Photobucket

Sahabat Maya :

Showing posts with label Tulisan PROF. DR. SIDEK BABA. Show all posts
Showing posts with label Tulisan PROF. DR. SIDEK BABA. Show all posts

Tuesday, December 24, 2013

Perkasa peranan ulul albab dalam sistem pendidikan


http://majalah.gontor.co.id/wp-content/themes/goodnews4/framework/scripts/timthumb.php?src=http://majalah.gontor.co.id/wp-content/uploads/2013/03/ulul-albab1.jpg&h=350&w=630&zc=1

Perkasa peranan ulul albab 

dalam sistem pendidikan

Ulul albab atau manusia yang memahami didukung oleh ilmu akli dan nakli yang membina tasawwur menjadi asas bagi pendidikan yang sifatnya integratif. Manusia memerlukan pandangan semesta yang lebih menyeluruh supaya wujud sinergi antara pemahaman terhadap yang nyata dengan perkara yang ghaib terjadi. 
 
 
 
 


Strategi integrasi dan Islamisasi ilmu dan pendidikan yang sedang berjalan dalam sistem dan institusi mengukuhkan lagi maksud ulul albab yang ingin menghasilkan watak seimbang dan harmoni menepati matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Falsafah ini perlu dirungkai dalam aplikasi supaya binaan kurikulum meraikan potensi pelajar, pendekatan pengajaran dan pembelajaran memberi asas kefahaman dan pemikiran tinggi, pengukuran terhadap kejayaan yang sifatnya holistik. 
 
 
 
 
 


Justeru, ulul albab tidak saja membangunkan fikrah seseorang tetapi juga jiwa zikrullah yang tinggi. Fikir dan zikir adalah adunan yang baik bagaimana ilmu disantuni dan amal ditekuni supaya faktor ghaibiyyat menjadi pedoman memahami hikmah di sebalik kejadian dan penciptaan. 
 
 
 


Ulul albab dalam pendekatan pendidikan menjadikan al-Quran sebagai sumber memahami fenomena. Alam dan kehidupan adalah sumber ilmu yang sangat kaya. Pemahaman terhadap al-Quran tidak harus sifatnya tekstual (harfiah) semata-mata tetapi menghubungkan alam dan kehidupan memerlukan pendekatan kontekstual. 
 
 



Dualisme pendidikan
 
 
 
 

Pendekatan kontekstual menjadikan ilmu berkembang dalam disiplin yang pelbagai. Teras kepada ilmu itu ialah etika dan nilai. Tanpa etika dan nilai ilmu menjadi kosong dan lompang. Ilmu dan kemahiran hanya bersifat mekanistik, sedangkan ilmu memerlukan roh supaya sifatnya memberi cahaya dan penunjuk jalan ke arah kebenaran, kebaikan dan manfaat. 
 
 
 
 


Dualisme dalam ilmu dan pendidikan sudah terbina sejak sekian lama. Pendekatan empiris yang berasaskan penjanaan minda, pemerhatian dan uji kaji semata-mata tidaklah segala-gala. Ada faktor dalaman diri manusia yang menjadi asas binaan akhlak dan watak yang memerlukan perhatian. Ulul albab adalah suatu kaedah terbaik bagaimana aspek diniah (agama) dijadikan landasan membangunkan aspek ketamadunan yang perlu bagi umat manusia. 
 
 
 



Ulul albab adalah proses pengilmuan dan pendidikan yang mampu memberi tautan epistemologi (teori ilmu) yang tidak saja berkembang dalam batas kognitif atau akal fikir tetapi mampu diterjemahkan secara aplikatif dalam amal dan buat. 
 
 
 
 


Pemikiran (fikrah) dalam tradisi Islam tidak memadai. Ia tidak menghasilkan contoh dan sumber ikutan. Fikrah yang diikuti dengan amal adalah suatu simbiosis memperlihatkan bahawa proses pengilmuan dan pendidikan mampu menghasilkan insan berfikir tahap tinggi untuk mencari kebijaksanaan. 
 
 



Modal insan miliki sinergi
 
 
 
 
Kebijaksanaan adalah barangan yang hilang daripada insan. Ulul albab adalah landasan terbaik bagaimana pemahaman manusia terhadap sesuatu terhubung dengan Pencipta dan daripada-Nya terbina satu sikap diri mengenai kenapa kita dihidupkan dan apa peranan yang patut dilakukan bagi menyumbang ke arah kehidupan yang sejahtera. 
 
 
 


Menjadikan pendekatan ulul albab sebagai suatu pendekatan di sekolah dan institusi pendidikan adalah suatu langkah bijaksana kerana tasawwur atau world-view yang baik tidak akan terbina tanpa terlebih dulu asas Qurani tidak terbangun. 
 
 
 


Tradisi hafazan umpamanya adalah baik sekiranya al-Quran diikuti dengan landasan tafsiran dan keupayaan mengolah petunjuk daripada Allah SWT ini dalam kreativiti kajian dan ketelitian supaya terhubung akliah insan dengan daya kompetensi tinggi memahami faktor yang nyata dengan faktor yang ghaib. Teknologi umpama selamanya alat dan bukannya matlamat. Ia mendukung matlamat sekiranya nilai guna yang berasaskan etika dan nilai dijadikan sandaran. 
 
 
 
 
 
Pencapaian teknologi tinggi semata-mata bukan ukuran mutlak terhadap kejayaan. Tetapi teknologi tinggi yang disantuni dengan sentuhan keinsanan menjadi ukuran terbaik terhadap aplikasi teknologi dalam kehidupan. 
 
 


Oleh itu ulul albab dalam keilmuan dan pendidikan harus mampu mencetuskan upaya berfikir yang tinggi dalam kalangan pelajar supaya generasi muda mampu memiliki daya artikulatif (berfikir) yang baik di samping dikawal oleh etika dan nilai yang berkualiti. 
 
 


Ia bakal menghasilkan modal insan yang memiliki sinergi antara faktor diniah dengan faktor ketamadunan, fikir dan zikir dan memiliki jiwa tadabbur (kaji selidik) yang tinggi supaya alam dan kehidupan ini dapat difahami secara seimbang. Inilah asas ulul albab yang patut diperkasa dalam sistem pendidikan yang sifatnya integratif dan Islamik. 
 
 
 
 
Sumber
Teruskan membaca..

Friday, November 9, 2012

Memartabatkan Bahasa Melayu


http://1.bp.blogspot.com/-m_YUIbzWG9c/Tqn7XULgS5I/AAAAAAAACSw/7VKpf-F3UqY/s1600/bahasa%2Bjiwa%2Bbangsa.jpg

Ungkapan Bahasa Jiwa Bangsa adalah sesuatu yang keramat bagi yang memahami kepentingan bahasa membangunkan citra berfikir pengucapnya. Bahasa tidak saja sebagai alat komunikasi yang sifatnya mekanistik dan arbitrari, tapi ia terkandung pemikiran yang memberi pedoman kepada manusia tentang buruk-baik akan sesuatu atau manfaat-musibatnya terhadap sesuatu.

Oleh itu Bahasa Melayu yang ingin dimartabatkan kembali adalah bahasa yang terkandung dalam dirinya sistem nilai, kualiti ilmu dan etika. Memartabatkannya dalam sistem pendidikan bermakna memartabatkan ciri-ciri berfikir yang beretika dan upaya pengucapan yang serasi dengan fitrah. Apabila Bahasa Melayu melalui proses keMalaysiaan ia berkembang dalam lingkungan masyarakat majmuk yang pada hakikatnya amat mengutamakan kepentingan nilai dan etika. Lalu pengucapan masyarakat penggunanya menjadi lebih tertib kerana bahasa itu adalah cerminan bangsa Malaysia itu sendiri.

Seperti halnya pengucap Bahasa Inggeris, tidak saja etos atau budaya, yang ingin disemai ialah, menjadikan pengucapnya berjiwa Englishmen tapi dalam masa sama, terkandung norma-norma Barat yang akhirnya menyebabkan kecenderungan menjadikan Barat segala-gala. Sesetengah orang kita apabila mengungkap sesuatu dalam Bahasa Inggeris terasa dirinya moden, dipandang tinggi dan kebaratan sementara berucap dalam bahasa ibunda terasa tidak moden, tidak internasional, kerdil dan sengkek.

Ini menyebabkan fokus kepada Bahasa Inggeris jauh lebih utama dan dikaitkan Bahasa Inggeris itu sebagai bahasa kemajuan dan kemodenan. Mempelajari bahasa ibunda membawa kepada kemunduran dan ketinggalan, rendah diri dan kejakunan. Kita lihat Perancis jiran United Kingdom menggunakan bahasa Perancis untuk maju. Hal yang sama berlaku di Jerman, Belanda, Sweden, mereka maju dengan menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Tidak timbul masalah psiki yang mengatakan, menggunakan bahasa ibunda boleh menyebabkan kemunduran.

Hal sama seperti Timur Jepun, Korea Selatan dan China. Kekuatan bahasa ibunda mereka menyebabkan bangsa ini menjadi maju dengan tidak menolak kepentingan Bahasa Inggeris dipelajari dan bahasa lain diraikan.
Filipina dan India sejak kemerdekaan guna Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, tidak pula maju seperti negara lain. Ia membuktikan bukan isu Bahasa Inggeris yang menjadi persoalan, tetapi ia menyangkut tentang budaya berfikir dan ilmu bagi masyarakatnya yang terbuka untuk belajar di Barat dan dalam masa sama amat teguh dan kukuh dengan jati dirinya.

Usaha Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa (MBMMBI) adalah langkah bijaksana meletakkan kedua-dua bahasa itu pada tempat yang wajar. Perlembagaan Malaysia Perkara 152 mengkanunkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Akta Pendidikan 1996 mensyaratkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan kita. Ia harus diterima seluruh warga merdeka.

Terbukti sejak usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem, baik di sekolah mahupun di institut pengajian tinggi awam ribuan pelajar kita berjaya dengan cemerlang dan sebahagiannya mampu membuat bidang kepakaran dan perlanjutan pengajian hingga ke tahap yang tertinggi dalam Bahasa Inggeris. Kalau dengan Bahasa Melayu para pelajar kita boleh berjaya dengan cemerlang atas alasan apa subjek Matematik dan Sains perlu diajar dalam Bahasa Inggeris.

Mempelajari Bahasa Inggeris ialah dengan memperkukuhkan pengajaran bahasa dan sasteranya. Kurikulum bahasa harus disusun semula supaya ia sesuai dengan etos Malaysia, kualiti gurunya harus lebih baik tidak saja di bandar tetapi di luar bandar, metodologi pengajarannya harus terkini dengan makmal bahasa yang sifatnya membantu. Corak pengukurannya tidak saja kepada aspek nahu dan ayat tetapi harus diutamakan pendekatan yang sifatnya komunikatif.

Sekiranya masa pengajaran-pembelajarannya ditambah, tidak ada sebab penguasaan Bahasa Inggeris menjadi tidak berkesan. Memartabatkan Bahasa Melayu tidak harus dilihat secara rasis oleh mana-mana pihak kerana memperkasa Bahasa Inggeris dan membenarkan bahasa ibunda kaum lain dipelajari adalah suatu kebitaraan dalam sistem pendidikan kita. Sekiranya setiap warga kita yakin akan maksud Perlembagaan dan Akta Pendidikan ia bakal mengukuhkan resam di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung.


Sumber :  http://drsidekbaba.blogspot.com/2012/01/memartabatkan-bahasa-melayu.html


Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...