebegini adalah satu kesilapan.
Minggu pertama adalah penting kerana masa ini guru sibuk menyusun banyak perkara seperti jadual sekolah, melantik ketua kelas dan penolong, melantik ahli jawatankuasa kelas dan memaklumkan buku tambahan yang perlu dibeli.
Jika pelajar tidak hadir ke kelas, banyak maklumat yang tidak diperoleh dan mereka lambat menyesuaikan diri.
Berikut adalah beberapa langkah yang perlu diambil oleh para pelajar bagi memastikan mereka boleh mencapai kecemerlangan pada Tahun 2012 ini:
Tidur awal dan bangun awal. Pelajar perlu cukup segar dan bertenaga apabila berada dalam kelas dan di sekolah. Pelajar yang aktif akan mendapat banyak ilmu dan peluang untuk maju.
Ramai pelajar terutamanya pelajar yang tinggal di asrama mengantuk dalam kelas kesan dari kekurangan tidur.
Jika tidur awal, pelajar boleh bangun lebih awal, bersiap-siap awal dan ketika menunggu masuknya waktu Subuh sempat membuat sedikit ulangkaji tentang apa yang akan dipelajari pada hari tersebut.
Mulakan dengan niat dan ‘mindset’ seorang juara. Usaha dan tindakan kita bergantung kepada cara fikir kita. Kalau kita rasakan yang kita boleh maka kita pasti melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh.
Sebaliknya jika kita rasakan kita gagal, apa yang dilakukan hanya separuh hati.
Ikhlaskan hati belajar kerana mencari ilmu dan kerana Allah.
Soal berjaya atau tidak itu bukan urusan kita sebab hak manusia adalah berusaha dan hak Allah adalah menentukannya.
Tetapi Allah itu adil. Jika kita berusaha bersungguh-sungguh dan dengan cara yang betul maka hasilnya pastilah cemerlang.
Pastikan bersarapan pagi. Ramai pelajar ke sekolah tanpa bersarapan. Sarapan bagi seperti mengalas perut dengan sekeping roti dan minum segelas susu sudah mencukupi.
Sarapan pagi penting kerana ia mampu mencergaskan minda dan memberikan tenaga.
Mereka yang bersarapan secara tetap menikmati kehidupan berkualiti, tersusun, bersikap positif, lebih langsing dan memiliki daya tumpuan yang lebih baik.
Tumpuan sepenuhnya dalam kelas. Kejayaan dalam peperiksaan bermula dari dalam kelas. Ramai pelajar yang tidak memberikan tumpuan di awal sesi persekolahan kerana mereka berfikir apa yang diajarkan itu mudah dan tiada masalah untuk melakukan ulangkaji.
Tetapi, jika pelajar tidak memberikan tumpuan maka mereka tidak faham apa yang diajarkan. Jika apa yang dipelajari hari ini tidak difahami maka sukarlah untuk memahami apa yang diajarkan esok hari kerana memahmi prinsip asas, istilah, teori dan sebagainya itu penting.
Dengan memberikan tumpuan dari awal pelajar boleh mengenalpasti kelemahan dan masalahnya dalam matapelajaran sebelum ia menjadi serius.
Banyak bertanya dan selesaikan segala masalah dan perkara yang tidak faham segera. Satu tabiat pelajar kita ialah malu atau takut untuk bertanya. Sangka mereka apabila bertanya nanti dilabel sebagai bodoh, cuba mencari perhatian, gila glamer dan sebagainya. Akhirnya, mereka lebih selesa mendiamkan sahaja dan merelakan dirinya tidak tahu.
Pelajar sebenarnya punya beberapa pilihan untuk bertanya. Satu atau dua soalan mungkin boleh terus ditanya dalam kelas agar pelajar lain juga mendapat manfaat daripada apa yang disampaikan guru nanti.
Bagaimanapun, kalau soalan itu banyak, eloklah dibuat temu janji dengan guru dan berbincang dengannya di luar waktu kelas.
Sampai saja di rumah, siapkan dahulu kerja sekolah. Jadikan ini sebagai satu tabiat. Ramai pelajar tidak menyiapkan kerja sekolah kerana mereka tidak meletakkannya sebagai keutamaan. Malah, mereka tidak fikir kerja sekolah itu penting. Tujuan guru memberikan kerja sekolah bukanlah bagi menyusahkan, tetapi sebaliknya bagi memastikan pelajar membuat ulang kaji dan melakukan latihan bagi memperkukuhkan lagi kefahamam mereka apa yang diajarkan.
Rancang masa dan jadual belajar. Tanpa pengurusan masa yang betul pelajar sukar untuk cemerlang. Sebagai seorang pelajar banyak perkara dan aktiviti yang mesti dilakukan disamping masa untuk diri sendiri.
Aktiviti seperi menyiapkan kerja sekolah, kelas tuisyen, kelas agama, ulang kaji, kokurikulum, beriadah, keluarga dan sebagainya perlu diatur dengan baik agar tidak menjejaskan prestasi akademik.
Di samping itu jadual belajar juga perlu diatur bagi memastikan semua subjek selesai diulangkaji sebelum waktu peperiksaan nanti. Dengan merancang awal, pelajar dapat lihat pergerakannya sepanjang tahun dan ke mana hala tujunya tahun ini.
Ulangkaji awal. Cuba untuk lakukan ulang kaji seawal mungkin. Usah tunggu sehingga apa yang dipelajari sudah terlalu banyak baru mahu memulakan proses ulangkaji itu.
Belajar awal adalah bagi memahami, menguasai dan menyediakan nota peperiksaan.
Apa yang dibaca hari ini mungkin lupa esoknya. Itu perkara biasa.
Tetapi dengan sering mengulang kaji pelajar akan mudah mengingatinya dan tersimpan dalam memori jangka panjang. Pelajar yang melakukan ulang kaji awal akan lebih tenang, ceria dan teratur hidupnya.
Bagi memulakan langkah menjadi pelajar cemerlang pelajar, seseorang itu memerlukan satu dorongan agar tercetusnya momentum untuk bertindak ke arah kecemerlangan itu.
Seorang pelajar yang cemerlang juga perlu seimbang daripada segi pembangunan minda, jiwa dan rohani.
Justeru, ibu bapa perlu berkorban sedikit bagi memastikan anaknya bersedia menghadapi 2012 ini seawal mungkin.
Dengan memasukkan anak ke program motivasi seperti Motivasi Alihan Pelajar, ibu bapa akan dapati anak mereka lebih bersedia berbanding dengan pelajar lain.
Motivasi Alihan Pelajar adalah satu program motivasi yang telah wujud sejak 1995.
Adalah lebih mudah bagi mencipta kejayaan apabila kita ada mentor, tahu cara dan tahu rahsianya.
Seminar ini mampu membuka mata dan menggerakkan hati serta meningkatkan kemahuan anak bagi mencapai kecemerlangan.
Untuk mengetahui lokasi serta tarikh seminar, hubungi pejabat Motivasi Alihan Pelajar iaitu 03-22734622/016-5580719 atau 05-3134622/016-5580619 atau layari laman web kami di www.laman-map.com.